Posted on February 1, 2017
Perkahwinan ibu bapa saya mencecah usia 37 tahun. Hanya kematian yang memisahkan mereka pabila ibu saya pulang ke rahmatullah tahun lalu. Bagi saya itu cinta agung. Sukar juga bagi saya sebenarnya kerana itulah kalau boleh cinta yang saya mahukan untuk diri sendiri juga. Cinta yang hanya maut bisa memisahkan. Ya saya mengaku saya mencari cinta agung – sama dengan cinta antara mama dan babah. Biarpun rumah tangga mereka (seingat saya) terkadang-kadang dilanda badai dan selisih faham tetapi kerana itulah pun tercipta lagu nyanyian P Ramlee dan Saloma ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Itu memang lumrah perhubungan dan perkahwinan tetapi yang jauh lebih penting dalam hal ini ialah cara kita menanganinya dan menyelesaikan selisih faham itu langsung terus maju dalam ikatan hubungan lebih akrab dan erat.
Maaf cakap saya tidak lagi melihat itu semua dalam perhubungan dan cinta era ini. Kata arwah ibu saya dulu-dulu, macam ‘ayam berlaki’. Maksudnya sekejap dan tak tahan lama kerana tengok sahaja ayam kalau mengawan, tak sampai beberapa saat pun – begitulah suasana percintaan masa kini. Lebih-lebih lagi cinta milenial, memang macam ayam berlaki. Pada saya cinta ayam berlaki ini tidak stailish. Banyak sangat yang saya dengar di kalangan teman-teman yang cepat sangat meninggalkan, mudah sangat hilang sayang dan mudah sangat berkata, “Kita patut berpisah.” Ke manakah hilangnya cinta agung yang ibu bapa saya dan mungkin ibu bapa kamu juga paksikan pabila mereka memutuskan berumah tangga. Apa dah jadi pada usaha yang wajib kita lakukan demi menjaga keutuhan cinta kita bersama pasangan? Apakah kita sudah menjadi generasi pemalas yang tidak mahu lagi membumbui cinta demi melihat benihnya tumbuh subur dan terpasak hingga maut memisahkan?
Sayang kerana generasi hari ini membesar dengan kepercayaan bahawa cinta agung itu tidak lagi wujud. Kata mereka ia hanya terabadi dalam filem dan fiksyen. Walaupun saya setuju juga dengan kata-kata mereka ini tetapi saya sama sekali tidak mahu percaya sepenuhnya. Dan saya sama sekali juga tidak mahu seluruh generasi hari ini percaya akan usul yang sama. Sebolehnya kita harus berusaha agar usul ini tidak menjadi kepercayaan kerana percayalah natijahnya tandus dunia hari ini daripada cinta akan membinasakan. Kerana itu jika kita lihat selebriti-selebriti antarabangsa sebolehnya cuba sentiasa melantangkan idea cinta dalam karya mereka. Itulah juga yang mahu kami di STAIL.MY perjuangkan. Kami mahu melihat manusia hari ini saling mencintai dan percaya pada cinta agung. Kerana pada cinta ada kekuatan, ada kuasa, ada magis, ada kebolehan, ada cara mengembangkan bakat, ada perpaduan, ada kamu, ada kita. Kerana cinta kita semua wujud dalam dunia ini. Bayangkan dunia tanpa cinta, apakah kamu malah bisa membaca rencana ini?
“Sayang kerana generasi hari ini membesar dengan kepercayaan bahawa cinta agung itu tidak lagi wujud. Kata mereka ia hanya terabadi dalam filem dan fiksyen.”
Februari bulan merai cinta walaupun saya sebenarnya rasa cinta itu perlu diraikan hari-hari tanpa perlu ada bulan tertentu bagi meraikannya. Tetapi tidak salah jika bulan ini kita meraikannya ekstra. Bulan ini kamu manjai pasangan lebih daripada kebiasaan. Cari cara untuk membumbui cinta dengan cara lebih luar biasa. Beritahu mereka setiap hari yang kamu cintakan dia. Atau paling baik tunjukkan setiap hari padanya yang kamu cinta dia. Pamerkan melalui kelakuan dan sikap kamu. Anyway action speaks louder than words. Bawa dia makan malam istimewa. Bebaskan dia daripada anak-anak beberapa hari untuk menghabiskan masa bersama. Kenang kembali saat-saat manis bersama dan sebab kamu berdua jatuh cinta pada mulanya. Belanja dia percutian bersama dan nikmati spa bersama. Ini semua antara bumbu-bumbu penting dalam mengekalkan hubungan cinta. Lebih penting lagi, berkomunikasilah. Bincangkan apa-apa sahaja isu yang mengganggu minda kalian. Jangan sesekali biarkan sebarang keraguan atau syak wasangka menjadi pencetus kepada sebarang perbalahan dan salah faham yang boleh timbul. Banyak yang tidak tahu inilah sebenarnya penyumbang terbesar kepada masalah rumah tangga dunia. Salah faham dan kurangnya berkomunikasi.
