Posted on December 23, 2020
Daripada seorang pengguna mekap kepada seorang Pengasas jenama kosmetik global ZOEVA, Zoe Boikou antara pengusaha yang disegani di dalam industri kecantikan hari ini. Dia bercadang melancarkan jenamanya sendiri selepas dia mendapati terdapat banyak kekurangan di dalam industri kecantikan antaranya seperti daripada segi nisbah kualiti produk dan harga yang tidak seimbang. Maka, pada 2008, terciptalah ZOEVA yang kini sudah memiliki hampir 300 produk di pasaran. Mari kenali Zoe Boikou dengan dekat lagi menerusi temu bual eksklusif bersama STAIL.
Ceritakan serba-sedikit tentang diri kamu dan bagaimana minat terhadap kecantikan itu boleh terdetik.
Minat terhadap kecantikan ini datang daripada ibu saya. Pada ibu saya, penampilan dan pembawaan diri itu amat penting. Bukan sahaja dia suka bersiap untuk diri dia sendiri, malah dia akan pastikan saya dan kakak turut nampak cantik.
Apa yang membuatkan kamu ingin membina ZOEVA?
Saya mahukan berus solekan yang berkualiti tingi namun dalam masa sama memiliki harga yang berpatutan, tetapi malangnya saya tidak jumpa. Jadi, saya membuat keputusan untuk mengubah situasi ini dan saya ingin menciptanya sendiri. Saya mula menjual berus-berus solekan ini di eBay pada 2008 dan dari situ perjalanan empayar saya bermula.
Bagaimana kamu ingin ZOEVA tampil berbeza daripada jenama kecantikan lain?
Sejak dari mula lagi, perjalanan yang saya pilih ini saya pandu dengan tujuan. Saya bukan hanya mahu menjual produk, tetapi amat penting pada saya dalam masa yang sama untuk memberi kembali kepada komuniti. Visi dan misi saya adalah untuk membantu wanita di seluruh dunia. Disebabkan itu juga, kami banyak bekerjasama dengan badan kebajikan yang membantu wanita yang menjadi mangsa penderaan, pesakit kanser selain yang kehilangan tempat tinggal.
Pada pendapat kamu, apakah yang membuatkan pelanggan suka pada jenama kamu, ZOEVA?
Misi kami bukan sahaja tentang mengikuti trend kecantikan semasa. Pada kami, kualiti adalah yang utama. Saya akan pastikan serta memberi perhatian penuh kepada segala perincian produk kami. Bukan itu sahaja, kami juga mencipta produk yang cantik dengan tujuan agar semua yang memakainya mampu mengekpresikan diri dengan solekan yang mereka cipta. Sebab mengapa sehingga hari ini kami masih berada di dalam industri ini adalah kerana kami sejenis jenama indie yang punya kebebasan dalam mencipta apa sahaja yang kami mahu dan apa yang kami rasa kurang di pasaran.
Boleh kongsi bersama kami memori kecantikan pertama kamu?
Saya masih ingat lagi melihat ibu melayang eyeliner pada matanya kemudian dipadankan dengan pembayang mata rona biru. Terus, mengubah dirinya menjadi seorang wanita yang penuh berkeyakinan.
Melalui perspektif kamu, bagaimana sesuatu solekan itu boleh mengubah seseorang?
Saya lihat mekap itu sebagai salah satu cara mengeksperisikan diri dan perasaan serta membuatkan diri menjadi lebih kuat dan berkeyakinan. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada orang lain, namun dalam masa sama, mekap memberi peluang kepada kamu untuk menghargai dan menyayangi diri kamu sendiri.
Apakah nasihat kecantikan yang pernah kamu terima?
Nasihat terbaik pernah saya terima sebenarnya langsung tiada kaitan dengan kecantikan. Ia datang daripada ibu saya. Dia memberitahu, “Kamu boleh capai apa sahaja kamu mahu sekiranya kamu percaya padanya.”
Dan apa pula nasihat kamu buat mereka yang mahu membina jenama kecantikan mereka sendiri?
Paling penting sekali pada saya ialah minat terhadap apa yang kamu lakukan serta harus ada visi yang kukuh. Pastikan kamu senantiasa fokus dan tidak takut menghadapi sebarang cabaran, walaupun ada masanya agak sukar, namun kamu harus tetap kejar dan laksanakan impian kamu itu.
Akhir sekali, ada produk baharu daripada ZOEVA yang kamu teruja untuk lancarkan?
Setakat ini apa yang boleh saya kongsikan, 2021 bakal menjadi tahun yang mengujakan buat ZOEVA. Kami merancang banyak projek dan produk yang menyeronokkan. Jadi, tunggu!
5 Produk ZOEVA Pilihan Kami
ZOEVA Melody Lip Gloss (Limited Edition) Join The Dance RM51.80
ZOEVA Caramel Melange Highlighter RM57.40
ZOEVA Authentik Skin Perfector Concealer RM63.00
ZOEVA Share Your Radiance Set (Eyeshadow Palette) (Limited Edition) RM80.50
Vegan Brush Set (Set of 8) RM329
P/s: Dapatkan produk ZOEVA di Sephora atas talian dan stor hari ini!
Apa pandangan anda?