Posted on September 4, 2020
Terkadang kita tidak sedar, kerana asyik sibuk hendak menjaga kemilau rambut, merawat rambut kusut, kita terlupa akan kesihatan kulit kepala kita sendiri. Saya pernah disapa teman yang sedang lagi buntu. Soalnya, “Bagaimana hendak hilangkan kelemumur di kepala?” Dia sudah terlalu buntu hingga memberi tekanan. Kasihan saya melihat dia, dan saya pasti di luar sana, masih ada yang memiliki masalah yang sama. Saya juga pernah melaluinya suatu ketika dahulu. Baiklah, untuk merawat masalah yang satu itu, kita harus kembali ke pucuk pangkalnya iaitu cara sebenar menjaga kulit kepala. Rambut yang sihat bersinar, bervolume, semuanya berpunca daripada kulit kepala dan akar rambut yang sihat.
Basuh rambut apabila sudah tiba masanya…
Ada jenis kulit kepala yang tidak perlu dicuci setiap hari, namun ada yang perlu. Jika kamu terdedah dengan pencemaran ataupun baru sahaja habis melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh, seeloknya cuci rambut dan kulit kepala kamu. Kotoran seperti minyak berlebihan mampu membuatkan kulit kepala menjadi gatal. Dan buat kamu yang suka memakai syampu kering, jangan amalkan setiap hari. Ini kerana syampu kering tadi akan berkumpul di kulit kepala kamu dan membuatkan liang pori di kepala menjadi lebih tersumbat.
Cuba amalkan urutan kulit kepala.
Ada kajian menyatakan jika kamu urut kulit kepala kamu setiap minggu, ia mampu melebatkan lagi rambut kamu. Urutan itu menyebabkan peredaran darah berjalan dengan lancar lalu membuatkan kulit kepala menjadi lebih sihat. Bayangkan rambut yang lebat berserta kulit kepala yang sihat. Bukankah itu #hairgoal kita semua!
Exfoliate kulit kepala?
Ya, betul. Rutin exfoliate yang kamu lakukan ini sama konsepnya dengan rutin yang kamu lakukan untuk wajah. Proses menyah kulit mati daripada berkumpul dan membuatkan kulit kepala menjadi rosak dan tidak sihat. Rutin ini akan membuatkan ruang folikel menjadi bersih lantas memberi peluang kepada rambut kamu untuk tumbuh dengan baik. Antara langkah exfoliate yang kamu boleh lakukan ialah seperti menyikat rambut menggunakan berus natural yang juga pada masa yang sama membantu melancarkan peredaran darah. Selain itu, gunakan pupur yang memiliki fungsi ini sebulan sekali.
Dan paling penting, diet dan pemakanan yang seimbang. Amalkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan lemak yang sihat. Minum air putih secukupnya dan jika kamu mahu mengamalkan pemakanan tambahan, sebaiknya berbincang dahulu dengan doktor sebelum membeli sendiri.
Apa pandangan anda?