Buat yang masih mencari cinta dan baru menikmati manis cinta yang baru berputik, kamu perlu berfikir sedalam-dalamnya sebelum kamu meneruskan hubungan cinta yang baru bersemi itu. Tanya pada diri, apakah sebab utama kamu mahu bercinta? Atau soalan lebih penting, apakah kamu cinta pada dia? Kerana dalam generasi hari ini banyak yang sebenarnya tidak cinta pun pada pasangan. Hanya kerana faktor convenience semata. “Oh dia boleh ambil saya pulang kerja. Kalau saya sakit, dia yang akan jaga. Kalau saya lapar dia boleh menghantarkan makanan. Kalau kereta saya kena langgar, pada dialah saya memohon bantuan. Kalau handphone saya kena curi, dia boleh tolong gantikan. Kalau saya lonely, dia boleh jadi peneman.” Tapi kamu ada tak bertanya pada diri, apakah saya juga bisa memberi semua yang saya harapkan daripada itu tadi? Apakah saya juga sanggup berkorban masa membantunya dan menemani kalau dia memerlukan? Andai kata kamu tahu terang-terangan dan secara jelas yang kamu tidak bisa memberikan dia itu semua, TOLONG, saya pinta dan merayu pada kamu TOLONG putuskan hubungan itu atau jangan teruskan. Kerana itu namanya mementingkan diri sendiri. Itu bukan cinta. Itu mengambil kesempatan. Sebelum kamu melukakan sekeping hati maha lembut itu, tolong jangan teruskan.
Banyak sangat saya mendengar cerita perkahwinan milenial hari ini yang tidak kekal lama. Kerana inilah puncanya. Sebab asal mereka bercinta apalagi sampai sanggup menjejakkan kaki hingga ke jenjang pelamin itu tidak jelas dari awal. Apakah kamu itu sebenarnya sanggu sehidup semati? Kerana kalau tidak baik jangan berkahwin. Kerana daripada perkahwinan itu akan menghasilkan anak-anak dan keluarga. Generasi seterusnya yang akan menerajui dunia. Sekiranya generasi yang lahir ini bukan daripada asas cinta, seperti yang saya sebut tadilah akan punahlah dunia kita ini.
“Tapi kamu ada tak bertanya pada diri, apakah saya juga bisa memberi semua yang saya harapkan daripada itu tadi? Apakah saya juga sanggup berkorban masa membantunya dan menemani kalau dia memerlukan? Andai kata kamu tahu terang-terangan dan secara jelas yang kamu tidak bisa memberikan dia itu semua, TOLONG, saya pinta dan merayu pada kamu TOLONG putuskan hubungan itu atau jangan teruskan. Kerana itu namanya mementingkan diri sendiri.”
Ada antara pasangan milenial hari ini yang sebenarnya tidak sekepala pun. Seorang berfikiran moden yang seorang lagi berfikiran mundur. JANGAN HARAP sama sekali untuk hubungan sebegini mampu kekal kerana TIDAK MUNGKIN kamu akan bisa hidup bersama melainkan kamu berdua bisa menemui titik temu yang menyatukan minda kamu berdua. Mungkin baru boleh kekal lama dan bertahan. Ada pula yang mula-mula pura-pura yang fikiran kamu sama moden, sama terbuka dengan pasangan tetapi setelah berumah tangga, mulalah kamu aplikasikan minda mundur kamu itu dan mula mengawal dan mahu merubah personaliti diri pasangan. JANGAN. Ini tidak adil dan takkan berkesan sama sekali. Mencari pasangan haruslah kepada individu yang sekepala, yang kamu boleh terima personalitinya. Personaliti yang kamu seronok melihatnya, membantu kamu dalam menjadi insan lebih sempurna. Pemakaiannya yang kamu rasa aduh cantiknya kalau kami jalan bersama, pasti mengundang rasa iri pada sesiapa pun yang melihat. Bukan yang kamu rasa memalukan kamu dan mahu pula kamu mengubahnya mengikut cita rasa mundur kamu itu kemudian kamu bangga kerana dapat mengubahnya. Ini SALAH. Carilah orang lain kalau individu yang kamu suka itu tidak sealiran dengan kamu. Atau kalau kamu sanggup mengubah diri kamu dan cuba memajukan diri memodenkan minda, itulah baru disebut CINTA. Dan inilah yang akan memaksi kamu dalam memacu bahtera perkahwinan kamu.
Saya percaya cinta agung itu wujud untuk setiap daripada kita. Itu janji Tuhan pada kita. Walaupun saya pernah menyebut dalam Kata Pengarang sebelumnya, cinta agung saya adalah pada arwah ibu saya, tetapi saya pasti akan datang harinya di mana cinta agung akan saya temui. Mari kita semua memandang cinta secara positif seperti ini. Dan kepercayaan ini harus bermula dari dalam diri kamu sendiri. Cintai diri kamu dahulu sebelum apa pun. Hanya setelah itu, mungkin cinta agung seagung kamu mencintai diri kamu itu akan perlahan-perlahan mencari kamu. Dalam usaha saya mengekalkan usul positif tentang cinta ini, saya baru sahaja selesai menonton filem ‘City of Angels’ tadi. Filem mengisahkan seorang malaikat (Nicholas Cage) yang berkorban hidupnya menjadi manusia biasa kerana cinta agungnya pada wanita manusia biasa (Meg Ryan). Ironinya setelah dia berkorban menjadi manusia, wanita itu mati kerana kemalangan. Dalam babak kedua terakhir file mini, dia ditanya oleh teman malaikatnya,
If you’d known this was going to happen…
would you have done it?
Jawabnya,
I would rather have had…
…one breath of her hair…
…one kiss of her mouth…
…one touch of her hand…
…than an eternity without it.
Nah, pada saya inilah cinta agung yang setiap daripada berhak miliki…
Apa pandangan anda?