Posted on October 6, 2026

Kempen baharu Dr. Cardin bukan sekadar tentang fesyen. Kali ini, jenama tempatan itu mengajak kita melihat semula Malaysia melalui perjalanan, cerita dan pengalaman yang mungkin selama ini terlepas pandang.
Berapa banyak tempat di Malaysia yang kamu sendiri belum pernah jejak? Persoalan itu menjadi pencetus kepada The Overlooked Malaysia by Dr. Cardin, sebuah kempen yang membawa jenama fesyen tempatan ini keluar daripada format kempen konvensional dan masuk ke dunia pengembaraan.
Daripada filem pendek, dokumentari road trip, siaran langsung dari lokasi terbuka hinggalah acara fizikal, Dr. Cardin menjadikan Malaysia sebagai latar utama kempen kali ini. Menurut Ketua Penjenamaan Dr. Cardin, Chong Charl Yee, idea tersebut tercetus selepas adiknya memilih untuk bercuti dalam negara, berbeza daripada kebiasaannya yang lebih gemar melancong ke luar negara.
Pengalaman itu membuka mata mereka tentang betapa banyaknya destinasi menarik di Malaysia yang mungkin belum diterokai, termasuk oleh rakyat Malaysia sendiri.

Dari Kedah Ke Kelantan
Bermula 25 Ogos lalu, The Overlooked Malaysia diperkenalkan menerusi sebuah filem pendek arahan Mshaffuan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.
Kempen kemudiannya bergerak ke Kedah pada September menerusi sesi siaran langsung bersama Bella Astillah dan YB Syed Saddiq. Namun, apa yang menjadikan kempen ini lebih menarik ialah lokasi siaran langsung yang tidak tipikal, termasuk kawasan terbuka yang dekat dengan alam semula jadi.
Perjalanan diteruskan ke Kelantan menerusi The Explorer Trip, apabila sembilan pencipta kandungan dan personaliti media sosial, termasuk pelakon Mierul Aiman, menyertai ekspedisi ke Dabong. Pengalaman mereka sepanjang berada di Dabong turut dirakamkan dalam bentuk dokumentari, memberikan penonton peluang untuk mengikuti perjalanan tersebut dari sudut yang lebih dekat dan personal.

Kini, ‘The Overlooked Malaysia’ Keluar Dari Skrin
Selepas menjelajah beberapa lokasi di Semenanjung, Dr. Cardin kini membawa kempen ini ke ruang fizikal menerusi The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen. Berlangsung selama lima hari dari 7 hingga 11 Oktober 2026 di IOI City Mall Putrajaya, acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman kempen yang selama ini ditonton menerusi skrin.
Antara aktiviti yang bakal berlangsung ialah sesi meet & greet bersama barisan pelakon dan pencipta kandungan seperti Mierul Aiman, Ain Ramli, Zakuan Zainal, Farah Hamdan, Fikri Zamri, Merantau Dunia dan Sya Azhar. Paling dinantikan, episod terakhir filem pendek The Overlooked Malaysia juga akan ditayangkan di acara tersebut bersama pengarahnya, Mshaffuan.

Bila Kempen Jadi Lebih Dekat Dengan Orang
Menurut Charl Yee, sambutan terhadap kempen kali ini menunjukkan bahawa eksperimen Dr. Cardin untuk tampil dengan pendekatan berbeza berjaya mendapat perhatian. Bukan sekadar jumlah engagement yang lebih tinggi berbanding kempen terdahulu, orang ramai juga memberikan respons positif terhadap konsep yang lebih dekat dengan kehidupan dan pengalaman sebenar.
Mungkin itu yang membuatkan The Overlooked Malaysia terasa berbeza. Ia bukan sekadar kempen yang menyelitkan produk dalam sebuah perjalanan, tetapi menggunakan perjalanan itu sendiri untuk mengajak kita melihat semula apa yang ada di depan mata. Dan nampaknya, perjalanan ini mungkin belum berakhir.
Melihat kepada sambutan yang diterima, Dr. Cardin tidak menolak kemungkinan untuk membawa The Overlooked Malaysia ke lebih banyak negeri pada masa akan datang. Malah, Borneo juga disebut sebagai destinasi yang mungkin diterokai seterusnya. Sebelum itu, kalau kamu berada di Putrajaya minggu ini, mungkin ini masa untuk keluar daripada skrin dan mengalami sendiri The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen.
7–11 Oktober 2026
IOI City Mall Putrajaya
Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Dr. Cardin


















.gif)

Apa pandangan anda?