Posted on September 23, 2020
Regina King enak berdudukan di atas kerusi di rumahnya, sambil menggenggam trofi Outstanding Lead Actress in a Limited Series or Movie. Dia merangkul anugerah Emmy tersebut, mengatasi Cate Blanchett, Shira Haas, Octavia Spencer dan Kerry Washington, bagi lakonannya dalam drama siri Watchmen.
Pelik rasanya, tetapi inilah kelaziman baharu. Acara-acara anugerah formal sebegini berlangsung tanpa audiens dan semuanya dilakukan dari rumah masing-masing. Tak siapa jangka, acara formal untuk tahun 2020 diolah sebegini rupa. Sebelum berlangsungnya acara, Regina terlihat mengambil gambar ala-ala ‘karpet merah’, berlatarkan atas bumbung bangunan. Dia kelihatan menyerlah, malah cantik sekali menyarung dress biru Schiaparelli Couture, hasil rekaan oleh Daniel Roseberry – yang ditata oleh Wayman Bannerman dan Micah McDonald – dan gayanya itu antara yang terbaik di Emmy Awards kelmarin.
Berbalik kepada kemenangan Regina, dalam ucapan kemenangannya, di samping dia menyelit sekali seruan untuk orang ramai keluar mengundi, antara sorotan utama adalah penampilannya (ketika menerima anugerah) memakai kemeja T yang tertulis ‘SAY HER NAME’ dengan grafik wajah mendiang Breonna Taylor – kematian Breonna yang meraih perhatian hampir segenap dunia dan antara yang mencetus gerakan Black Lives Matter. Regina menyarung kemeja T ‘Breonna Taylor’ itu dan dimadukan bersama sepasang sut berona merah jambu terang daripada Schiaparelli Couture.
Pada kesempatan kemenangannya itu, menerusi kemeja T yang dipakainya, matlamat Regina sebagai seorang tokoh masyarakat, cukup mudah. Dia hanya mahu melanjutkan hasrat serta ajakannya kepada orang ramai untuk menyampaikan mesej tentang keganasan polis atau pihak autoriti terhadap wanita berkulit hitam yang sudah ratusan kali berlaku tetapi masih ada lagi pihak tertentu yang berdiam diri. Contohnya, seperti apa yang terjadi ke atas Breonna Taylor sehingga kematiannya sampai ke sudah masih belum terbela.
Pernah Regina memakai kemeja T sama dalam salah satu post Instagram-nya pada bulan Ogos lalu, menyatakan dengan jelas fasal kematian ‘150 hari’ Breonna yang masih belum terbela dan menyebut sekali nama-nama pelaku yakni Jonathan Mattingly, Brett Hankison juga Myles Cosgrove. Kemeja T ‘SAY HER NAME’ ini direka oleh Phenomenal dan kerjasama dengan Breonna Taylor Foundation. Menurut post Instagram Regina lagi, setiap pembelian kemeja T Kempen ini juga akan didermakan kepada badan yayasan Breonna Taylor Foundation.
https://www.instagram.com/p/CDty7-3AoA3/
Bercakap tentang kemeja T Breonna Taylor, selain Regina, pelakon Uzo Aduba juga kelihatan menggayakan kemeja T yang hampir sama sewaktu dia menerima anugerah Outstanding Supporting Actress in a Limited Series or Movie untuk drama Mrs. America. Cuma yang berbezanya adalah kemeja T yang dipakai oleh Uzo tertulis nama ‘Breonna Taylor’.
Apa pandangan anda?