SEARCH

Malaysia 2020, Apakah Kita Cukup Progresif dan Bersedia?

Malaysia 2020, Apakah Kita Cukup Progresif dan Bersedia?

Kurang empat bulan lagi kita akan menyambut kedatangan tahun 2020. Ingat lagi tak waktu tahun 2020 ini dicanangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai salah satu wadah menjana negara kita sewaktu dia berada di tampuk pemerintahan dulu? Dia menggelarnya sebagai Wawasan 2020. Ini visi yang mahu dia capai untuk Malaysia. Visi ini diperkenalkannya pada 1991. Bagus visi ini sewaktu di awal pengenalannya itu. Saya pasti waktu itu rakyat Malaysia berkobar-kobar mahu menjana Malaysia sesempurna yang digambarkannya dalam Wawasan 2020. Saya ingat membesar pada waktu itu, iklan-iklan TV, sepanduk digantung di merata-rata dan tak silap saya ada lagu khas diperkenalkan untuk membakar semangat rakyat Malaysia. Apakah Malaysia 2020 ini boleh dicapai?

Secara amnya seperti yang ditulis William Greider dalam eseinya pada 1997 bertajuk ‘Wawasan 2020’, visi ini menurut Tun Mahathir adalah untuk melihat Malaysia menjadi negara industri yang berdikari yang mana ekonominya akan membangun sehingga lapan kali ganda menjelang 2020. Masyarakat Malaysia pula seperti yang sering ditekankan Tun Mahathir akan menjadi “psychologically subservient to none.” Greider datang ke Malaysia dan dia menemubual beberapa ketua syarikat asing yang membuka kilangnya di Kuala Lumpur antaranya Motorola serta melihat dengan mata kepalanya sendiri akan situasi bekerja pekerja-pekerja setempat di kilang tersebut.

Wanita-wanita muda yang bekerja sebagai operator pengeluaran datang ke tempat kerja memakai helaian-helaian sopan – “flowing ankle-length dresses, head and shoulders darped by the Muslim tundjung, silken scarves of pale blue, orange and brown,” tulisnya. Ada beberapa yang memakai kerudung hitam yang lebih konservatif membingkaikan wajah masing-masing seperti bentuk hati coklat dan “encased the upper body like shrouds” menurutnya. Rata-ratanya pabila melintas di hadapan country manager Motorola, Roger Bertelson tidak berani pun mengangkat muka.

Kata Bertelson, “Kami perlu merubah budaya di sini kerana dalam isi rumah Melayu wanita tidak digalakkan bersuara. The daughter is supposed to have babies and take care of the husband. Idea kami ialah untuk memecahkan halangan bersuara ini. We use positive reinforcement, just like you would work with schoolchildren. Pertama yakinkan mereka bahawa kamu akan mendengar pandangan mereka. Then have them stand up before their peers for recognition.”

Kalaulah Greider datang ke Malaysia hari ini, sayang sekali selepas 32 tahun berlalu, keadaannya masih sama ya Greider. Adalah perubahan tetapi sedikit sangat kalau ada pun. Sebab wanita-wanita di Malaysia kebanyakannya masih sama dengan pekerja-pekerja di Motorola dan budayanya juga masih lebih kurang sama. Maknanya Wawasan 2020 itu masih jauh panggang dari api. Saya rasa elok juga kalau saya menggariskan beberapa visi yang diimpikan Tun Mahathir untuk Wawasan 2020. Saya akan bandingkan dengan keadaan masa kini, jadi kamu sendiri boleh menilai sama ada sudah tercapai sedikit kah atau masih jauh lagi pandangan itu? Dengan masa kurang empat bulan sahaja lagi sambutan 2020.

Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.

Apakah kita hidup dalam masyarakat yang demokratik hari ini? Mungkin berdasarkan pilihanraya yang lepas, benar kita semua memilih kerajaan secara demokrasi. Tetapi jika bercakap tentang demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang serta menjadi contoh kepada negara membangun, saya rasa ini masih jauh dari objektifnya. Terlalu-lalu banyak lagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai persefahaman matang dan tentu sekali kita tidak hidup dalam komuniti yang berasaskan masyarakat.

Setiap kita masih bersikap individualistik dan hanya mementingkan diri sendiri semata-mata. Kalau mahukan contoh lihat sahaja pada keadaan sesuatu taman perumahan atau sekolah misalnya. Apakah ada semangat kekitaan di tempat-tempat ini? Atau paling mudah lihat sahaja dalam persekitaran kerja kamu? Apakah semangat masyarakat itu wujud. Yang boleh saya kata, kalau benar kamu bekerja dalam syarikat yang memiliki budaya ini, tahniah kepada ketua syarikat kamu yang memupuknya. Bukan pada kerajaan dan negara kita tentunya.

Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.

Oh yang ini memang harus dipersoalkan. Terlalu-lalu banyak rasanya saya menonton video rakaman yang dikongsi di laman facebook tentang masyarakat kita yang tidak beretika. Ingat lagi video seorang wanita di Kuantan yang memukul pecah lampu kereta yang melanggar keretanya? Nah di manakah etikanya ketika itu? Begitu juga jika berlaku kemalangan. Perkara pertama yang akan orang kita buat sebaik keluar daripada kereta pastinya terpekik terlolong mahu membuktikan siapa salah dalam kemalangan itu.

Sedangkan kalau kita masyarakat bertamadun, bukan kah kita seharusnya bisa berbincang secara baik dan sama-sama bersetuju akan penyelesaian terbaik? Semudah jika kamu membeli barang di supermarket lah, kata terima kasih dan senyuman pun haram kita perolehi daripada juruwang yang menjaga kaunter. Sedangkan kita memberi bisnes kepadanya. Bukankah ucapan terima kasih dan senyuman itu sepatutnya menjadi etika si penjual? Dan ini semua tentunya berpunca daripada kurangnya nilai agama dan kerohanian dalam diri justeru apalagi memiliki etika paling tinggi?

