Posted on April 9, 2019
Hujung minggu yang lalu seperti biasa saya menghabiskan masa singgang menonton Netflix. Ada dua dokumentari yang menarik minat saya. Dirty Money dan Dirty John. Kedua-duanya menggunakan tajuk ‘Dirty’. I wonder why? Untuk menamatkan rasa ingin tahu, saya menonton kedua-duanya. Dirty Money ada lapan episod yang menceritakan tentang beberapa contoh penipuan dalam syarikat konglomerat seperti Volkswagen dan dalam satu episod yang lain, tentang perniagaan pinjaman wang (seperti Ah Long) di Amerika Syarikat, PayDay Advanced Money.
Dalam episod yang memaparkan penipuan dalam syarikat konglomerat Volkswagen, membuktikan betapa individu-individu penting yang memegang jawatan tertinggi dalam syarikat ini menipu dan merancang cara menutupnya. Mereka mengetepikan kesedaran sosial mereka apabila meluluskan penggunaan bahan yang boleh mencemarkan alam sekitar dalam salah satu kereta keluaran mereka. Beberapa orang penting di bahagian pengurusan berkomplot menyembunyikan fakta ini termasuklah jurutera yang membangunkan teknologi jenama ini demi ketamakan mereka membuat untung berganda dan hanya untuk menjual produk mereka.
Episod PayDay pula memaparkan kisah Scott Tucker, pelumba kereta yang memulakan perniagaan pinjama wang PayDay Advanced Money. Syarikat ini meminjamkan wang kepada berjuta-juta orang di Amerika Syarikat dan menipu pula wang mereka dengan caj servis yang tidak berhenti setiap bulan selagi mereka tidak melangsaikan hutang. Lebih menjijikkan lagi pabila Scott bersembunyi di sebalik nama kaum Red Indian untuk menguruskan perniagaan ini (walaupun sebenarnya dialah dalang di sebaliknya).
“Mengapa kisah-kisah Con Man rancak dipaparkan dalam media massa sekarang? I wonder why?”
Terma yang digunakan untuk orang-orang seperti ini ialah Con Man. Ia berasal daripada perkataan Confident Man. Ini kerana karakteristik umum kebanyakan orang seperti ini ialah mereka sungguh yakin pabila berurusan dengan orang. Biarpun apa yang mereka lakukan itu salah dari segi undang-undang atau rasional kehidupan. Tetapi seringnya kerana rasa tamak, mereka lebih sanggup menampilkan sisi yakin mereka dan menipu sana sini untuk mengecap apa yang mereka ingini – seringnya wang ringgit dalam cara pantas.
Mengapa kisah-kisah Con Man rancak dipaparkan dalam media massa sekarang? I wonder why? Saya tahu jawapannya. Kerana berleluasanya orang seperti ini dalam dunia hari ini. Bagus juga kisah-kisah mereka didokumenkan sebagai pengajaran buat kita yang mungkin tidak pernah berdepan dengan orang seperti ini. Kerana Con Man seperti ini bahaya untuk kehidupan kita. Dan bukan sahaja golongan lelaki yang melakukannya sebaliknya wanita juga yang digelar Con Woman. Kalau kamu tonton filem Ocean’s 8, kesemua watak dalam filem itu berkisar tentang Con Woman. Lihat bagaimana mereka merancang dan tag team dalam merompak barang kemas di pameran MET Gala. Crazy!
Ini sebahagian daripada kisah-kisah Con Man yang berkecimpung dalam dunia korporat dan Con Woman yang dipaparkan dalam filem. Tapi Con Man dan Woman ini bukan sahaja ada dalam dunia korporat dan merompak. Ada juga yang menggunakan cara ini untuk memikat wanita atau lelaki berharta dengan harapan mewarisi wang ringgit. Ini menjadi latar dokumentari Dirty John. Mengisahkan tentang John Meehan, lelaki yang berjumpa dengan Debra Newell melalui laman web mencari pasangan – rupa-rupanya bukanlah kisah cinta biasa.
“Kalau boleh cepat-cepatlah kamu belajar tentang perangai dan sikap golongan ini supaya kamu tidak terkena dan merana.”
Debra seorang ahli perniagaan berjaya yang menguruskan syarikat Ambrosia Interior Design. Dia sangat terkesan dengan sikap John yang dianggap penyanyang dan boleh menjadi suami yang sempurna. Pun begitu salah seorang daripada anak perempuannya seperti boleh mengagak pasti ada sesuatu yang tak kena dengan John. Dan memang betul pun, John memiliki tujuan jahat dalam berhubungan dengan Debra.
Kisah ini menunjukkan bahawa kita juga harus berhati-hati dengan Con Man atau Woman ini dalam kehidupan peribadi. Tidak semestinya mereka ini hadir mengacau kita dalam dunia kerjaya dan profesional malah boleh juga menghancurkan hati dan perasaan. Kalau boleh cepat-cepatlah kamu belajar tentang perangai dan sikap golongan ini supaya kamu tidak terkena dan merana. Pengajaran dan pengalaman ini walaupun elok kalau kamu sendiri merasai tetapi lebih elok kalau kamu boleh menepis sebelum ia terjadi pada diri sendiri.
