Posted on December 17, 2020
Kulit badan kering tidak semestinya hanya terjadi kepada mereka yang duduk di negara beriklim sejuk sahaja. Ada antara kita yang sememangnya mengalami masalah ini. Dan ini boleh terjadi kerana faktor-faktor gaya hidup dan sekeliling seperti kekerapan mandi, penggunaan sabun kasar, usia menua serta kondisi kesihatan diri. Jika bercakap tentang negeri sejuk, lagi luaslah potensinya kerana kadar persekitaran udara kering yang lebih tinggi. Tapi tidak mengapa, di sini kami ingin kongsi 5 tip untuk elak kulit badan kering. Buat kamu yang selama ini buntu, boleh cuba tip dan saranan kami ini ya!
Gambar: pinterest
Jangan mandi terlalu lama
Kami tahu ada yang mandi sehingga satu jam. Jangan lama-lama di dalam bilik air. Hadkan waktu mandian kamu kepada 5 hingga 10 minit sehari. Lagi lama kamu berendam di dalam air, lagi mudah lapisan minyak di permukaan kulit itu akan hilang. Apabila itu terjadi, kadar lembapan semula jadi kulit juga akan berkurang. Maka, lebih mudahlah tubuh badan kering. Oh ya, pastikan mandi dengan air hangat bukan air panas! Air hangat/panas juga boleh mengeringkan kulit.
Elak guna span dan berus mandi
Jika kamu tidak boleh langkau rutin ini, gunakanlah span atau berus mandi kamu dengan berpada-pada. Jangan sental kulit terlalu kuat, gunakan dengan lembut. Sama seperti apabila kamu lap badan dengan tuala selepas mandi. Jangan gesel terlalu kuat, seeloknya tekap lembut sahaja. Belai tubuh seperti kamu belai wajah!
Sarung losen badan
Seperti wajah, tubuh juga perlu kamu belaikan dengan pelembap tambahan. Jadi belanjakan sedikit wang kamu untuk membeli losen badan. Seeloknya sapu selepas selesai mandi. Baik di tubuh dan jari-jemari. Kenapa sapu selepas mandi? Ini kerana, produk pelembap ini mampu mengunci baik lembapan saat kulit masih dalam keadaan separa basah lagi.
Kurangkan penggunaan sabun
Bukan bermaksud mandi tanpa sabun, akan tetapi kurangkan kadar kuantiti sabun yang kamu pakai pada satu-satu mandian. Jangan pam sabun kamu seluas tapak tangan pula. Dan jika boleh pilih sabun jenis melembap kulit. Jauhkan daripada guna sabun badan yang mengandungi wangian dan alkohol, ini hanya akan merosakkan lagi kulit kamu.
Jangan garu kulit badan kamu
Jika ada gatal-gatal atau bintik merah di kulit badan, jangan semena-mena hendak garu. Sapukan minyak atau pelembap pada bahagian merah badan itu. Ia boleh mengawal rasa gatal tersebut. Selain itu, kamu boleh cuba menggunakan pek ais untuk kamu tekap di bahagian badan tersebut. Ingat, jangan garu! Mimpi ngeri kalau tubuh badan kering!
Apa pandangan anda?