Masih terlalu banyak juga pegawai-pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas tanpa etika. Waima di jabatan imigresen, balai polis mahupun di jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Ada teman yang bercerita dia didekati beberapa middle man yang mengaku boleh memastikan kontrak-kontrak kerajaan dan projek-projek besar masuk jika mereka dibayar komisen yang ditetapkan. Apakah ini beretika namanya? Dan setelah 38 tahun visi Wawasan 2020 diperkenalkan, gejala-gejala tak beretika ini masih terjadi? Jangan mimpilah mengatakan bahawa Malaysia ini negara membangun. Kita sebenarnya masih dalam kategori negara dunia ketiga.

Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

Tolong jangan guna perkataan liberal untuk masyarakat kita hari ini. Kekolotan pemikiran masyarakat kita hari ini sebenarnya amat memalukan. Untuk sebuah negara yang sudah lama merdeka, keterbukaan minda orang kita berfikir dan menerima akan idea baru malah budaya orang amat tersekat. Masih banyak yang lebih senang bersikap konservatif dan selesa duduk kekal di takuk lama tanpa memahukan perubahan atau memikirkan gaya hidup lebih baik untuk diri sendiri. Dan senang pula melenting pabila ditegur atau dinasihat orang tentang idea atau cara baru yang lebih memudahkan dan moden.

Stigma tentang agama pula masih wujud di kalangan kita. Lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang beragama Islam. Rasa berhak dan lebih baik berbanding agama lain masih wujud dalam diri masyarakat hari ini. Sedangkan kalau benar kita liberal, kita harus menghormati agama dan pilihan orang lain. Bukan dengan mudah dan sewenang-wenangnya merasa agama kamu lebih baik berbanding orang lain. Walaupun tidak secara literal mereka yang beragama Islam melakukan ini tetapi daripada ceramah, dakwah dan kata-kata yang mereka utarakan, inilah persepsi yang saya dapat daripada mereka.

Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.

Baiklah mungkin tidak perlu pun kamu mengikut saranan Tun Mahathir melalui dasarpandang ke Timur. Bandingkan sahaja dengan jiran kita Indonesia. Dari sudut teknologi, mereka nyata jauh lebih progresif berbanding kita. Pengguna telefon pintar mereka jauh lebih ke depan berbanding kita. Penggunaan media sosial mereka membuat kita berasa malu. Sama juga halnya dengan Thailand. Sekurang-kurangnya kerajaan mereka tidak menyekat kelajuan jalur lebar di negara mereka hanya kerana bimbang rakyatnya memperoleh maklumat-maklumat yang boleh mengembangkan minda mereka.

Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini adalah masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.

Yang ini saya hanya akan berkongsi pengalaman saya menguruskan perniagaan saya sendiri. Dominasi kaum tertentu di pihak klien dalam bidang perniagaan saya sangat meluas. Mereka mengetuai syarikat dan jenama. Berdasarkan projek-projek yang kami cadangkan kepada mereka saya boleh kata, kami telah mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik serta mengusulkan idea serba baru dan progresif. Tetapi kerana perbezaan kaum, kebanyakan klien dan jenama lebih senang mengatakan ya kepada kaum yang sama. Sayangnya saya tidak memiliki itu di pihak saya. Maka sudah berjuta kali saya menerima rejection dan terpaksa berusaha mengikut cara saya sendiri untuk memastikan perniagaan saya kekal terapung dalam pasaran yang mana hanya satu kaum mendominasi.

Jadi jika kamu tanya saya apakah wujud keadilan dalam bidang ekonomi? Tidak wujud. Apakah kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama? Tidak sama sekali. Perkongsian? Ohhhhh sekali lagi saya mahu sebut, jauh panggang dari api. Apalagi kalau kamu tanya saya tentang perjalanan Malaysia menuju Wawasan 2020. Ohhhh masih jauh nampaknya. Sayang sungguh kerana pengenalan dan visi ini sudah lama diperkenalkan. Seharusnya kalau pemerintah follow through dari waktu ia diperkenalkan, hari ini kita sudah boleh dikenali sebagai negara maju mungkin. Dan bagi saya ini bukan berkenaan dengan parti atau individu mana yang memerintah. Kerana ia adalah visi negara, bukan visi parti.atau individual. Ia adalah visi yang sangat bagus dan mantap untuk sesebuah masyarakat juga negara.

Dalam satu temubual Tun Mahathir bersama Berita Harian bertarikh 8 Mei 2019, katanya Wawasan 2020 tersasar, ganti Wawasan 2025. Katanya is tersasar kerana pengganti yang mengambil alih selepas dia meletak jawatan memastikan ia tidak tercapai. Inilah maksud saya tadi kalaulah ia tidak dianggap sebagai visi parti atau individu. Aduhhh saya benar-benar berharap kali ini sasarannya itu akan jadi nyata. Kerana dia sudah mengambil alih kembali tampuk pemerintahan. Bermakna dia boleh memastikan yang ia akan menjadi nyata. Dia ada empat tahun lagi untuk menjadikannya nyata. Saya tahu ia tidak mudah. Tapi jika dia benar-benar menganggap ini janji dia untuk Malaysia, pasti dia akan berusaha untuk merealisasikannya. Sekurang-kurangnya bayangan Malaysia maju dan sempurna buat saya benar-benar tergaris dalam semua visi yang disenaraikan untuk Wawasan 2020.

malaysia 2020

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE