Posted on January 2, 2017
Banyak juga antara teman-teman saya yang merasakan 2016 bukanlah tahun yang baik buat mereka. Sehingga ke beberapa hari sebelum 2016 berakhir pun, masih dilaporkan beberapa pemergian insan terkenal. Debbie Reynolds (dua hari selepas anaknya Carrie Fisher meninggal dunia) dan di negara kita sendiri, seniman ternama, Tan Sri S.M Salim juga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kematian demi kematian berlaku sepanjang 2016. Arwah mama pergi meninggalkan kami sekeluarga tanggal 20 Mac. Bapa bekas staf saya, Ardi Idewani juga meninggal dunia lewat November lalu.
Maafkan saya, mungkin tak sepatutnya saya memulakan kata pengarang saya tahun baru ini dengan berita-berita sedih pemergian insan-insan tersayang dan mengenang barang yang lepas. Kerana secara semula jadinya saya juga tak suka mengenang dan meratap perkara yang telah terjadi. Tetapi lewat minggu lalu dalam pada saya melayari laman web Youtube, saya ter come across klip temu bual Tom Ford dengan Peter Travers, pengkritik filem untuk majalah Rolling Stone. Travers bertanyakan kepada Ford mengapa dia suka menyebut tentang kematian? Saya suka dengan jawapan dan teori Tom Ford tentang kematian. “Saya suka memikirkan tentang kematian. Sehingga ada beberapa wartawan sebelum ini menulis yang saya ini taasub dengan kematian. Tetapi bagi saya kematian mengajar saya tentang dua perkara. Ia membuatkan saya selalu mahu live in the presents. Dan sentiasa membuatkan saya mencari dan menghargai ‘keindahan’ dalam dunia ini.”
Hemmm… saya tak pernah pula terfikir tentang kematian dalam cara sebegitu. Seringnya kematian hanyalah dikaitkan dengan kesedihan. Tetapi sebenarnya apa yang disebut Ford itu ada betulnya. Memang kematian boleh mengingatkan kita supaya menghargai masa ‘sekarang’/ waktu ini. Supaya sentiasa menghargai segala keindahan dan bersyukur dengan apa yang kita miliki. Supaya selalu memberitahu dan mempamerkan yang kita sayang dengan insan-insan di sekeliling kita. Agar nanti kita tidak menyesal dan berasa kita tidak meluangkan masa secukupnya bersama mereka. Sekurang-kurangnya inilah yang saya pelajari selepas arwah mama pergi.
Pun begitu, saya juga tahu arwah mama mesti tak suka kalau saya bersedih dan bermuram durja. Kerana dia juga secara semula jadinya insan yang sangat ceria dan suka berjenaka sepanjang hidupnya. Jadi dalam pada sesaat pun masa yang berlalu saya tidak terkenangkan dia, saya tahu saya juga mesti meneruskan hidup, mencari cara untuk bersuka dan berjenaka sama seperti yang dia ajarkan pada saya dahulu, sentiasa berfikiran positif dan kuat dalam mengharungi ujian hidup. Jadi seperti selalunya setiap kali tahun baru menjelma, itulah yang saya tetapkan dalam minda. Melihat sisi cerah dalam semua perkara yang terjadi dalam hidup saya. Jangan suka banyak komplen tentang semua yang terjadi dalam hidup. “Whatever will be, will be”. Atau seperti yang disebut M Nasir dalam lagunya, “Yang terjadi, terjadilah”.
Banyak juga yang risau dengan keadaan ekonomi tahun ini kerana banyak laporan mengatakan struktur ekonomi dunia akan menjadi semakin tidak stabil, dengan nilai matawang kita yang semakin merudum dan nasib dunia yang tak tentu apalagi selepas Donald Trump menang undi menjadi Presiden Amerika. Tetapi daripada pemerhatian saya sendiri dan daripada jangkaan kebanyakan jenama-jenama retail, mengatakan bahawa pasaran pembeli Melayu akan semakin berkembang. Dior misalnya selepas membuka butik barunya di Suria KLCC banyak menerima kunjungan pelanggan Melayu. Ekspo demi ekspo jualan yang dianjurkan sekitar KL juga menerima ribuan pengunjung Melayu setiap minggu dan tahu apa? Majoriti mereka tidak kisah berbelanja. Apakah ini juga sekaligus membuktikan bahawa pasaran pembeli Melayu tidak terkesan langsung dengan ketidakstabilan ekonomi waktu ini? Bermakna betullah tindakan kebanyakan jenama mahu bertumpu kepada pasaran Melayu tahun ini. Dan bermakna juga STAIL.MY bisa menjadi medium terbaik untuk menyasar kepada kelompok ini.
Saya juga optimis dengan kedatangan 2017 kerana menghampiri usia setahun Januari 19 nanti, kami di STAIL.MY banyak menerima respons daripada pembaca yang memuji-muji usaha kami mendidik pembaca Melayu tentang erti sebenar stail. Ada yang menghantar e-mel mengatakan kandungan yang kami tawarkan berbeza dengan apa yang ada dalam pasaran tika ini. Kata pengirim, “Ini portal berbahasa Melayu pertama yang benar-benar stailish dan bertaraf antarabangsa. Tentunya saya amat gembira menerima e-mel dan respons sebegini kerana ia juga menunjukkan usaha kami dihargai. Justeru menjadi pendorong untuk kami terus-terusan menghidangkan yang terbaik buat kamu semua.
Istimewa juga tahun ini, biarpun selalunya saya tidak suka menyenaraikan sebarang resolusi bersama kehadiran tahun baru tetapi kali ini, saya rasa teruja berkongsi dengan kamu 10 Perkara Yang Saya Look Forward To 2017. Ya, masih bukan resolusi tapi saya anggap cara lebih positif untuk mendepani tahun baru.
Apa pandangan anda?