Posted on March 25, 2020
Sepanjang minggu perintah berkurung ini, ingin saya tanya apakah perkara yang paling kamu suka sepanjang duduk di rumah? Pada saya, sudah tentu apabila berpeluang untuk tidak langsung menyarung baju dalam yang menekap ketat pada tubuh. Senang kata, bra. Lagi-lagi yang berbesi. Ergh. Saya rasa semua wanita di luar juga faham dengan perasaan saya. Jadi di kesempatan ini, saya pilih untuk going braless untuk 14 hari, 336 jam, bebasnya rasa!
Jika kamu hendak mencabar diri keluar rumah tanpa menyarung bra mungkin akan membuatkan diri rasa tidak selesa dan kekok (melainkan jika kamu punya payudara bersaiz 32 seperti model), jadi inilah masanya untuk kamu bebas dari bra sepanjang hari kerana kamu berada di rumah, tidak langsung membeliakkan mata sesiapa.
Bukan sekadar itu sahaja, saya sejujurnya suka akan arahan “berkurung” oleh kerajaan ini. Bangun pagi setiap hari, tidak perlu fikir, baju apa hendak disarung, mekap jenis apa ingin digayakan, adalah sesuatu perkara yang sangat saya hargai sepanjang berada di rumah. Kamu juga harus rasa begini. Ambil peluang yang ada dan beri perhatian lebih kepada kulit wajah kita. Biarkan kulit wajah dan tubuh bebas bernafas.
Itu yang saya lakukan. Rasa puas apabila wajah tidak disarung apa-apa. Dan tidak juga terdedah kepada pencemaran sekeliling (yang sering saya alami sebelum ini apabila kerap bekerja di luar). Apa yang saya lakukan, hanyalah memberi perhatian lebih kepada penjagaan wajah. Percayalah, tidak sehari pun saya terlepas dari tidak menyarung pupur wajah setiap malam. Bayangkan, jika kamu punya masa seperti ini setiap hari, pasti kulit wajah kamu cantik dan mulus bergelas bak wanita Korea. Tidak perlu langsung pergi ke spa wajah.
Jika sebelum ini, kamu banyak mengelat untuk bersenam, gunakan masa yang banyak terluang ini untuk sekurang-kurangnya mengamalkan senaman. Baik yoga, zumba ataupun menari. Keluarkan peluh petang-petang. Tidaklah kamu rasa lemah sahaja sepanjang berkurung.
Akhir sekali, gunakan masa yang ada ini untuk benar-benar kenali diri kamu yang sebenar. Masa inilah kamu boleh menguji kekuatan tubuh badan, kulit wajah, serta diri kamu. Menerusi setiap aktiviti yang saya cadangkan di atas. Dan jika sebelum ini, kamu asyik makan luar lantas tidak langsung menjaga makan kamu, inilah masanya juga untuk kamu menjaga pemakanan kamu.
Semoga kamu gunakan masa yang terluang dengan aktiviti berfaedah dan baik untuk diri kamu. Bukan sekadar, ber- Netflix dan TikTok sahaja ya!
Apa pandangan anda?