Posted on November 27, 2019
Sekitar Parti Def Jam SEA Yang Hype di Singapura
Universal Music Group, peneraju dunia hiburan berteraskan muzik mengorak langkah dalam memulakan era baru muzik hip hop dan rap serantau dengan pelancaran majlis pengembangan rumah rakaman urban, Def Jam South East Asia (Def Jam SEA) di Canvas, Singapura.
Ditubuhkan pada 1984, Def Jam Recordings (nama lama) bermula sebagai label indie yang terinspirasi oleh budaya jalanan di New York dan kelahiran genre hip hop di sana. Def Jam pernah mewakili nama-nama besar dunia muzik selama 35 tahun seperti LL Cool J, Slick Rick, The Beastie Boys dan Public Enemy.
Dua dekad kemudian, Def Jam memperkukuhkan kedudukan dengan bintang Hollywood tersohor seperti Jay-Z, DMX, Ja Rule, Method Man & Redman, Ludacris, Rihanna, Jeezy dan the one and only Kanye West.
Kini di dekad keempat, muzik dan gaya hidup Def Jam berkembang menjadi sebuah jenama global – sinonim dengan kreativiti, kualiti dan keaslian – merangkumi aneka bakat hebat seperti Justin Bieber, Alessia Cara, Logic, Pusha T, Jadakiss, Vince Staples, Jeremih, Big Sean, YG, 2 Chainz dan Jhene Aiko.
Kini di bawah pimpinan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Paul Rosenberg, Def Jam membuktikan kesungguhan dan komitmen terhadap budaya hip-hop dan memperluaskan pengaruh jenama globalnya menjadi salah satu label terunggul dengan pengikut paling ramai di media sosial.
Antara paparan menarik malam itu termasuk persembahan solo tujuh artis rakaman terbaru mereka dari rantau Asia Tenggara seperti Joe Flizzow (Malaysia), DABOYWAY (Thailand), Yung Raja (Singapura), Fariz Jabba (Singapura), ALIF (Singapura), A.Nayaka (Indonesia) dan Young Bong (Thailand).
Mereka sempat berkongsi kehebatan vokal dan skil rap masing-masing di hadapan penonton istimewa daripada kalangan pelopor budaya urban dan tokoh-tokoh terpenting industri, sebelum diakhiri dengan sebuah persembahan penutup gah berupa single terbaru DABOYWAY berjudul ‘GANGSH!T’.
Acara diteruskan hingga lewat malam dengan hentakan muzik oleh DJ CZA, DJ BOMBER SELECTA dan DJ AYBUDDAH yang memberikan susunan muzik rancak untuk pentas dansa sepanjang malam.
Apa pandangan anda?