Ada di kalangan teman-teman saya yang pernah mengalami kedua-dua pengalaman ini. Asmah memulakan perniagaan kecil kosmetik sendiri. Fikirnya dia hanya mahu earn a living. Bukanlah mahu menjadi kaya atau hidup bermewah-mewah berbalut intan permata. Setelah setahun mengusahakannya secara perlahan-lahan, dia dikejar oleh syarikat besar yang mahu melabur dalam jenamanya. Enam bulan mereka mencuba memujuk Asmah untuk bersetuju dengan pelan pelaburan mereka. Asmah berat hati dan berada dalam dilema. Walaupun ini bukanlah dalam pelan perniagaan Asmah, tetapi dia juga mahu jenamanya berkembang dan melebarkan sayapnya.
“Satu hari pelabur memberitahu yang mereka sudah tidak ada wang. Asmah ditinggalkan terkulat-kulat seorang diri bersama staf-stafnya yang digaji oleh pelaburnya.”
Dalam masa sama Asmah merasakan ini juga sebagai petanda. Mungkin ini masa sesuai untuk dia membangunkan jenamanya. Peluang ini juga mungkin takkan datang lagi, fikirnya. Jadi akhirnya dia bersetuju menerima pelaburan. Pun begitu kerana Asmah tidak ada pengalaman dalam perniagaan, pada peringkat perjanjian dia tidak perasan akan beberapa isi penting yang perlu ada untuk melindungi dirinya. Pendek cerita dia ditipu oleh pelabur itu. Satu hari pelabur memberitahu yang mereka sudah tidak ada wang. Asmah ditinggalkan terkulat-kulat seorang diri bersama staf-stafnya yang digaji oleh pelaburnya. Nasib baik semangat teman saya si Asmah kental dan dia bangkit semula membangunkan perniagaannya di atas kaki sendiri.
Seorang lagi teman saya, Husna pula terkena dengan Con Man yang dikenalnya daripada aplikasi mencari pasangan. Jatuh cinta gila-gila sampaikan sanggup menghabiskan wang dan masanya kepada lelaki yang baru dikenali itu. “Shah ini baik orangnya Reezal,” katanya selepas baru sebulan kenal. “Mana kau tau Husna? Kan baru sangat hubungan kamu tu…” jawab saya skeptikal. “Eh taklah. Dia sangat hormat pada ibunya dan menanggung adik-adiknya belajar. Kata orang kalau lelaki itu hormat pada ibunya tentu dia lelaki yang baik untuk dijadikan pasangan.” Naif sungguh si Husna. Saya diam sahajalah kalau dah empunya diri sudah cinta sangat.
Selepas itu hampir setahun Husna membantu Shah, memberi dia wang setiap bulan konon-kononnya untuk membantu ibu dan adik-adiknya. Dalam masa sama Shah saya dengar daripada teman-teman kami yang lain dilihat keluar dengan perempuan lain dan berfoya-foya tak ingat dunia pabila ada kesempatan ke luar negara atas urusan kerja. Tentunya tidak diendahkan sahaja oleh Husna atas dasar percaya. Tapi setelah beberapa kali terkena dengan Shah, barulah Husna sedar dia terkabur dengan perangai konon-konon baiknya. Ada sekali Shah tidak muncul untuk makan malam hari jadi Husna kerana pergi berparti dengan perempuan lain. Ada juga beberapa kali pabila Husna mengirim duit meminta Shah membelikannya barang di luar negara, Shah sebaliknya pulang dengan tangan kosong tetapi duit yang dikirim sudah habis dijoli. Akhirnya Husna memutuskan hubungan dengan Shah.
“Seorang lagi teman saya, Husna pula terkena dengan Con Man yang dikenalnya daripada aplikasi mencari pasangan. Jatuh cinta gila-gila sampaikan sanggup menghabiskan wang dan masanya…”
Tiada siapa pun antara kita yang layak ditipu atau terkena dengan Con Man atau Woman ini. Tapi kita harus selalu ingat bahawa mereka ini banyak berkeliaran di sekeliling kita mencari mangsa. Terutama sekali jika kamu itu lurus bendul. Pandir kata bapa saya. Terlalu mudah mempercayai apalagi memikirkan yang semua orang baik dan lurus sama macam kita. Jadi pesan saya, berhati-hatilah sebelum terlalu mempercayai. Biar sedalam mana pun kamu rasa kamu kenal seseorang itu, kamu tidak akan bisa mengenal sesiapa pun sepenuh-penuhnya. Kepada mereka yang ada business partner malah pasangan hidup, ingatlah ini selalu. Kerana pedihnya rasa ditipu dan dipermainkan itu terlalu menyengat. Kalau bolehlah kamu tidak merasainya, adalah lebih baik pada hemat saya.
Apa pandangan anda?