Posted on August 31, 2016
Merdeka kita tahun ini sudah masuk yang ke-59. Melihat kepada persediannya tahun ini, rasanya kita tidak lagi beria-ia meraikan kebebasan kita. Dalam negara kita dilanda pelbagai masalah – jerebu, ekonomi, seleweng dan politik masakan kita mampu memfokus kepada keraian dan bersuka-suka. Beberapa lama kita berbangga-bangga dengan kemerdekaan yang kita ada. Tanpa sebarang penjajah dan kongkongan pihak luar. Kita bangga kerana di negara kita ini banyak aktiviti pembangunan berlangsung. Bahkan kita dikatakan menuju ke arah status negara maju. Tetapi banyak antara kita yang tidak sedar, ini hanyalah analogi yang disogokkan kepada kita selama beberapa dekad sejak kemerdekaan. Bagi kita, jika kita tidak dijajah dan bergantung pada pihak luar, kita ini merdeka. Walaupun sebenarnya kemerdekaan bagi saya haruslah bermula daripada asas yang paling asas buat kita yakni kebebasan hak diri sebagai manusia.
Gempar dua hari lepas Uqasha Senrose mengumumkan dia membuka hijabnya kerana menganggap itu bukan dirinya setelah tiga tahun bertudung. Banyaklah akhbar dan lama web tabloid melaporkan berita ‘penting’ ini. Banyak pula yang menghukum dan menghentam keputusan Uqasha ini. Saya tidaklah mahu memberi komen atau pandangan mengenai isu ini sebaliknya saya lebih tertarik kepada betapa menghakimi (judgemental) dan menghukumnya masyarakat kita. Mungkin ada lah antara kita yang menyelar tindakan Uqasha ini mengatakan bahawa dia mempermainkan hukum agama tetapi yang pentingnya bukanlah pandangan kita itu sebaliknya apakah layak kita ini yang tidak melalui pengalaman Uqasha itu untuk menghakimi dan mempersoalkan hak diri Uqasha?
Inilah yang saya maksudkan pabila saya mempersoalkan sejauh mana kita ini merdeka jika sesama kita masih menghakimi dan menghukum hak diri sesama sendiri. Hak diri itu adalah hak peribadi. Sebenarnya tiada sesiapa pun berhak menyentuh soal hak peribadi. Uqasha sendiri ada menyebut dalam temu bualnya bersama Berita Harian, apa yang terjadi ini ialah khilaf dirinya sendiri dan biarlah dosa dan pahala itu menjadi urusan antara dia dan Tuhan. Dan memang betullah apa yang dikatanya itu. Apa sahaja keputusan atau tindak tanduk seseorang individu itu adalah hak peribadinya. Tiada sesiapa pun yang berhak menghakimi dan menghukum. Tetapi jika hak peribadi itu dihakimi dan dihukum, apakah merdeka kita ini sebenarnya?
Malah jika kita melihat secara mendalam isu berhijab ini sekalipun, saya melihatnya sebagai isu kekangan budaya dan ketidakbebasan sebenarnya. Banyak wanita hari ini yang tidak lagi bebas memilih sama ada mahu berhijab atau tidak. Rata-rata yang memutuskan untuk berhijab adalah kerana tekanan orang sekeliling. Ada yang bertudung kerana kerana permintaan suami. Ada juga antara anak-anak perempuan yang tidak langsung mempunyai pilihan kerana disuruh bertudung sejak kecil lagi kerana teman-teman di sekolah rata-rata berhijab. Apakah merdeka kita sebenarnya jika keputusan peribadi itu sebenarnya dipengaruhi dan ‘dikongkong’ orang sekeliling, keluarga malah suami. Di manakah letaknya hak diri dan keputusan sendiri jika ia terdorong berdasarkan pengaruh pihak luar.
Kebebasan hanya wujud sekiranya kita berasa bebas sepenuhnya tanpa perlu memikirkan kata orang tentang keputusan yang kita buat. Tanpa sebarang pengaruh luar. Ini barulah bebas dalam erti kata sebenar. Bagi saya isu berhijab ini sebenarnya dicanangkan dan dijadikan budaya dalam negara kita berlandaskan agama. Ia seperti diserapkan dalam diri dan masyarakat menggunakan alasan agama sedangkan pada dasarnya ia harus bergantung pada kesediaan diri dan kemahuan sendiri. Bukan kerana mengikut kemahuan dan arus perdana. Inilah sudahnya akan menjadi dasar kepada ketidak ikhlasan dan keterpaksaan dan akhirnya menjadilah isu seperti yang terjadi pada Uqasha. Hakikatnya ialah dia sendiri masih tidak bersedia dan masih belum benar-benar bersedia mahu mengamalkan gaya hidup wanita berhijab sebenar. Inilah puncanya kepada masalah isu berhijab ‘main-main’ dan sudahnya kembali tak bertudung akhirnya.
Jadi ya, mungkin inilah juga hakikat sebenarnya masyarakat kita hari ini. Benar kita merdeka daripada sebarang penjajahan dan tiada anasir luar, kita merdeka kerana kita bebas bergerak ke sana ke mari dan hidup harmoni sebagai sebuah masyarakat Malaysia. Tetapi jika kita selami sedalam-dalamnya kenyataan hidup dalam masyarakat kita, masih banyak lagi ‘kekangan’ dan ‘kongkongan’ halus di dalam diri kita. Selagi kita masih mahu menghakimi dan menghukum hingga kepada hak diri orang lain, apakah merdeka itu sebenarnya? Sehinggalah kita masih belum benar-benar membebaskan diri daripada kekangan halus dan invisible ini, bermakna kita masih belum benar-benar merdeka. Selamat Hari ‘Merdeka’ Malaysia!!!!
Apa pandangan anda?