Posted on August 12, 2026

Glamour dan seni pertukangan barang kemas bertemu di pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2026 apabila Anna Jobling tampil anggun menggayakan koleksi ikonik TOMEI bernilai lebih RM225,000. Berlangsung di Fountain L’Esplanade, Suria KLCC, acara KLFW x TOMEI itu menandakan penampilan sulung jenama barang kemas tersebut di pentas KLFW menerusi persembahan eksklusif The Tomei Girls.
Sebagai wajah utama TOMEI, Anna mencuri perhatian dalam padanan lengkap daripada koleksi Emerald & Sapphire, menampilkan rantai leher, gelang tangan, cincin dan subang yang dihiasi keindahan batu zamrud serta nilam. Setiap helaian tampil dengan karakter tersendiri, menyerlahkan sisi wanita moden yang yakin, elegan dan tidak takut mengekspresikan personaliti mereka. Buat Anna, barang kemas mempunyai makna yang jauh lebih besar daripada sekadar pelengkap gaya.

Saya berasa sangat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini kerana ini merupakan penampilan sulung TOMEI di pentas Kuala Lumpur Fashion Week
Anna Jobling
Menurut Anna, koleksi Emerald & Sapphire cukup dekat dengan dirinya kerana setiap rekaan mempunyai identiti dan karakter tersendiri. Baginya, kepelbagaian itu mencerminkan wanita hari ini yang mempunyai cerita, personaliti dan ekspresi berbeza. “Barang kemas bukan sekadar melengkapkan penampilan, tetapi memberi keyakinan serta menjadi simbol kepada siapa diri kita. Saya harap lebih ramai wanita berani meraikan keunikan diri mereka melalui gaya masing-masing,” tambahnya.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Diana Danielle, Sweet Qismina, Arabella, Chacha Maembong, Kaka Azraff dan Raden. Kesemua mereka tampil menggayakan koleksi TOMEI dengan nilai keseluruhan mencecah RM2 juta, menjadikan acara tersebut antara detik paling mewah di KLFW tahun ini. Lebih menarik, The Tomei Girls mempersembahkan koleksi barang kemas dengan nilai keseluruhan melebihi RM4 juta, sambil membawa penonton menyelami naratif tentang evolusi dan pelbagai sisi wanita moden.
Persembahan itu bergerak melalui enam babak utama — The Awakening, The Heirloom, The Temptress, The Eternal One, The Fire Within dan akhirnya The Final Form. Setiap fasa menggambarkan perjalanan berbeza, daripada saat seorang wanita mengenali dirinya, menghargai warisan dan keberanian untuk bereksperimen, sehinggalah menemui kekuatan serta keyakinan dalam dirinya sendiri.

Di pentas KLFW, TOMEI bukan sekadar membawa koleksi barang kemas bernilai jutaan ringgit. Sebaliknya, jenama itu menjadikan setiap helaian sebagai sebahagian daripada naratif tentang identiti, transformasi dan keberanian untuk tampil sebagai diri sendiri.Dan menerusi penampilan Anna Jobling, mesej itu diterjemahkan dengan cukup jelas — gaya bukan sekadar apa yang kita pakai, tetapi bagaimana kita memilih untuk membawa diri.



















.gif)

Apa pandangan anda?