Posted on February 21, 2020
Getaran Romantika Drakula SHIMMY Andi Bernadee
Setelah kejayaan lagu keempatnya, ‘Donde’ yang menjadi tular hampir setahun sejak Mac 2019, penyanyi muda Andi Bernadee semakin bersinar. Sehingga kini, video muzik rasmi ‘Donde’ sudah mencecah lebih 19 juta tontonan.
Malah ‘Donde’ juga berjaya dinobatkan sebagai Lagu Viral Onz di Anugerah Digital Muzik Era (#EDMA2019) yang berlangsung pada 17 Januari lalu, sekaligus menjadikan kemenangan pertama penyanyi yang mesra disapa sebagai Andi, selepas hampir tiga tahun berada dalam industri muzik.
Ternyata 2019 adalah tahun yang cemerlang buat Andi apabila dia turut tercalon dalam kategori Artis Baharu MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2019 (#AME2019) dan tersenarai dalam Top 5 Lagu Paling Boom di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (#ABPBH32) menerusi lagu ‘Satu Peluang’. Tahun ini, Andi sekali lagi tercalon untuk #AME2020.
Kini bagi meneruskan momentum kecemerlangan kerjaya muziknya, Andi muncul pula dengan lagu kelimanya yang berjudul SHIMMY.
Menerusi ‘SHIMMY’, Andi sekali lagi bekerjasama dengan rapper dan penerbit, @Alifgram yang juga bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit bagi rakaman lagu ini. Alif menyuntik rentak muzik latin yang berusurkan pop reggaeton dalam susunan muziknya, sesuai dengan judul lagu ini sendiri yang membawa maksud bergoyang.
https://www.instagram.com/p/B7554honpqw/
SHIMMY bermaksud bergoyang
‘SHIMMY’ yang sarat dengan rentak dan melodi yang catchy, dilihat mampu membuat pendengar turut ‘bergoyang’ dan lagu ini turut dijangkakan bakal mencipta fenomenanya tersendiri. Menerusi ‘SHIMMY’, Andi mengharapkan kedudukannya sebagai penyanyi lelaki yang membawa konsep muzik urban di persada muzik Malaysia semakin mengukuh.
SHIMMY boleh didapati dan didengarkan di semua pelantar digital seperti Youtube, Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.
TRIVIA SHIMMY ANDI BERNADEE
Andi Bernadee atau mesra disapa Andi memulakan kerjaya muziknya pada tahun 2017 dengan lagu balada ‘Tiada Lagi Maaf’. Andi Bernadee juga pernah ditampilkan kami sebagai salah satu wajah #FreshFace2018.
Percubaan Andi dalam membawakan muzik urban bermula apabila dia diberikan kepercayaan oleh penyanyi rap asal Indonesia, Roy Ricardo untuk merakam semula lagunya, ‘Semalem Sahur Di Mana?’ pada bulan Ramadan 2018.
Kecenderungannya membawa muzik urban seperti hip hop, EDM dan pop, membuatkan Andi meneruskan langkah menerusi lagu ketiga, ‘Satu Peluang’. Lagu ini membawa konsep muzik urban. ‘Satu Peluang’ mendapat sambutan luar biasa peminat muzik tempatan.
Namun, popularitinya hanya mula melonjak apabila lagu keempatnya, ‘Donde’ menjadi tular di media sosial dan diterima baik oleh pendengar dari kalangan generasi milenial.
Kini statusnya sebagai penyanyi lelaki yang membawa muzik urban di media arus perdana, diharapkan menjadi semakin kukuh dengan pelancaran ‘SHIMMY’ sebagai pembuka 2020.
https://www.instagram.com/p/B8vv8m_HDR9/
https://www.instagram.com/p/B8Q5O6Jncf8/
Apa pandangan anda?