Posted on July 30, 2020
Saya amat menitik beratkan soal penjagaan kulit wajah. Jika ada sahaja produk baharu yang menjengah pasaran, pasti saya akan turut sama “sibuk” di kaunter kecantikan untuk mencuba produk tersebut. Namun, sekarang situasi sudah berbeza. Hendak keluar rumah pun takut apatah lagi mencuba produk “tester” di tempat awam. Mujur bekerja sebagai seorang penulis ini, memberi saya peluang untuk mencuba dahulu produk-produk baharu, kemudian berkongsi pendapat dengan pembaca saya. Jadi, apa tunggu lagi. Hari ini saya hendak kongsikan 5 produk kecantikan yang telah saya cuba dan patut kamu miliki bulan ini!
L’occitane Almond Shampoo RM90/240ml
Jika kamu peminat minyak tubuh yang ikonik daripada jenama ini, kamu pasti bakal suka dengan produk terbaharu mereka daripada rangkaian yang sama ini. Kali ini, mereka mengeluarkan rangkaian rambut! Diperkaya dengan intipati kacang almond segar lagi harum ini, bukan sekadar membersih malah membantu mengembalikan seri rambut serta membuatkan setiap helaian rambut kamu tampak lembut dan sihat. Padankan dengan perapi rambut daripada rangkaian yang sama untuk haruman sepanjang hari.
Laneige NEO Cushion Matte SPF 42 PA++ RM160
Hendak tahu apakah jenama kusyen kompak yang terbaik di pasaran? Jawapan saya, Laneige. Dan kali ini mereka tampil dengan produk terbaharu dengan inovasi next level, kusyen NEO, yang mana hadir dalam dua versi, matte dan glow. Rekaan 360 darjah tampa sempadan dengan rona hijau dan merah jambu lembut menarik perhatian saya. Seperti biasa, sememangnya kusyen Laneige ini memberi efek tahan lama serta kalis air sepanjang 24 jam selepas dilayang ke kulit wajah. Ia juga memberi efek litupan penuh namun tidak terasa seperti menyarung bedak asas yang tebal. Ini kerana kusyen NEO matte ini diperbuat daripada bahan teknologi Ultralight Powders yang ringan namun mampu melitup segala cela di wajah. Diformulasikan juga dengan Vivid CoverageTM Technologu, di mana ia sejenis bedak saiz mikro yang memastikan warna bedak asas tidak berubah apabila dilayang pada kulit #STAILAVVV
Mamonde Blue Chamomile Soothing Repair Cream RM125
Krim perawat sesuai buat kamu yang berkulit sensitif. Apatah lagi kita kini juga disarankan untuk memakai pelitup muka, kulit wajah terutama sekali di bahagian pipi dan dagu ini lebih mudah untuk terkena breakouts. Dengan krim ini, ia diperbuat daripada 5 jenis asid hyaluronic di mana ia membantu mengembalikan lembapan serta memberi efek keredaan pada kulit yang kering dan sensitif. Bukan itu sahaja, ia diformulasikan dengan 2X Blue Azulene™, iatu sejenis intipati yang diekstrak daripada bunga chamomile biru. Menurut kajian yang dihasilkan makmal Mamonde, intipati ini terbutik mampu membantu memperkuatkan daya tahan kulit serta merawat dan mengembalikan kulit wajah yang lebih sihat.
Gucci Flora Gorgeous Gardenia (Edisi Terhad) RM297/50ml
Haruman didalam kelalang edisi terhad berona lavender ini sesuai buat mereka yang gemarkan haruman floral. Dibuka dengan nota buah beri merah kemudian diserikan dengan pati kelopak bunga gardenia putih dipadu bersama kehangatan bunga frangipani. Tidak cukup itu, patchouli dan gula perang menjadi nota penutup haruman ini. Sudah dapat membayangi kesegaran olfaktori haruman ini? Kami juga… obses…
Sulwhasoo First Care Activating Serum Generasi Ke-5 RM330
Jika kamu mengenali saya, pasti kamu tahu saya merupakan peminat setia produk kecantikan serum ikonik daripada Sulwhasoo ini. Dan baru-baru ini, mereka melancarkan versi naik taraf iaitu versi generasi kelima First Care Activating serum mereka lantas membuatkan saya menjadi lebih teruja. Dengan intipati JAUM Activator™ yang sememangnya terbukti hebat sebagai formula penjagaan kulit wajah holistik wanita Asia, kali ini serum ini tampil dengan lebih manfaat booster di dalam botol magis ini. Serum antipenuaan ini dikatakan, jika kamu amalkan lebih 10 tahun, kamu akan kelihatan 13.3 tahun lebih muda berbanding umur kamu. Dan untuk pengetahuan kamu juga, serum ini merupakan serum nombor satu di Korea.
Wan radhiah bt wan rameli
August 2, 2020Sngt suka dgn penulisan Amira…dari dulu follow penulisan yg ringkas tapi padat dgn semua maklumat.