Posted on May 25, 2016
Mei. Bulan ini hampir melabuhkan tirainya. Saya tahu agak terlambat sebenarnya saya menulis ruangan ini terutama dalam memberi penghormatan kepada ibu-ibu dan guru-guru seluruh dunia. Ya bulan ini bulan keraian dua insan yang sungguh mulia – darjat dan kedudukannya kerana dua insan ini yakni ibu dan guru memikul tanggungjawab paling besar di dunia. Melahirkan, membesarkan dan mendidik umat manusia. Mungkin saya terlambat menulis kerana jari saya ini amat berat mahu menaip, meluahkan kata-kata dan isi hati terutama sekali untuk dua insan yang bernama ibu dan guru. Hati saya berat lagi pilu. Tapi saya tahu saya tahu saya perlu mendepaninya dan berbicara dengan kamu semua, pembaca yang setia.
Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Guru buat semua yang bergelar ibu dan guru di luar sana. Biar pun saya membesar dengan beberapa guru, dari sekolah rendah ke sekolah menengah tapi saya amat bertuah kerana saya dikurniakan seorang insan yang begelar kedua-duanya sekaligus. Arwah ibu saya Jamilah binti Mohamed juga seorang guru. Dia menghabiskan hampir seluruh hidupnya menjadi guru. Anak-anak muridnya memanggil dia Cikgu jamilah. Bagi saya dia guru paling penting dalam dunia kerana dia guru tadika. Dari waktu saya boleh mengingat, dia sudah menjadi guru. Sehingga ke akhir usianya juga (mama pulang bertemu Pencipta-Nya dua bulan lalu kerana barah) dia masih seorang guru. Hampir seluruh usianya dia mengabdikan dirinya sebagai pendidik. Mendidik anak-anak kecil pada usia minda sedang bertumbuh pesat (dari usia tiga hingga enam tahun) di tadika miliknya. Di usia inilah, seseorang manusia itu terbentuk mindanya, pemikirannya, karakternya dan personalitinya maka pendidikan di usia ini adalah amat penting. Ya, mama adalah pendidik yang amat penting itu. Bukan sahaja untuk anak-anaknya tetapi juga buat banyak anak orang lain yang dididiknya.
Kerana itu, kata saya dalam tajuk rencana ini Hari Ibu dan Hari Guru takkan sama lagi buat saya. Kerana satu-satunya insan yang memegang dua gelaran ini di seluruh hidup saya telah tiada lagi. Hampir suku hidup saya menyampaikan ucapan Hari Ibu dan Guru kepada dia setiap tahun, namun tahun ini ucapan itu saya simpan dalam hati. Saya kirimkan melalui doa dan bacaan Yaasin juga Al-Fatihah. Sesiapa pun boleh menyebut bahawa mereka sudah bersedia menerima pemergian ibu mereka, tapi percayalah jauh di sudut hati tiada siapa pun akan pernah bersedia. Sehingga hari ini, tiada sesaat pun saya tidak merindui mama. Insan lain boleh datang dan pergi dalam hidup saya tetapi satu-satunya cinta hati saya kini telah selamanya pergi. Pedih rindu itu terkadang-kadang berasa sungguh pilu. Cengkamannya begitu kuat hingga hati berasa amat berat. Sakitnya saya kira tiada siapa pun dapat menjelaskan.
Waktu saya mengangkat jenazah mama, tangan saya tergesel dengan daun pintu hingga terluka. Saya sengaja tidak bubuh ubat kerana saya mahu luka itu selamanya di situ. Agar saya dapat mengenangnya sampai bila-bila, selama-lamanya. Pemergian mama tidak akan ada gantinya. Tapi seperti kata teman-teman, doakan dia dan harapkan ketenangannya. Kenang segala kebaikannya. Didikannya yang membentuk beribu-ribu insan cemerlang selama hayatnya menjadi guru. Didikannya terhadap adik-beradik saya dan kebaikannya sesama ahli keluarga, itu yang akan saya kenang selamanya. Saya selalu memberitahu dia, “Mama wanita yang kuat dan cekal.” Dan dua minggu selepas pemergiannya teman saya Rizal menghantar mesej, “Dan you adalah produk dia.” Cinta dan kasih sayang mama saya pasti tidak akan saya beroleh lagi tetapi saya ingat juga kata teman saya, Dino, “You akan nampak cinta dan kasih sayangnya dalam semua insan yang mengelilingi hidup you selepas ini. Cinta dan kasih sayang dia mungkin takkan hadir dari seorang insan sahaja, dari mama you, tapi akan hadir dari banyak insan lain selepas ini. She will be watching over you. Kehadirannya akan kamu rasai di mana-mana.”
Buat kamu yang masih punya ibu, pesan saya dari sudut hati yang terdalam sayangilah mereka sepenuhnya. Jagalah mereka seperti mana mereka menjaga kamu seumur hidup kamu. Luangkanlah masa bersama mereka selama mampu. Belailah mereka, sentuhlah mereka, peluklah mereka, ciumlah mereka.
Ucapkanlah kata sayang pada mereka. Tunjukkanlah yang kamu kasih dan cinta pada dia. Jangan derhaka pada mereka. Jangan sekali pun kamu mengguris hati mereka. INGAT, SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI IBU. Kerana masa-masa ini takkan berulang lagi pabila mereka tiada nanti. Janganlah nanti waktu itu tiba, kamu menyesal sesesal-sesalnya. Waktu pabila kamu rindu yang teramat pada mereka, baru kamu sedar mereka tiada lagi untuk kamu lunaskan semua ini. Waktu itu baru kamu tahu, ibu sudah tiada lagi. Waktu itu juga baru kamu sedar, kamu tak akan bisa memiliki masa-masa ini bersama insan yang paling kamu cintai. Insan yang cintanya berputik sejak kejadian kamu lagi. Yang tidak putus-putus sampai harinya mereka pergi. Dan kala airmata kamu mengalir lagi dan lagi tak henti-henti, tiada apa pun yang kamu lakukan akan dapat mengganti.
Kepada arwah mama, cinta hati saya, Ejal doakan ketenangan mama di sana. Dipermudahkan urusan mama dan diciptakan taman-taman syurga inderaloka sebelum mama bertemu dengan Maha Pencipta. Sehingga kita akan disatukan kembali nanti dalam kehidupan yang abadi. Dan sampai waktu itu tiba nanti, Ejal akan selalu rindu, berjanji akan selalu mengutus doa dan akan selalu mengingati semua pesan mama dan kenangan manis kita bersama. Selamat Hari Ibu dan Guru buat mama dan semua pembaca yang memegang gelaran ini walaupun bagi saya ia takkan sama lagi selepas ini. Al-Fatihah.
Apa pandangan anda?