Posted on January 25, 2020
Sitting Editor: Ardi Idewani
Pakaian: UNIQLO
Gambar: Edmund Lee
Solekan: Emmy Agung
Rambut: Fendi Sani
Arahan Seni: Merrissa Emilda
Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani
Video: Jordi Harris, Zaidi Che, Ryan Mohamad & Ashura Hakim
NURUL NADIA RASIDI – SURI RUMAH TANGGA
1. Siapakah di sebalik nama Nurul Nadia Rasidi dan apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?
Saya seorang wanita yang berani mengambil risiko dan berani mencuba untuk mencapai apa yang saya mahukan dan impikan. Saya sanggup mati kerana mencuba daripada mati dalam penyesalan dan tidak mencuba. Saya tidak pernah berputus asa dan sentiasa percaya akan ketentuan Ilahi. Saya seorang ibu dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Saya amat berbangga dengan diri saya, seorang suri rumah sepenuh masa, menguruskan anak-anak, rumah, suami dan diri sendiri. Saya ibarat CEO kepada keluarga saya. Saya bangga mengatakan bahawa suri rumah adalah kerjaya saya.
2. Apakah kelebihan menjadi seorang suri rumah?
Perkara menarik menjadi seorang suri rumah tangga ialah dapat menyaksikan setiap detik perkembangan dan momen-momen penting dalam keluarga, baik daripada suami hingga anak-anak. Dapat melihat keluarga kecil saya berkembang dan menguruskan mereka sendirian. Akhir sekali, saya tahu saya tidak akan menyesal di masa hadapan kerana saya percaya telah memberikan yang terbaik kepada keluarga saya.
3. Selain daripada suri rumah apakah bidang lain yang mahu diceburi? Mengapa?
Saya sentiasa menggemari seni dan sains. Perihal arkitek, rekaan, idea dan mencuba perkara baharu adalah sesuatu cabaran yang saya cari dan nanti-nantikan. Apa sahaja berkenaan dengan seni, eksplorasi dan cabaran sentiasa membuatkan saya gembira dan teruja.
4. Pencapaian terbesar sepanjang hidup?
Tentulah menguruskan anak berusia 7, 5 dan 3 tahun serta suami. Ia adalah pencapaian terbesar kerana dapat memberi fokus kepada setiap seorang daripada mereka. Saya tidak percaya mampu buat tugasan ini sendirian. Walaupun ia tak akan pernah menjadi tugas yang ringan tapi saya boleh berhadapan dengan segalanya dan cabaran ini tidak terhenti di sini. Long way to go. Ia tidak mudah dan tidak juga mustahil untuk ditempuhi.
5. Siapakah Nadia 10 tahun ke hadapan?
Seorang ibu yang gembira dan berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan. Seorang ibu yang dapat melihat banyak kejayaan dan kemajuan dalam keluarga saya. Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana untuk tidak takut mencuba apa yang telah diimpikan, asalkan kamu bahagia dan puas dengan apa yang telah diusahakan. Tidak kira berjaya atau gagal, jangan pernah menyerah! Selagi kamu belajar dan memperbaiki perkara yang telah kamu lakukan, kamu adalah gadis yang hebat! Bagi saya, itulah wanita yang saya mahu jadi, seorang wanita yang dapat melihat setiap perkara di sisi positif dan berjaya menikmati setiap saat dalam hidup bersama orang yang disayangi.
6. Apakah yang kamu mahu capai pada 2020 ini?
Sebagai ibu, saya berhadapan dengan fasa baharu dalam kehidupan di mana anak-anak sudah memasuki cabaran alam persekolahan. Saya mahu lebih kuat dalam mengawal emosi, sistematik dan kuat secara fizikal untuk berhadapan dengan cabaran baharu tahun ini. Membesarkan anak-anak adalah cabaran yang takkan pernah putus. Emosi akan bercampur baur, ada kalanya mendapat kejutan. Untuk pencapaian peribadi, saya berharap saya dapat menempuhi cabaran baharu dengan STAIL.MY (sambil ketawa). Saya tidak pernah bayangkan berada di hadapan lensa dan tumpuan ramai. Saya mahu dengan kebaradaaan saya di platform ini dapat memberi inspirasi kepada suri rumah di luar sana yang sama seperti saya.
7. Adakah kamu membentuk kerjaya anak-anak kamu?
Sebagai ibu bapa, kita diciptakan untuk membimbing bukanlah mengawal masa depan mereka. Saya amat mementingkan kebahagian anak-anak saya. Saya akan menyokong, walau apa pun bidang yang mereka ingin ceburi asalkan mereka bahagia dan ia tidak memudaratkan diri mereka. Kami cuba membimbing mereka dengan cara terbaik, saya percaya mereka akan memilih jalan yang betul.
8. Dunia semakin parah dengan pencemaran, apakah sumbangan kamu terhadap alam sekitar?
Jika bercakap tentang pencemaran, ia bukanlah tanggungjawab seseorang individu. Ia seharusnya menjadi tugas komuniti. Apa yang saya lakukan sebagai sebahagian daripada komuniti ialah saya memberi kesedaran kepada anak-anak saya tentang persekitaran dan sentiasa cintakan alam sekitar kita. Jadi mereka boleh memberitahu kepada orang lain. Bayangkan 1,000 kanak-kanak sedar akan kepentingan ini, saya percaya kita dapat mencipta satu generasi yang terdidik dan melindungi alam sekitar. Saya juga mempunyai rutin keluarga yang saya namakan ‘satu hari satu sampah’, di mana saya akan menyeru ahli keluarga saya mengutip sampah di lantai dan membuangnya ke tong sampah. Mereka ternyata sukakannya. Mungkin kamu boleh mencubanya juga!
9. Apakah kelebihan sebagai ibu muda dan bagaimana cara membahagi masa dengan anak-anak dan bersosial?
Saya bertualang, mempunyai tenaga untuk mencuba sesuatu yang berbeza dan bersedia melihat pertumbuhan anak saya. Jujur saya katakan, saya masih melajar menyesuaikan masa saya untuk diri sendiri dan keluarga. Tetapi saya tahu keutamaan saya sentiasa meletakkannya di hadapan. Jadi, ia membantu saya untuk menyusun masa saya dan tahu had saya.
10. Haruskah kanak-kanak diberikan pendedahan terhadap gajet? Mengapa?
Segala perkara di dunia terdapat pro dan kontra, kita juga bebas menentukan mana pilihan kita. Bagi saya, kita tidak dapat menafikan bahawa teknologi, dan gajet adalah sebahagian daripadanya. Kanak-kanak perlu didedahkan dengannya tetapi sebagai ibu bapa kita harus mengehadkannya. Gadget bukan senjata untuk kita mempunyai ‘kebebasan’ tetapi ia adalah alat untuk menjadikan mereka orang yang lebih baik. Ada banyak perkara hebat yang boleh mereka pelajari dari teknologi, jangan sekat mereka, bimbinglah mereka.
Apa pandangan anda?