Posted on May 7, 2020
Jarang kita lihat pemerah pipi tampil selain daripada rona-rona merah lembut mahupun pekat darah. Jika paling eksotik sekalipun, barangkali rona seperti koral. Dan semua rona itu masih dianggap common untuk pasaran pembayang pipi. Ini kerana rona-rona ini sememangnya sesuai untuk digaya buat semua jenis peringkat umur dan tona kulit. Bagaimana pula dengan pembayang pipi selain rona ini, mungkin seperti rona ungu terang, mahupun oren kekuningan? Mungkin kamu pernah nampak rona-rona ekstra seperti ini di kaunter mekap namun kamu tidak berani mencubanya. Pada pemerhatian saya, sebenarnya masih ramai yang masih belum berani mencuba sesuatu ekstra untuk diri mereka sendiri. Baru-baru ini Fenty Beauty lancar 10 rona fun untuk koleksi pembayang pipi mereka. Sesungguhnya saya begitu teruja sekali apabila melihat barisan warnanya. Dan saya mengharapkan keterujaan saya ini turut dirasai oleh semua wanita di Malaysia ini.
Usah takut untuk mencuba warna-warna bold seperti ungu, kuning pada pipi kamu. Dahulu saat mula berjinak dalam dunia mekap, saya dihadiahkan dengan Dior Backstage Rosy Glow Blush dalam rona 001 Pink. Gerun melihat rona merah jambunya yang terlalu terang dan risau takut tidak mampu membawa look itu. Namun, saya singkir jauh-jauh perasaan itu dan cuba untuk layangkannya pada pipi saya. Alangkah gembiranya, apabila rona itu cukup kena dengan saya, langsung terus menjadi salah-satu pembayang pipi kegemaran saya sepanjang hidup!
Sama seperti rona baharu Fenty Beauty ini, perkara pertama selepas melihat ia dilancarkan, saya menjadi cukup teruja. Walaupun sebelum ini ada sahaja jenama yang pernah mengeluarkan rangkaian rona warna-warni seperti ini, namun saya anggap trend ini masih suram di kalangan wanita di luar sana. Dengan adanya rangkaian terbaru Fenty Beauty ini, saya seru wanita-wanita di luar sana untuk mencuba sesuatu yang baharu untuk diri mereka.
Apa yang saya sukakan tentang Cheeks Out Freestyle Cream Blush daripada Fenty Beauty ini ialah ia mudah dipakai. Hadir dalam tekstur krim, sekaligus memberikan efek solekan glow dan segar pada wajah kamu. Ringan dan selesa apabila dilayang pada wajah. Menurut jenama ini, pembayang pipi ini tidak meninggalkan kesan lekit pada kulit, selepas disapu, ia serta-merta cair ke dalam kulit lalu memberikan warna serta menghidupkan lagi pipi kamu yang kusam itu.
Ini adalah pembayang pipi yang akan saya gunakan untuk solekan harian. Antara produk on-the-go saya, kecil dan mudah dibawa ke mana-mana. Mungkin kamu risau, bolehkah kamu “bawa” warna-warna pembayang pipi Fenty Beauty ini. Jangan risau, mungkin kamu rasa ronanya agak terang pada paletnya, akan tetapi setelah kamu layangkan, ia akan bertukar kepada rona yang lebih lembut malah memberi efek sheer pada kulit wajah kamu. Yang penting rona ini langung tidak akan tampak melampau pada wajah kerana ia rona yang buildable. Kamu boleh pilih sendiri tahap kepekatan rona ini yang kamu mahukan pada pipi kamu. Selain itu, ia juga memiliki formula kalis air dan peluh, jadi sesuai untuk digayakan sepanjang hari.
Sudah tidak sabar sekali untuk saya mencuba krim pembayang pipi daripada Fenty Beauty ini. Nantikan video swatches daripada STAIL.MY ya!
10 Rona Fun Fenty Beauty Cheeks Out Freestyle Cream Blush RM96/satu
Daquiri Drip
Drama Class
Fuego Flush
Rosé Latte
Bikini Martini
Cool Berry
Crush on Cupid
Summertime Wine
Strawberry Dip
Petal Poppin
Apa pandangan anda?