Posted on May 23, 2021
Hey what’s up guysssss… dengan suara dalam yang sedikit manja. Inilah intro paling popular video memasak Khairul Amin yang menemani sepanjang 30 hari puasa kita tahun ini. Mula menerbitkan video-video memasak lewat tahun lalu puasa PKP, Januari tahun ini dia mula memasarkan sambal nyet Khairul Aming. Dalam masa tiga bulan, jualannya mencecah RM1 juta.
Nama Khairul Amin Kamarulzaman mula diperkatakan ramai sejak bermulanya PKP tahun lalu. Di saat semua orang perlu berkurung di rumah, Khairul Amin pun turut menghasilkan video-video memasak yang dimuat turun ke laman Instagramnya. Saya sendiri mendapat video memasak Khairul Amin kali pertama daripada teman saya. Video itu mengajar masak apam balik dalam cara paling mudah. Saya mencubanya di rumah dan teruja sekali kerana menjadi. Saya pasti banyak lagi antara kamu yang melalui pengalaman sama.
Namanya pantas menjadi viral kerana banyak sangat rakyat Malaysia ketika itu yang suka berkongsi video memasak Khairul Amin. Jumlah pengikutnya pantas meningkat sehingga mencecah angka jutaan. Perakara sama yang terjadi kepada personaliti media sosial memasak, Sugu Pavithra. Tentunya cara dan gaya Khairul Amin berbeza berbanding Sugu cuma mereka menggunakan Unique Selling Point (USP) atau elemen yang sama iaitu masakan.
Muncul Pula Sambal Nyet Khairul Aming
Satu lagi yang membezakan antara Khairul Amin dan Sugu ialah Khairul Amin pantas memanipulasi pengaruh yang dimilikinya di media sosial untuk diterjemahkan kepada jualan. Modul sama yang banyak digunakan selebriti atau personaliti-personaliti lain seperti Dato’ Vida, Dato’ Aliff Syukri dan Dato’ Rizalman Ibrahim. Ya, apa lagi kegunaan jutaan pengikut di media sosial jika tidak merubahnya menjadi jualan dan keuntungan. Inilah salah satu cara memperoleh pendapatan selain daripada mengguna pakai pengaruh dan pengikut yang dimiliki untuk mempromosi produk (periklanan) melalui media sosial.
Khairul Amin memiliki minda yang BETUL untuk era ini. Era media sosial dan pengaruh memainkan peranan penting dalam menjual produk atau mencecah kepada audiens dalam skala besar. Kita sendiri tidak dapat menidakkan pengaruh teknologi, media sosial dan dunia digital dalam dunia kita hari ini. Setiap hari mata dan minda kita hanya disogokkan dengan kandungan daripada tiga sumber ini tanpa henti.
Dalam kes Khairul Amin, dialah bijak dan pantas dalam memanipulasi sumber yang dimiliki. Dia tidak menunggu lama sebelum memulakan produksi Sambal Nyet Khairul Aming di Kelantan (tempat asalnya) sebelum memasarkannya kepada jutaan pengikutnya di media sosial. Dia tidak perlu pun menggunakan mana-mana saluran media (itu cara konvensional) – akhbar, majalah, radio atau TV untuk mempromosikan produknya ini. Dia hanya perlu menerbitkan video-video menarik yang menunjukkan pembuatan Sambal Nyet nya dalam cara paling kreatif dan menggiurkan.
BAMMMM!!!!!
Pada hari pertama Khairul Amin menjual Sambal Nyet di Shoppee, dalam masa beberapa minit – 10,000 balang terjual. Bukankah ini suatu yang hebat? Ini adalah kisah kejayaan yang sah! Dari seseorang yang tidak dikenali (Khairul Amin bukanlah selebriti atau dalam bidang hiburan) sehingga boleh menjual sambal 10,000 balang dalam masa beberapa minit hanya daripada pengaruhnya dalam media sosial. TAHNIAH kami ucapkan kepada Khairul Amin. Dia menggunakan pengaruhnya untuk saluran yang BETUL. Dan dia bermula dari 0.
Bukan seperti banyak personaliti media sosial hari ini yang bermula daripada status istimewa dalam masyarakat, bertuah memiliki banyak pengikut kerana kandungan media sosial mereka tetapi kemudian tidak pandai pula menggunakan pengaruh yang dimiliki. Malah banyak pula yang menyalah gunakan pengaruh dan jumlah pengikut yang dimiliki.
Selepas 3 bulan lebih Sambal Nyet dijual, alhamdulillah hari ni kita dapat reach sales 1 juta ringgit 🥺🙏🏻. I’ve sacrificed a lot to follow this journey, and i wish my dad is still around to see this today. kalau korang sudi, boleh baca post mortem 1 million ni: pic.twitter.com/Pc5cKn6WLW
— Khairulaming (@khairulaming) April 21, 2021
Kisah kejayaan dan modul yang digunakan Khairul Amin ini sebenarnya boleh dijadika rujukan generasi Z hari ini yang ingin berniaga atau memulakan jenama sendiri dan menjual produk. Ia modul yang ringkas cuma memerlukan kerja kuat dan kebijaksanaan. Silibus yang bukan asing tetapi banyak dilupakan dalam mencipta kejayaan.
Khairul Amin juga tidak lokek berkongsi ilmunya dengan pengikut-pengikutnya. Malah perkongsiannya ini saya rasakan menunjukkan betapa telusnya dia sebagai individu dan sebagai usahawan. Satu lagi ciri yang sudah tidak dipedulikan lagi dalam dunia berniaga hari ini. Apa-apa pun saya puji sikap dan cara Khairul Amin. Saya pasti tidak mudah untuk dia melakukan semua ini terutama dalam dunia kapitalis yang serba menekan hari ini. Pegangan terhadap prinsip diri yang jitu dan jujur adalah cabaran terbesar yang perlu didepani Khairul Amin. Kami doakan dia diberkati kejaayaan demi kejayaan yang lebih banyak nanti. Asal saja jangan sesekali tunduk kepada tekanan dunia kapitalis yang serba mencabar.
Apa pandangan anda?