Posted on April 22, 2021
Instagram Kuasa Siswa berani menyelar politikus dan menyentuh isu-isu semasa. Tetapi kebijaksanaanya menggunakan satira wajar dipuji kerana idea-idea di sebalik semua post yang dimuat turun olehnya memerlukan proses berfikir yang panjang dan sensitif dengan persekitaran. Siapa Fahmi Reza, idea di sebalik akaun Instagram ini?
Sejak saya mula mengikuti akaun Instagram Kuasa Siswa, saya memang suka benar dengan semua seni grafik yang dihasilkannya. Saya juga suka dengan idea dan sindiran yang diselitkan dalam setiap seni grafik itu. Bagi saya ia adalah satira bijak yang mengangkat isu kepincangan politikus dan isu semasa. Sesuatu yang saya kira kita perlukan dalam kehidupan. Kerana pada kebanyakan masa, kita senang tertipu atau terkabur dengan tindakan manusia lain yang dianggap literal serta kelihatan as it is sedangkan ada agenda lain atau kenyataan lain di sebalik setiap tindakan itu.
Gambar: Instagram Kuasa Siswa
Bagi saya poster-poster satira yang dihasilkan Kuasa Siswa penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ketidakadilan, kesilapan, kekurangan, manipulasi dan realiti terhadap isu-isu yang terjadi dalam kehidupan kita seharian. Seperti isu selipar Fipper x The Noor (milik Neelofa) baru-baru ini yang menunggang agama. Kuasa Siswa pantas keluar dengan grafik yang menunjukkan kebenaran isu ini serta menyedarkan kita akan realiti di sebalik pemasaran produk tersebut.
Yang saya suka juga tentang seni-seni grafik yang dihasilkan Instagram Kuasa Siswa, ia tidak bias atau berat sebelah. Ia hanya benar-benar mengangkat kebenaran dan menyatakan fakta sesuatu isu itu sahaja. Pandangan atau pendapat serta keputusan benar-benar terletak kepada kita. Kuasa Siswa tidak mempengaruhi langsung dalam apa-apa cara sekali pun.
Siapa Idea di Sebalik Instagram Kuasa Siswa?
Bagusnya akaun ini, ia tidak berlindung di sebalik nama samaran atau orang-orangan. Jika kamu pergi ke profil akaun Kuasa Siswa, kamu akan melihat sosok lelaki bernama Fahmi Reza yang bertanggungjawab mencipta semua seni-seni grafik di dalam akaun ini. Siapa Fahmi Reza? Seperti yang ditulis dalam profilnya, Fahmi ialah seorang pereka grafik dari Kuala Lumpur yang mula menghasilkan poster-poster grafik tentang isu-isu politik di Malaysia sejak 2001 lagi.
Sudah 20 tahun Fahmi berkecimpung dalam arena ini dan kini tentunya secara semulajadi dia beralik ke platform media sosial, tempat di mana masyarakat banyak menghabiskan masa. Dia juga pernah menghasilkan rekaan untuk kempen advokasi NGO hak asasi manusia tempatan seperti SUARAM, Pusat KOMAS, Bersih 2.0, Bar Council dan Amnesty International Malaysia.
Fahmi Reza Pernah Ditangkap?
Menjadi kebiasaan pabila kamu berani menyelar pihak berkuasa atau sekadar menyatakan kebenaran, setiap tindak-tanduk kamu akan dipantau seperti kancil dihendap harimau. Apalagi jika kebenaran yang disuarakan membuka pekung atau jenayah yang mereka lakukan dalam diam. Fahmi tidak terkecuali.
Gambar: Instagram Kuasa Siswa
Dia pernah ditangkap tiga kali pada 2004, 2012 dan 2016 kerana poster grafik yang dihasilkan mengkritik dan melawan korupsi pemerintah. Pada 2016, dia didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda dan penjara kerana posternya mnegkritik korupsi bekas PM Naji Razak dalam skandal 1MDB. Tahun ini, seperti tulisnya dia sudah disoal siasat oleh polis kerana dua karya grafiknya.
Tetapi ini sama sekali tidak mematahkan semangatnya. Katanya dia akan terus komited untuk menggabungkan seni grafik, aktivisme dan politik untuk bersama-sama menggerakkan rakyat ke arah perubahan sosial. Bermula 2009, Fahmi aktif menggunakan platform media sosial untuk berkongsi poster-posternya, di laman facebook, Twitter dan Instagram.
Jika kamu sedar bahawa fungsi Fahmi Reza ini penting bagi masyarakat sama dengan saya, apa kata kita sokong usahanya dengan menjadi Patronnya di laman Patreon Fahmi Reza. Seandainya kita sama bijak dengan Fahmi dan memahami bahawa penting untuk kita disedarkan daripada manipulasi, korupsi, ketidakadilan dan berhak mengetahui kebenaran, kamu pasti tidak kisah untuk sama-sama menyokong usahanya ini. Semoga Fahmi akan terus kuat dan semangat menjalankan tugasnya dalam masyarakat.
Apa pandangan anda?