Posted on April 9, 2020
Sudah hari ke-23, pastinya kamu sudah terbiasa dengan etika bekerja dari rumah ini. Apatah lagi apabila kamu dikehendaki berada dalam panggilan bersidang. Tidak kiralah sama ada bersama rakan sekerja kamu mahupun persidangan serius bersama klien kamu. Dan sudah lebih daripada dua minggu ini, sudah pastinya kamu terbiasa dengan rutin bangun lambat, selesa berbaju tidur dan bermacam lagi memandangkan kamu hanya berada di rumah. Namun, bagaimana jikalau tiba-tiba bos kamu ingin membuat Zoom meeting? Kamu mungkin belum mandi pun lagi ketika itu. Hendak bantuan agar kamu tidak kantoi atau curi tulang? Mari saya kongsikan tip untuk tampak bersiap di kala panggilan mesyuarat tiba-tiba ini!
Pastikan Wajah Segar
Cuci muka selepas bangun tidur. Dan jangan lupa gosok gigi. Nafas yang segar mampu membangkitkan lagi hari kamu itu. Pastikan kamu amalkan rutin penjagaan wajah walaupun berada di rumah. Tiga rutin utama iaitu mencuci, toner dan pelembap ini amat penting. Sapukan pelembap agar wajah nampak lebih berseri-seri.
Gincu Bibir Serba Boleh
Tidak kira sama ada gincu bibir jenis merah menyala, atau sekadar tint, pastikan kamu sentiasa ada gincu bibir bersama kamu, walau di rumah. Sarung sahaja gincu bibir ini sudah boleh membuatkan seluruh wajah kamu tampak bersiap. Kalau kamu berani, sarungkan gincu bibir rona merah menyala. Tip saya lagi, gunakan gincu bibir ini pada bahagian pipi juga untuk memberikan sedikit warna pada wajah. Nampak sikit seri itu! Pilihan saya, Hera Sensual Aqua Lipstick Rona No.335 Shocking Strawberry RM133 dan Benefit Cosmetics Lovetint Cheek & Lip Stain RM93
Rambut Ikat Ponytail Tinggi
Jika kamu tiada masa untuk menggayakan rambut, saranan saya gayakan sahaja stail rambut paling mudah. Ikat ponytail tinggi! Kemas dan tidak mengambil masa yang lama. Pastikan kamu sikat kemas terlebih dahulu rambut (jika kamu benar-benar baru bangun tidur). Atau jika kamu punya masa lebih sebelum mula mesyuarat, apa kata gunakan masa itu untuk menyapu minyak rambut agar tampak lebih bermaya. Jika tidak selesa kerana rambut nampak berminyak, jangan lupa untuk semburkan syampu kering. Pilihan saya, IGK First Class Dry Shampoo RM132 dan Verb Ghost Oil RM71
Apa pandangan anda?