SEARCH

Hari Ini Kita Hidup Dalam Dunia Digital Yang Keji

Hari Ini Kita Hidup Dalam Dunia Digital Yang Keji

Dunia Digital Yang Keji

Top kebaya custom made, tali pinggang Fendi & skirt patent pleather T Syahmi

Hari itu tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Aidilfitri bertandang lagi. Saya menemani Amri ke Pasar Seloka Raya di Publika. Kebetulan kami berbuka puasa sama hari itu. Dia pula mahu mengambil kuih Arab sedap daripada teman kami Dahlia yang berniaga di situ. Waktu menunjukkan hampir jam 10 malam. Jadi kesemua peniaga di Pasar Seloka Raya sedang lagi sibuk mengemas. Hari itu pula hari terakhir Pasar Seloka Raya, jadi mereka ibarat meraikan kemenangan. Masing-masing hati berbunga mengenangkan kerancakan perniagaan sepanjang bazar ini berlangsung.

Sementara Dahlia juga sedang lagi sibuk berkemas, kata Amri, “Eh aku dan Reezal jalan-jalan dulu ya. Kejap lagi kami datang balik ambil kuih.” Ada beberapa lagi teman-teman kami yang berniaga di situ. Syed Faizal dengan produk solekannya, kami terjumpa Zaireen Azman (Umma dan Nita) serta Shera Razi (pengurus pemasaran Nelissa Hilman). Setelah berbual-bual dan bergurau dengan mereka ini kami berjalan ke arah booth so.lek. Tiba-tiba saya ditahan seorang lagi kenalan yang berniaga di situ. Dia menjual baju-baju Raya.

“Reezal, you tak nak ke beli baju ni?” sambil menunjukkan sehelai kurung merah jambu batik canting. Dalam hati saya berkata, “Cantik juga…” Tapi saya menjawab dia,”Lepas Rayalah I cari you. Masih dijual lagi kan lepas Raya?” Kerana saya ini jenis yang tidak suka tergesa-gesa membeli. Sebab melalui pengalaman, apabila membeli dalam keadaan tergesa-gesalah, barang yang dibeli sudahnya akan terjerahak dalam gerobok sahaja. “Sesuai Reezal baju ni untuk Nyonya Mansoor (akaun karakter alter ego saya di Instagram). You boleh post kat Instagram dan buat styling cara you. Tak apa Reezal. You ambil dulu. Nanti-nanti kemudian, bila-bila je you bayar,” katanya pula pada saya. Saya jadi serba-salah. Dalam keadaan serba-salah saya itulah dia meletakkan helaian tersebut dalam beg kertas dan menghulurkan pada saya.

Saya pun membawa pulang kurung itu. “Tak mengapalah…” kata di hati. “Aku ada masa fikir lagi. Mungkin aku mahu membelinya.” Tak sampai seminggu selepas Raya dia menghantar kiriman Whatsapp, “Nyonya M. Nanti buat OOTD baju please. Buat styling out of the box also,” diiringi mesej susulan butiran akaun bank untuk saya memasukkan bayaran harga baju tersebut. Oh… saya terkedu seketika. Saya bertanya diri sendiri. Apakah dia mahu aku membeli atau dia mahu aku post OOTD? Kerana dalam dunia digital hari ini, kedua-dua ini tiada hubungan sesama sendiri. Sama ada kamu beri aku secara percuma dan aku post sebagai tanda terima kasih. Atau aku beli dan post itu atas ihsan aku sendiri.

Lama juga saya berfikir tentang hal ini. Saya juga bertanya kepada beberapa teman sebelum memberi reaksi terbaik kepada kenalan saya ini. Hampir setengah hari berlalu sebelum saya memutuskan untuk GoGet kembali helaian itu kepadanya. Saya tidak mahu membelinya. Bukan kerana saya tidak mahu dan tidak suka pada helaian itu tetapi kerana sikapnya yang tiada adab dalam membuat urusan jual beli. Andai kata sikapnya tidak begitu, sikit sahaja lagi saya dah klik transfer di Maybank2U. Tapi tak habis di situ, esoknya dia mesej lagi selepas saya memberitahu yang saya akan GoGet kurung itu kepadanya. “Boleh tak you hantar baju itu minggu ini. I need it by this week…”

Aduh… rancak sekali perniagaan kamu ya hinggakan tak menyempat mahu menjual juga helaian yang satu itu kerana ada permintaan ya. Dalam masa beberapa hari selepas Raya itu ya, ada orang yang tak sabar mahu memilikinya? Mahu juga kamu yang mengeluarkan ‘kata akhir’ ya dalam urusan perniagaan tak beradab kamu ini? Saya kagum dengan perangai dia yang saya kenal pun kerana dia pernah menjadi intern saya dahulu. Kalau beginilah caranya kamu menjalankan urusan perniagaan, hanya ucapan selamat berjaya yang boleh saya kirimkan.

