Posted on February 14, 2017
FAIZ HAK, 28 – JURUTERA / PERAGAWAN / PELAKON
1 – Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu, apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?
Nama penuh saya Muhammad Faiz bin Abdul Hak. Berasal dari Johor Bahru, tetapi membesar di Kuala Lumpur. Menimba ilmu di Victoria Institution dan melanjutkan pendidikan tinggi dalam Pengajian Asasi (Am) di Wellington University, New Zealand.
Kemudian, menjalani pengajian Sarjana Muda dalam Bidang Perniagaan dan Pemasaran (Minyak & Gas). Sekarang saya bekerja di sebuah syarikat perkapalan, EA Tecnic Malaysia Berhad sebagai Pegawai Penyelaras (Project Coordinator).
2 – Kamu juga seorang peragawan, ceritakan kepada kami bagaimana kamu menceburi bidang peragaan ini?
Sejujurnya, ketika zaman universiti kerana tidak mahu membebankan kedua ibu bapa saya soal kewangan. Bermula sebagai seorang peragawan komersial dan iklan televisyen.
3 – Kempen terbesar yang pernah kamu peragakan?
DOCKERS. Ia antara pencapaian tertinggi karier peragaan saya. Melihat diri saya tersenyum dalam sepanduk iklan gergasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, benar-benar suatu perasaan yang surealis.
Rasa bertuah kerana diberikan peluang menjayakan projek ini bersama nama-nama besar industri seperti Remi Ishak, Henry Golding dan Henry Hii.
4 – Apakah keadaan fikiran (state of mind) kamu semasa melewati pentas runway?
Just enjoy the moment. Berikan persembahan terbaik. Berfikir apa yang pelanggan mahukan.
5 – Kamu juga seorang pelakon, ceritakan pula bagaimana kamu menceburi industri lakonan? Filem/drama pertama lakonan kamu?
Kerana Mia Ahmad. Sudah lama saya mengenalinya sejak dia bergelar peragawati lagi. Satu hari, dia mengundang saya ke sesi casting untuk drama baru milik seorang penerbit.
Pada mulanya, saya teragak-agak untuk pergi. Masakan tidak, selama ini saya hanya melakukan peragaan komersial yang tidak memerlu barang sepatah dialog pun. Hanya mainkan ekspresi muka sahaja. Akhirnya, saya cuba dan berjaya mendapat watak pembantu dalam drama pertama saya yang bertajuk “Sweetie Nanny”.
6 – Justeru, apakah kamu melihat terdapat perbezaan yang ketara antara bidang lakonan dan peragaan?
Melihat pelakon memainkan watak memang nampak mudah. Semua nampak senang. Namun percaya lah, setelah saya mencuba sendiri, baru saya tahu betapa sukarnya berlakon. Saya beri tabik hormat pada mereka. It’s a new found experience for me.
7 – Saya melihat banyak gambar kembara di laman Instagram kamu ( @firezze ), boleh kongsikan apa perkara yang kamu suka sepanjang sesi kembara kamu itu? Perkara-perkara manfaat yang boleh dikongsi bersama?
Saya suka melihat perkara baru. Belajar adi budaya dan merasa pengalaman berada di negeri orang. Pengalaman yang membuka minda. Pengalaman seperti menyertai program amal jariah.
Saya pernah berkunjung ke Kampung Cham, Kemboja bagi menghulurkan bantuan untuk masyarakat Islam di sana. Komuniti Muslim Kemboja diabaikan kerajaan mereka. Melihat kedaifan itu yang melampau membuat saya rasa rendah diri.
Jika berkunjung ke negara-negara Eropah pula, saya akan perhatikan kelebihan mereka. Melihat tatakerja dan cuba menyelami cara mereka berfikir sebagai sebuah negara. Bagaimana mereka boleh jadi semaju itu? Mungkin saya boleh bawa pulang idea mereka ke Malaysia dan bersama-sama memperbaiki negara kita.
9 – Sebagai seorang yang rupawan, bagaimana kamu melihat kehidupan? Dan bagaimana kehidupan melihat kamu?
Bagaimana saya mahu terangkan, ya (ketawa)? Orang kata, rupa itu memberi kelebihan. Dan kelebihan itu katanya memberi dia sebuah kehidupan yang sempurna.
Namun bagi saya, kehidupan semua orang sama sahaja. Tak kira dia ada rupa atau tidak. Asal namanya manusia, dia pasti punya kelemahan. Orang hanya melihat yang luaran tanpa mahu melihat sedikit pun yang dalaman.
Sebenarnya, sejak kecil saya seorang yang sangat pemalu. I have stage fright and confident issues. Bagaimana saya melawannya? SAYA PERCAYA PADA KEMAMPUAN DIRI SAYA.
10 – KEHIDUPAN itu bagi kamu?
“Life is not measured by the number of breaths we take, but by the moments that take our breath away.” – Vicki Corona
Maksudnya, hargailah saat-saat yang beredar sepanjang kehidupan kita. Saat bersama keluarga. Saat bersama rakan-rakan dan orang-orang di sekitarnya. Saat yang bermakna, saat bahagia. SAAT YANG MEMBUAT KITA BERHENTI MENGIRA KEHIDUPAN.
Apa pandangan anda?