Posted on November 27, 2020
Saya selalu teruja apabila mencuba produk-produk kecantikan keluaran lokal terutama sekali produk penjagaan wajah. Tanpa disangka-sangka, kita sebenarnya memiliki barisan jenama lokal yang cukup bagus dan berkualiti. Dan hari ini saya ingin berkongsi tentang jenama kecantikan lokal terbaru, OLUMES. Membuat penampilan sulungnya dengan melancarkan dua produk kebanggaan mereka, The Refining Lotion dan The Satin Cream.
OLUMES adalah jenama asal Borneo yang mengetengahkan produk kecantikan yang diperkaya dengan ekstrak botani yang hanya boleh didapati di tanah Borneo sahaja. OLUMES juga memiliki maknanya yang tersendiri yang bermaksud ‘cantik’ dalam bahasa bangsa Kadazan-Dusun serta menjadi lambang dalam setiap ritual kecantikan masyarakat mereka.
Mungkin kamu tidak tahu, tetapi masyarakat Kadazan-Dusun ini amat mementingkan penjagaan kulit wajah sempurna. Mereka juga memilliki rahsia dan ritual kecantikan yang terjaga rapi sejak turun-temurun. Wajah mulus mereka ini dikatakan adalah bersandarkan kepada amalan kecantikan abadi di mana mereka menyiram air ‘Kalalit’ pada wajah mereka. Melalui ritual kecantikan tradisional ini, OLUMES mula menjejak inti pati hebat ini.
Secara tidak langsung, ekstrak ‘Kalalit’ ini menjadi intipati signatur dalam setiap formulasi produk mereka.
Apa itu ‘Kalalit’?
Sejenis kayu yang berasal dari rantau Asia Tenggara ini sering digunakan sebagai penawar tradisional semenjak berabad lamanya. Di dalam ‘Kalalit’ ini terkandung sebatian semulajadi yang dipanggil brazilin. Ia berfungsi sebagai agen anti-radang, anti-bakteria, anti-oksidan dan anti penuaan-foto.
“Ini antara produk terbaik pernah saya cuba,”
-Amira Azman, Pengarang Kecantikan
Saya amat memilih dalam menyarung apa yang terbaik untuk wajah saya. Ini kerana saya memiliki kulit sensitif. Dan apabila saya mendapat tahu bahawa OLUMES adalah jenama lokal yang mengamalkan prinsip ‘clean beauty’, langsung membuatkan saya teruja ingin mencuba produk ini.
Hanya menggunakan bahan-bahan botani berprestasi tinggi, tiada toksik, bebas kekejaman haiwan dan disumber secara bertanggungjawab. Bukan itu sahaja, tiada wangian, bebas ujian haiwan, ‘vegan’ serta diformulasikan tanpa silikon, minyak mineral, minyak pati, penapis UV kimia, paraben dan banyak lagi bahan kimia berbahaya adalah antara sebab saya ingin mencuba produk ini.
Saya menyarung dua produk OLUMES pada sebelah pagi dan malam. Seperti yang dicadangkan mereka, di sebelah pagi, sesudah mencuci wajah, saya akan langsung sarungkan The Refining Lotion, diikuti The Satin Cream dan pelindung sinar sebelum keluar rumah. Begitu juga sebelah malam, rutin yang sama cuma tanpa pelindung sinar sebelum tidur.
OLUMES The Refining Lotion (RM280/130ml)
Saya obses dengan losen OLUMES ini. Jujur saat menyarung pertama kali, saya agak selesa dengan losen ini. Langsung tidak melekit dan meresap cepat ke dalam kulit langsung meninggalkan rasa segar seperti baru lepas mandi. Losen bertekstur air ini sesuai saya sarungkan bukan sahaja di sebelah pagi, malahan sewaktu sesudah solat, saya sarungkan losen ini agar wajah kekal segar. Senang kata saya boleh tinggalkan rutin face mist dengan adanya losen ini.
OLUMES The Satin Cream (RM300/50ml)
Dan saya seorang yang agak cerewet memilih krim wajah yang sesuai buat kulit saya. Saya memiliki kulit jenis kombinasi. Jadi sudah tentu saya mahukan sesuatu yang selesa pada kulit wajah saya, terutama sekali sewaktu tidur. Dan boleh dikatakan, The Satin Cream daripada OLUMES ini memiliki segalanya yang saya mahukan. Ia meninggalkan kemasan seolah saya menyapu bedak pada wajah saya. Begitu lembut bak satin! Dan keesokan paginya, saya dapat rasakan kulit wajah saya masih segar sewaktu bangun tidur.
Sudah lebih seminggu saya menyarung dua produk OLUMES ini, perkara pertama yang saya dapat lihat pada wajah saya adalah, ia langsung tidak membuatkan kulit saya meradang atau tidak selesa. Kulit wajah langsung tidak meragam. Malah, saya dapati kulit wajah saya seakan menjadi lebih cerah dan berseri daripada dalam. Begitu hebat sekali penangan ekstrak ‘Kalalit’ ini.
Untuk kamu yang mahu mencuba produk lokal yang menghasilkan rangkaian penjagaan kulit premium dan berkualiti, saya cadangkan untuk kamu mencuba dua produk mereka ini.
Yang membuatkan saya semakin menyukai jenama ini adalah mereka turut mengambil langkah aktif melalui inisiatif ‘Save The Rainforest’ di mana mereka akan menyumbangkan sebahagian daripada hasil jualan produk OLUMES kepada pemeliharaan hutan hujan. Sambil membeli, sambil kita memberi kembali kepada tanah dan bumi tercinta.
Untuk memiliki The Refining Lotion (RM280/130ml) dan The Satin Cream (RM300/50ml) ini, bolehlah kunjungi laman rasmi OLUMES. Dan jika kamu mahu mencuba pek percubaan, bolehlah mencuba The Discovery Set mereka pada harga RM200 sahaja.
Apa pandangan anda?