Dunia Digital Yang Keji

Beginilah sudahnya dunia digital hari ini. Ya saya tahu dunia digital sekarang semakin menekan dan banyak orang merasakan semakin terdesak apalagi yang menjalankan perniagaan bersandarkan dunia digital. Memasarkan produk menggunakan alam maya, mengiklan menerusi alam digital dan berjual beli secara online. Tetapi ini bukan alasan untuk kita melupakan adab dan etika dalam berniaga. Pada saya mediumnya sahaja yang baru tetapi adab dan etika berniaga itu selamanya tidak harus berubah.

Pada akhirnya kita semua pendukung dan pemain dalam dunia digital ini masing-masing mencari rezeki. Dunia digital ini ialah periuk nasi kita, tempat survival kita. Tapi bukan kah kita seharusnya membantu sesama sendiri dan berkongsi rezeki. Kerana apa-apa pun, kita semua pekerja dalam dunia digital ini. Kita membanting tulang dan sesetengahnya bekerja keras untuk sesuap nasi. Jadi tidak seharusnya wujud ada sikap mengambil kesempatan dan menggunakan orang terutamanya yang berhati baik dan tak berkira dalam urusan kerja seharian. Bukan kah ini etika dan adab yang sepatutnya menjadi amalan dalam bekerja, berniaga dan kehidupan kita?

Janganlah kita menjadikan dunia digital ini keji dengan sikap celaka kita. Dua minggu selepas insiden bersama kenalan saya tadi, saya duduk pula makan malam dengan beberapa teman lain selepas kelas spinning di Aloha Cycle Club. Bercerita kepada salah seorang teman saya, dia menjawab, “Oh samalah dengan portal jualan online gaya hidup yang satu ini. Sebelum Raya hari itu, mereka menghantarlah bungkusan penuh dengan goodies. Baju kurung, kuih raya dan produk-produk kecantikan (semua yang dijual di portal mereka). Lepas tu ada nota menyebut, “This would be great for your mom.” Dan dalam kotak yang sama ada invoice menyatakan nilai kesemua barang-barang itu.”

Saya sekali lagi terkedu. “Is this a new business module that I don’t know?” tanya saya pada teman. “Macam pusher pun ye…” sambung saya lagi. Mereka semua ketawa berdekah-dekah. Dah memang betul pun. Kalau boleh menghantar dulu barang (tanpa diminta) dan kemudia meminta pula orang membayarnya, bukan pusher ke tu namanya. Seorang teman mekap artis pula menghubungi dalam perjalanan saya ke event satu hari ini. Katanya, pegawai PR satu jenama dari Eropah ini menghantar kiriman Whatsapp. “Did you get my email about our latest product?” Dia terpinga-pinga. Tak ada pula emel baru yang diterimanya. “Aku pun cek lah semua akaun email aku.” Kerana dia memiliki beberapa. Kemudian dia menjawab kepada pegawai PR itu, “I didn’t get any email from you.”

Pegawai PR itu kemudian menghantar Whatsapp panjang menerangkan tentang produk terbarunya itu. Bersama dengan penerangannya diberikan juga langkah-langkah untuk post di Instagram, details yang perlu dimasukkan dalam post dan masa yang sesuai untuk post. Nah, satu lagi bentuk kecelakaan digital yang berlaku hari ini. Demi memenuhi desakan dari pihak pengurusan, sampai sanggup mengenepikan etika bekerja. Nasihat saya pada teman mekap artis saya itu tadi, “I usually charge RM5K for a post on my Instagram.” Jadi biarlah dia tahu, kalau tidak ada bajet yang sebegitu dalam rangka promosi produk itu, jangan berangan lah semudah itu orang akan membantu mempromosikan. Melainkan kalau kamu benar-benar baik hati orangnya serta banyak pula membantu.

Bukan Ini Caranya Untuk Survive Dalam Dunia Digital

Saya memang tak nafikan dunia digital hari ini semakin mencabar. Pemain-pemain dunia digital terdesak mencari cara untuk berlumba-lumba ke depan tak kiralah produk, diri atau perkhidmatan yang disediakan. Tetapi seperti kata saya awal tadi, tiada perlunya kita bersikap celaka untuk survive dalam dunia mencabar ini. Pada saya ini bukanlah caranya kita untuk meneruskan hidup dalam dunia serba baru ini. Benar kita perlu berusaha keras untuk survive dan untuk hidup tetapi kita juga perlu ingat, we have to earn to live. Jadi buat yang membaca saat ini, apa kata kita berjanji untuk membayar sesama sendiri dan membantu sesama kita earn from each other. Bukankah itu bayangan yang lebih harmoni dan healthy?

Agar dunia digital kita ini lebih sihat sebagai tempat kita cari makan. Bukan itu sahaja, ia juga harus menjadi dunia yang lebih seronok dan mengujakan untuk kita diami.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE