Posted on December 9, 2020
Ada dua perkara yang menarik tentang Zendaya bulan ini – pertama, episod istimewa siri Euphoria dan yang kedua, dia dipilih sebagai wajah rasmi untuk jenama Valentino. Oh, And December is just getting better kerana di samping Bottega Veneta mencuit pandangan kita pada himpunan Wardrobe 01, Gucci pula mendukung UNICEF untuk membekalkan vaksin COVID-19. Woo-hoo!
ZENDAYA JADI WAJAH RASMI VALENTINO
Tahun ini sememangnya adalah tahun Zendaya. ‘Penangan’ watak Rue dalam siri Euphoria telah mendatangkan jaya dan memaniskan hidup Zendaya. Kerana siri itulah yang mengangkat namanya dan dia kini sudah bergelar pelakon terbaik Emmys pada usia muda – yang dia raih di anugerah Emmys baru-baru ini, mengungguli Jennifer Aniston dan Sandra Oh. Perjalanan kariernya tidak tergencat di situ sahaja. Pada awal tahun 2020, Zendaya dilantik sebagai duta jenama barang kemas Bulgari dan ketika menunggu tahun 2021 yang serasa menggeliat tiba ini, muncul pula satu khabar baik. Zendaya disunting menjadi wajah rasmi untuk jenama Valentino!
Mengandaikan esok lusa serta mengingati perkara lampau, yang diperkasakan lagi dengan perkara semasa dan Pierpaolo Piccioli percaya bahawa Zendaya adalah insan yang dapat menghubungkan ketiga-tiga hal itu. Keyakinan Piccioli juga bersemi kepada cerminan imej Zendaya yang bisa mempersonifikasikan konsep romantisisme – melambangkan estetik atau nada gaya kontemporari Piccioli. Lantaran itu, ia mendasari pemilihan Zendaya sebagai wajah rasmi Valentino.
Kecocokan pemilihan Zendaya juga bersendikan nilai-nilai yang diterapkan oleh Piccioli sepanjang mengepalai jenama Valentino, yakni kesedaran, saling merangkum, menaruh empati dan sifat romantik kontemporari. Kiranya, ia menegapkan semangat persekutuan di antara Zendaya dan Piccioli. Malah, Piccioli percaya Zendaya ‘membahasakan’ generasi masa kini, yang sealiran dengan aspirasi Valentino.
Menukilkan kata-kata Piccioli yang menyebut, “She is a powerful and fierce young woman that uses her talent and her work to express herself, her values and her generation as well.”
#FASHIONGIVESBACK GUCCI BANTU UNICEF, BEKAL VAKSIN COVID-19
Tidak pernah lelah membantu serta mendukung usaha murni dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19. Gucci masih rancak menyumbang juga mengumpul dana sepanjang kemelut pandemik COVID-19, sebahagian daripada komitmen #GucciCommunity. Setakat ini, Gucci berjaya mengutip dana sebanyak US$500,000 untuk didermakan kepada UNICEF USA bagi memastikan vaksin COVID-19 nanti diperoleh dan diagihkan secara saksama, terutama sekali di kalangan komuniti-komuniti yang terjejas oleh atau terdedah pada bahaya penyakit COVID-19.
#GucciCommunity juga berusaha untuk melancarkan perjalanan dana ini dengan memunculkan idea tabung atau pungutan derma dollar for dollar, bagi menambah jumlah sumbangan sebanyak US$100,000 menerusi kempen ’21-day challenge’ yang menggalakkan orang ramai untuk menderma bermula 5 Disember lepas sehingga 26 Disember nanti.
Gucci bahu-membahu dengan UNICEF bagi menyeru orang ramai untuk menyokong COVAX – vaccine pillar Access To COVID-19 Tools (ACT) Accelerator – kolaborasi inovatfif yang menggerakkan perkembangan serta produksi dan akses saksama untuk ujian, rawatan juga vaksin COVID-19. Dana yang dikumpul oleh Gucci ini juga akan disalurkan sebagai bantuan untuk meringankan pergerakan kerja-kerja UNICEF dari segi menghasilkan vaksin COVID-19, logistik untuk meramalkan permintaan vaksin, penyediaan rantaian bekalan dan pembelian awal bekalan-bekalan. Tambahan lagi, bantuan Gucci ini malah akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan memudahkan mereka yang datang untuk mendapatkan vaksin.
Good job, GUCCI!
‘WARDROBE 01’ BOTTEGA VENETA – INTENDED FOR LIVING!
Sepanjang ‘menyais biduk’ Bottega Veneta, Daniel Lee acap kali menerokai gagasan baharu bilamana menampilkan rekaan-rekaannya. Lee tidak pernah takut mendekatkan kita pada kebaharuan dan menjentik akal kita untuk menerima inovasi dalam fesyen. Menerusi nama himpunan musim Pre-Spring 2021 sahaja, Lee menukar ia kepada ‘Wardrobe 01’ – merujuk ia sebagai ‘Wardrobe 01’, yang mengumpamakan malah mencadangkan pakaian-pakaian Bottega Veneta sebagai ‘asasi’ dalam gerobok.
Berdasarkan kegeligaan Lee, dia menelanjangi idea yang padanan dalam hal berpakaian seharusnya sama. Sebaliknya, Lee ubah semua itu dan memperkenalkan padanan pakaian yang tidak dijangka. Atau, luar biasa. ‘Wardrobe 01’ memperlihatkan satu perspektif baharu, yakni menyetarakan formality dengan ease. Sesuatu yang menurut peraturan diimbangi keselesaan. Bagi Lee, inilah definisi elegan semasa atau barangkali beginilah elegan dekad baharu tahun 2021 kelak.
Himpunan ‘Wardrobe 01’ ini membariskan rekaan-rekaan easy-to-wear, yang tersisip bersama rekaan-rekaan bermusim yang meninggalkan dampak tinggi. Segala apa yang menjadi ikon Bottega Veneta sebelum-sebelum ini diperbaharui, bagi mencipta sebarisan persalinan yang tak makan dek zaman dalam era baharu.
Apa yang amat sangat tertonjol, namun diterapkan secara ‘halus’ oleh Lee adalah gabungan rona-ronanya serta keberaniannya menggunakan rona-rona yang tidak tercapai oleh pemikiran kita. Contohnya, rona ungu lembut dimadukan bersama rona hijau pudina atau rona kulit limau dipadankan dengan rona perang semulajadi. Sebagaimana Lee mahu mengertikan kita tentang perspektif elegan baharu serta menukar musim Pre-Spring 2021 kepada ‘Wardrobe 01’, begitu jugalah dari aspek padanan rona-ronanya yang pada dasarnya bersifat saling menentang. Tetapi percubaan Lee dilihat berjaya. Sungguhpun kontra, ia nampak cohesive.
Apa pandangan anda?