Posted on November 7, 2019
Pecah keringatnya sampai kering, bekerja tak kenal erti penat lelah sementara yang lain sedang lena di ranjang sehinggalah fajar menyingsing. Pulang dari kerja, Christopher John Rogers akan sambung mengusahakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk menempatkan jenama senamanya di dalam medan fesyen. Inilah ‘singgahsana’ yang Christopher idamkan, yang sememangnya dia cintai dan takkan terusir impiannya untuk menjadi pereka fesyen terkemuka!
Menyitir kata-kata Christopher, yakni pabila amat menyukai sesuatu perkara itu dan ditakdirkan untuk melakukannya, jangan tewas. Go for it.
Kemunculan nama Christopher John Rogers yang mempersembahkan debut di minggu fesyen New York yang lepas telah beroleh kemenangan. Ia adalah pencapaian yang membanggakan. Selesai mementaskan himpunannya, undangan-undangan yang hadir termasuklah orang-orang penting fesyen sederap berdiri, memberi tepukan gemuruh tanda sanjungan ke atas hasilan-hasilan Christopher.
Dalam kita asyik pada rekaan-rekaannya yang glamor, feminin dan sarat dengan butiran dramatik, sebaliknya pemikiran Christopher sewaktu menghasilkan himpunannya cukup ‘unik’. Seperti contoh, himpunan musim bunga panas 2019-nya. Kita akan ingat himpunan tersebut bersandarkan glamor musim panas. That’s it, nothing more. Namun menurut temu ramahnya bersama CFDA, himpunan itu merangka satu penceritaan pertunjukan couture di gurun yang tak berpenghuni seperti di planet Marikh.
Malah himpunan musim bunga panas 2020 baru-baru ini pun, Christopher menyusun sandiwara yang luar biasa. Rujukannya bermula daripada memperhalusi susuk jijak orang jegela sehinggalah pengamatannya terhadap lukisan Paul Gauguin.
Sebaik warta penganugerahan CFDA / Vogue Fashion Fund untuk tahun ini mencapai ke telinganya, Christopher lantas mahu menyertainya. Dan siapa sangka, Christopher merangkul gelaran johan, membawa pulang 400,000 dolar berserta bimbingan mentor daripada ahli CFDA. Tahniah Christopher!
Untuk mengenali serba sedikit siapa Christopher John Rogers, kami himpun lima fakta ringkas mengenainya.
BERASAL DARI BATON ROUGE, BERPANGKALAN DI BROOKLYN
Christopher John Rogers dilahirkan dan dibesarkan di Baton Rouge, Louisiana. Sama seperti mana-mana individu yang memburu impian untuk membina nama dalam lapangan fesyen, Christopher berhijrah ke New York. Memilih Brooklyn sebagai tempat dia mengoperasikan jenamanya. Christopher adalah seorang yang berdikari. Dia tidak kisah bekerja di ruang tamu kecilnya, dengan bantuan teman-teman dalam mengerjakan hasilan-hasilannya.
‘RUANG TAMU KECIL’ TETAPI KLIEN NAMA BESAR!
Sekecil-kecil ruang tamu tempat dia bekerja pun, Christopher berjaya meraih perhatian nama-nama besar. Bukan calang-calang, ya. Rihanna, Tracee Ellis Ross, Greta Lee dan Lizzo adalah antara yang sudah menggayakan rekaan-rekaannya. Dan tak lupa, First Lady Michelle Obama juga adalah ‘peminat’ nombor satu Christopher!
BUTIRAN DRAMATIK = IDENTITI CHRISTOPHER JOHN ROGERS
Christopher menafaskan kembali butiran-butiran dramatik ke dalam fesyen. Sementara orang sekarang taasub dengan rekaan-rekaan berlandaskan streetwear, sesuatu yang mengaburi garis lintang jantina dan bersifat individualistic, Christopher berpaling arah, memfokus sepenuhnya kepada glamor serta citra kewanitaan. Ropol-ropol, perincian feminin, evening glamor, febarik berkilau-kilau dan rona-rona terang menjadi sinonim dengan nama Christopher.
SZA MEMAKAI HASIL REKAANNYA DALAM ‘ALL THE STARS’
Antara kemunculan awal Christopher dalam industri fesyen, yang menambat perhatian pencinta-pencinta fesyen. Christopher pernah menghasilkan rekaan dan dipakai oleh SZA dalam video muzik ‘All The Stars’! Di awalan video muzik ‘All The Stars’, SZA menyarung dress rekaan Christopher – dress bustier multi-rona bersama seluar sut. Video muzik itu sangat stailish, sehinggakan Vogue turut menamakan video muzik tersebut “a fashion gold mine”.
RESUME IMPRESIF CHRISTOPHER
Christopher sudah pernah bekerja dengan jenama-jenama fesyen ternama lain. Dia menempa pengalamannya bersama Rosie Assoulin dan bekerja dengan Diane von Furstenberg, dalam pada mencipta jenamanya sendiri. Sewaktu mempertontonkan debut di minggu fesyen New York, Diane adalah antara yang duduk di barisan hadapan memberi sokongan padu kepada Christopher.
Apa pandangan anda?