Posted on April 2, 2020
Beberapa hari yang lalu, syarikat kecantikan Coty Inc. telah pun mengumumkan mereka sudah mula menghasilkan sanitasi tangan (hand sanitizer) jenis gel hidro-alkohol di kilang mereka untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan. Produk ini dihasilkan secara percuma dan keutamaan mereka adalah untuk mengagihkan produk ini kepada pegawai perubatan yang memerlukan. Malah, Coty turut tidak melupakan untuk memberikan produk ini kepada pekerja Coty sendiri yang berada di sektor tanaman, serta staf dan pelanggan mereka.
Mereka menghasilkan puluhan ribu produk ini di kilang mereka yang terletak di Amerika Syarikat serta di Monaco. Coty turut mengumumkan mereka bakal menambah bilangan kilang bagi mempercepatkan serta memperbanyakkan lagi penghasilan sanitasi tangan ini. Namun, pada masa sama, mereka berkata, produksi ini masih lagi bergantung kepada keadaan, sumber, bahan yang ada serta peraturan kerajaan tempatan.
Menurut Pierre Laubies, Ketua Pegawai Eksekutif Coty,
Sebagai syarikat kecantikan yang bertanggungjawab, kami menggunakan masa ini untuk menyediakan sumber dan kemudahan milik kami untuk membantu komuniti di dalam masa yang sangat mencabar ini. Kami juga bangga untuk membantu profesional yang berani bertarung sebagai barisan hadapan dalam menangani COVID-19 ini dengan cara menyediakan sanitasi tangan ini buat mereka.
Menurut, Pierre-André Terisse, Ketua Pegawai Operasi Coty,
Kesihatan dan keselamatan kakitangan adalah keutamaan kami dan segala langkah berjaga-jaga dan memastikan mereka sihat dan selamat ketika mereka bekerja untuk melindungi komuniti adalah tanggungjawab kami. Kami sangat bangga dengan rakan-rakan yang berani ke depan untuk bersama-sama kami dalam perjuangan global terhadap COVID-19 ini.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini Kris Jenner serta anaknya Kylie bersama-sama Coty turut menderma sebanyak $1 juta untuk menghasilkan sanitasi tangan dan kemudian diberikan kepada hospital-hospital yang terletak di California Selatan.
Untuk pengetahuan semua, Kylie Cosmetics dan Kylie Skin adalah sebahagian daripada Coty Inc setelah mereka membeli saham syarikat Jenner pada November 2019 yang lalu.
Semoga usaha baik ini diteruskan bukan sahaja di luar negara, malah di dalam negara kita sendiri juga. Jika tidak dapat membantu secara terus, mungkin kita boleh sertai mana-mana badan kebajikan yang mengumpul dana untuk membantu mereka yang kesusahan.
Apa pandangan anda?