Posted on March 20, 2020
5 Filem Virus Pilihan STAIL.MY – Train To Busan, Flu, Contagion, 12 Monkeys & 28 Days Later
Wabak Koronavirus menggoncang dunia. Tidak dinafikan ia memberi panik pada sekalian umat manusiawi. Tak tersangka negara kita, Malaysia antara negara yang paling parah dilanda virus ini yang masih lagi belum punya penawarnya. Malaysia berada di tangga pertama di Asia Tenggara sebagai negara yang terjejas teruk akibat #Covid19.
Saya melakukan sesuatu yang aneh di saat saya sedari betapa seriusnya pandemik membunuh ini. Sampai-sampai saya gelintar “Filem Virus Terbaik” di laman Google dan saya menontonnya dengan khusyuk satu persatu. Maklum sahaja, ‘masa terluang’ saat Perintah Kawalan Pergerakan ini berlangsung, saya rasakan terlalu perlahan berjalan (ketawa).
Tidaklah pula saya berkata yang filem-filem ini mencerminkan realiti akan situasi wabak #Covid19 yang sedang melanda kita sekarang. Namun, sekurang-kurangnya kamu mungkin dapat pelajari beberapa kunci dan elemen penting tentang sesetengah virus – bagaimana cara ia merebak dan tentang bagaimana kadang-kadang kealpaan dan kejahilan manusia itu sendiri yang membawa kepada kebinasaan.
Baiklah tanpa membuang masa, saya senaraikan 5 filem virus terbaik (tidak mengikut susunan) pilihan STAIL.MY, seperti di bawah:
Train To Busan
Filem Korea Selatan ini saya rasakan antara filem terbaik yang pernah dihasilkan: salah satu filem bertema zombi terbaik, salah satu filem perjangkitan wabak terbaik, salah satu filem aksi terbaik di abad ke-21, salah satu filem kekeluargaan/emosi terbaik dan salah satu filem terbaik yang melibatkan insiden keretapi. 5 dalam 1. Hollywood could never.
Seorang ahli perniagaan, Seok-woo (@GongYoo) bersama anak perempuannya, Su-an (Kim Su An) menaiki keretapi ke Busan saat wabak mulai ‘merobek’ Korea Selatan. Sementara keretapi yang dinaiki mereka itu berderu laju keluar dari Seoul, segala-galanya menjadi kacau-bilau apabila jangkitan itu berhasil hinggap ke penumpang.
Mendebarkan. Mengusik emosi. Ngeri & tragis.
Flu
Satu lagi filem Korea Selatan arahan Kim Sung-Su tentang Selsema Burung atau H5N1 di 2013 yang melanda Asia (termasuk Malaysia). Ia membunuh mangsa dalam masa hanya 36 jam (1 hari 12 jam) jika terjangkiti. Populasi hampir 1 juta penduduk di bandar Bundang dalam keadaan kritikal dan mengundang huru-hara, sekiranya wabak ini tidak dibendung. Situasinya hampir sama dengan Wuhan, China beberapa bulan yang lalu.
‘Flu’ memberi perasaan berbelah bagi yang syahdu, kepincangan kerajaan, cemas dan panik serta nilai sentimental yang mencengkam.
12 Monkeys
Filem sains fiksyen arahan Terry Gilliam tentang banduan dari masa hadapan bernama James Cole (Bruse Willis) dari tahun 2035, yang ditugaskan untuk kembali pada tahun 1996 untuk menghentikan satu virus yang bakal menghapuskan tamadun kemanusiaan. Virus ini disebarkan oleh sekumpulan pengganas, ‘Army of the Twelve Monkeys’.
Cole tersalah tiba di Baltimore pada 1990, enam tahun lebih awal sebelum peristiwa pasca-kiamat 1996 tersebut berlangsung. Dia akhirnya ditangkap dan dimasukkan ke dalam hospital gila, di mana di bertemu dengan Jeffrey Goines (Brad Pitt), pesakit mental yang fanatik dengan alam sekitar dan berpandangan anti-kapitalis. Apa yang bakal berlaku seterusnya?
’12 Monkeys’ boleh ditonton di Netlix.
Contagion
‘Contagion’ adalah filem yang paling dekat dengan situasi #Covid19 sekarang. Ia tentang wabak yang berjangkit melalui sentuhan (tangan/muka/hidung). Ura-ura menyatakan #Covid19 berasal daripada sel kelawar, begitu juga dengan virus di dalam filem ini. Virus misteri ini juga belum lagi mempunyai vaksin.
Terlalu banyak konspirasi yang berlegar di seluruh dunia. Amerika Syarikat menuduh penyebaran virus ini sebagai senjata biologi. Sama halnya seperti Kerajaan Komunis China dalam kes #Covid19. Virus ini juga tidak menunjukkan sebarang simptom awal dan turut merebak dengan pantas di seluruh dunia.
28 Days Later
Jim (Cillian Murphy) terjaga daripada koma yang panjang, hanya menemukan kotanya, London benar-benar dalam kehancuran dan keadaan porak-peranda. London dipenuhi dengan makhluk separa manusia yang ganas gara-gara penularan virus “Rage”, yang merubah sifat manusia normal menjadi pembunuh yang berbahaya.
Segera dia bertemu dengan orang-orang terselamat yang lain, Mark (Noah Huntley) dan Selena (Naomie Harris). Bersama mereka berusaha mencari jawapan dan perlindungan. Filem ini mempunyai sekuel bertajuk 28 Weeks Later yang dibintangi Idris Elba.
Apa pandangan anda?