Posted on March 25, 2020
Bermula daripada Marine Serre ke Christian Siriano, ke Prada sehinggalah Zara! Mereka bersama-sama berganding bahu menghasilkan topeng muka yang kini menjadi ciptaan terbaru. Bukan sebagai aksesori, tetapi untuk berjuang melawan Covid-19.
Saat Marine Serre mengeluarkan topeng muka kolaborasinya bersama Air Pur, – sebagai aksesorinya – dia tidak berseloroh tentang menghasilkan ia untuk melindungi diri daripada pencemaran alam dan berinspirasikan pasca-apocalypse. Apakah Marine seorang pengembara masa, bijak menilik penyakit membunuh ini menyerang bumi?
Setelah kes penularan virus berjangkit naik menjulang, menghimpit sedunia dan memaksa hampir seluruh manusia menyungkupkan muka, mulut serta hidung, lantas permintaan topeng muka meninggi. Habis terjual semua topeng muka dalam masa tiga bulan ini dan tidak ada sedikit pun yang tinggal di farmasi juga kedai-kedai lain. Membuatkan orang lain seperti terkatung-katung dan mengalami paranoia, hanya disebabkan tidak memiliki topeng muka.
Masalah seperti ini mementil kesedaran dalam diri pereka fesyen antarabangsa seperti Christian Siriano. Sungguhpun menghentikan produksi buat sementara waktu sampaikan menyuruh gerombolan tukang jahitnya membawa balik mesin jahit, Christian telah meminta tukang jahitnya itu untuk menghasilkan topeng muka bagi menyelesaikan masalah ‘kekurangan topeng muka’ yang melanda kini. Minggu lepas, Christian bertindak berani dengan menghubungi gabenor New York, Andrew Cuomo menerusi Twitter lalu menawarkan bantuan tersebut, seandainya keadaan memaksa dan memerlukan topeng muka.
Pereka fesyen lain seperti Brandon Maxwell – yang telah mewartakan khabar semalam, bahawa dia akan mendermakan dress-dress kahwinnya untuk mana-mana pengantin yang tidak berkemampuan setelah impak ekonomi disebabkan Covid-19 – sama-sama mengikut jejak langkah Christian. Bukan sahaja topeng muka, Brandon malah sedang mengkaji jenis material atau fabrik yang sesuai digunakan untuk menghasilkan gaun doktor dan jururawat yang merawat pesakit-pesakit Covid-19.
Pada minggu ini juga, dalam mengobori semangat untuk menghentikan krisis Covid-19, Prada pun mengumumkan bahawa mereka akan menghasilkan topeng muka perubatan dan dijangka mencapai 110,000 unit topeng menjelang April nanti. Selain Prada, jenama-jenama mewah lain yang membantu mengeluarkan topeng muka termasuklah Gucci dan Balenciaga. Konglomerat jenama mewah seperti LVMH yang baru-baru ini menghasilkan pensanitasi tangan, turut tak ketinggalan menawarkan sebanyak 40 juta topeng muka ke Perancis (Perancis antara negara yang terkesan ekoran kehabisan topeng muka).
Jenama Zara juga menyahut seruan ini, menghasilkan topeng muka perubatan dan ia berjaya menderma lebih kurang 10,000 unit. Bagi melancarkan lagi proses, Zara akan terus mengeluarkan topeng muka dan akan mengagihkan sebanyak 300,000 unit minggu ini. Good job guys!
Apa pandangan anda?