Posted on September 22, 2021
Kita sering membayangkan bahawa menu makanan diet itu selalunya kurang menyelerakan. Kamu mahu tahu beberapa pilihan makanan diet tapi sedap? Jika mahu, semak 9 jenis makanan di bawah ini.
9 jenis makanan diet sedap yang pasti kamu suka
Setiap jenis makanan yang kita ambil mempunyai jumlah kalori yang berbeza.
Malah, setiap jenis makanan ini mempunyai kesan yang berbeza terhadap rasa lapar, hormon dan juga jumlah kalori yang dibakar.
Untuk mengetahui jenis makanan diet sedap yang boleh bantu kuruskan badan, sila lihat senarai makanan ini.
#1. Telur
Nampak seperti makanan yang tidak seberapa, bukan?
Telur amat tinggi kandungan protein dan sedikit lemak. Malah, ia juga mengenyangkan.
Kuning telur mempunyai hampir keseluruhan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan jika sedang berdiet.
#2. Ikan salmon
Ikan salmon antara jenis ikan berlemak yang tinggi dengan kandungan lemak sihat.
Ia antara jenis makanan yang bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, tetapi juga mengenyangkan.
Ia mengandungi jenis protein yang berkualiti tinggi selain lemak sihat dan nutrisi penting yang lain.
Secara umumnya, ikan atau sumber makanan laut lain amat tinggi dengan kandungan iodin yang sangat penting untuk tiroid berfungsi dengan baik.
#3. Dada ayam
Dada ayam juga antara jenis makanan diet sedap yang sangat sesuai untuk mereka yang sedang berdiet.
Dada ayam bahagian ayam yang paling rendah kandungan lemak dan sangat tinggi dengan kandungan protein.
Kandungan protein yang tinggi sangat membantu kamu berasa kenyang dengan lebih lama.
Jika kamu menggemari bahagian dada ayam, kamu boleh memasaknya dengan pelbagai jenis hidangan menu makanan diet seperti dikukus atau dibuat sup.
#4. Ikan tuna
Ini kerana, jenis ikan ini tinggi kandungan protein tetapi rendah kalori.
Ini boleh membantu kamu untuk terus membina otot badan tanpa menambahkan paras kalori ketika memakannya.
Pilihlah jenis tuna dalam tin bersama air, bukannya bersama minyak untuk mengurangkan kandungan kalori.
#5. Buah avokado
Di Malaysia, buah avokado amat jarang dimakan disebabkan harganya yang agak mahal.
Namun, kamu boleh mencubanya sekali-sekala memandangkan ia antara jenis buah yang sangat baik ketika berdiet.
Kebanyakan buah-buahan lain amat tinggi dengan karbohidrat, namun buah avokado pula amat tinggi dengan kandungan lemak sihat.
Lemak dalam buah avokado ini jenis lemak sihat yang sama yang terdapat pada minyak zaitun. Ia juga tinggi kandungan air, serat dan potasium.
#6. Kekacang
Kekacang pilihan snek atau menu makanan diet terbaik untuk mereka yang sedang menguruskan badan.
Ini kerana, kekacang mengandungi jumlah kandungan serat, protein dan juga lemak sihat yang agak seimbang.
Kajian menyatakan bahawa pengambilan kekacang dapat membantu meningkatkan kesihatan metabolik selain menggalakkan penurunan berat badan.
Namun, jangan sesekali mengambilnya melebihi had kerana ia juga tinggi kandungan lemak.
#7. Yogurt
Yogurt juga termasuk dalam senarai makanan diet tapi sedap yang boleh diamalkan.
Ini kerana, yogurt mengandungi bakteria probiotik yang berfungsi meningkatkan tahap kesihatan usus.
Pilihlah jenis yogurt asli yang mengandungi kultur hidup yang aktif.
Selain itu, ambil jenis yogurt yang penuh krim kerana kajian menunjukkan ia mampu mengurangkan risiko obesiti dan juga diabetes jenis 2.
#8. Bijirin penuh
Bijirin penuh sangat dikenali ramai sebagai menu makanan diet.
Ini kerana, bijirin penuh tinggi dengan kandungan serat selain mengandungi kandungan protein yang agak banyak.
Antara jenis bijirin penuh yang boleh kamu ambil adalah seperti oat dan juga beras perang.
Oat sangat tinggi dengan kandungan serat larut yang sangat membantu mengenyangkan perut dalam tempoh masa yang lama.
Cuba elakkan pengambilan bijirin yang telah diproses kerana ia hanya mengandungi sedikit nutrisi dan bukanlah pilihan yang sihat ketika berdiet.
#9. Sup
Sup juga antara makanan diet sedap yang mudah disediakan.
Kajian menunjukkan bahawa, makanan yang dijadikan sup atau puri adalah lebih mengenyangkan berbanding makanan dalam bentuk yang masih utuh.
Ini akan menjadikan seseorang itu makan dengan kalori yang lebih sedikit.
Namun, pastikan kamu tidak menambahkan bahan-bahan yang boleh meningkatkan jumlah lemak dalam sup tersebut seperti keju, krim atau santan kelapa.
Ini sekali gus boleh meningkatkan jumlah kalori sup tersebut.
Amalkan 9 jenis menu makanan diet sedap ini
Jika kamu masih tercari-cari makanan diet sedap yang boleh menurunkan berat badan, amalkan sembilan jenis makanan ini sahaja. Pasti berkesan!
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Wa’iz untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?