Posted on August 24, 2017
Lelah juga rasanya pabila empat hari berkampung di Pavilion menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2017. Saya harus menunjukkan sokongan terhadap teman-teman pereka yang rata-rata bertungkus-lumus menyiapkan koleksi untuk KLFWRTW 2017. Satu-satunya platform yang mengangkat karya-karya pereka fesyen tempatan untuk diketengahkan kepada masyarakat setempat juga Nusantara.
Setiap tahun juga saya meletakkan harapan kepada teman-teman pereka agar mereka dapat menghasilkan koleksi yang memberangsangkan, memberi inspirasi dan mempamerkan bakat dan kreativiti. Agar ada setitik cahaya di hujung jalan untuk industri fesyen kita bernafas dan berkembang menjadi lapangan rezeki buat kita semua. Kebetulan tahun ini KLFW berlangsung hampir sama waktu dengan bulan kemerdekaan Malaysia.
Membawa saya kepada persoalan yang menguhubungkan dua acara besar ini – antara dunia fesyen lokal kita dengan kebebasan teman-teman pereka dalam berkarya. Tentunya dalam 150 pereka yang mengambil bahagian, ada beberapa yang wajar diberi perhatian kerana usaha yang mereka letakkan dalam penghasilan koleksi masing-masing. Yang lain-lain itu mungkin kurang sedikit usaha malah terlihat hanya memperkenalkan rekaan-rekaan yang ‘whatever’.
Saya pun bukanlah pandai sangat malah bukan pun seorang pereka untuk memberi komen tentang aspek teknikal atau rekaan. Tetapi saya tahu apa yang cantik dipandang mata, boleh di shoot untuk fashion spread, cantik dalam gambar, menggoda pencinta fesyen dan ada potensi pula untuk dipasarkan dan mendatangkan hasilannya. Jadi penilaian saya semata-mata berdasarkan ini. Saya juga tidak menilai dengan meletakkan kaki saya dalam sepatu pereka-pereka ini kerana sebagai editor, seharusnya tempat saya perlu sama dengan kedudukan pencinta fesyen, pembeli dan pelanggan.
“Sekiranya sudah namanya pereka, jangkaan dunia fesyen tentulah untuk kamu mereka sesuatu yang memberi inspirasi, yang boleh mendatangkan berahi dan menggoda kami untuk membeli.”
Ini yang saya tak nampak dalam kebanyakan pereka yang menyertai KLFW 2017. Banyak yang hanya membuat rekaan sambil lewa, cukup sekadar untuk meletakkan nama dalam kalendar KLFW 2017 tidak tahulah untuk dikenali ramai dan untuk menempa nama menjadi popular. “Oh dia pereka fesyen, ada koleksi di KLFW, bolehlah kita ajak dia ke event-event atau paparkan dia dalam majalah dan angkat nama dia.” Mungkin inilah yang diharap sesetengah pereka.
Jadi kalau itulah tujuannya langsung mengambil mudah soal rekaan yang seharusnya menjadi teras utama keberadaan nama kamu di KLFW, maka akan terlihatlah kedengkelan ini pada koleksi kamu. Jika tiada unsur rekaan pada koleksi kamu, bagaimana kamu dapat menggoda pencinta fesyen untuk menerima kamu apalagi membeli koleksi kamu.
Sepanjang menonton pertunjukan KLFW 2017 juga saya melihat tiadanya kebebasan dalam minda pereka fesyen tempatan kita. Masing-masing hanya selesa mengambil langkah selamat tanpa membuat kajian akan kemahuan pasaran tempatan apalagi to get on with the rest of the fashion world globally. Saya faham perlunya ada faktor komersial pada rekaan kerana mahu pelanggan tetap membeli tetapi ada baiknya juga jika kamu memperkenalkan pola baru atau siluet baru dalam rekaan. Mungkin dapat menggoda pelanggan baru untuk mencintai jenama kamu juga.
“Bagi saya minda seorang pereka harus BEBAS daripada sebarang batasan atau had. Kamu harus meresapi kejadian-kejadian dalam dunia waktu ini.”
Melihat inspirasi-inspirasi baru di sekeliling kamu, apa yang dipakai oleh masyarakat setempat, mencari cara bagaimana untuk mendidik mereka. Dengan memperkenalkan rekaan, siluet, motif, pola baru yang mungkin akan menggoda mereka lantas digayakan oleh mereka. Kamu sebagai pereka harus mencorakkan ‘STAIL’ tempatan melalui rekaan yang kamu perkenalkan.
Ini yang tidak ada dalam banyak pereka yang menyertai KLFW 2017. Jadi sukar untuk dunia fesyen mengiktiraf kamu sebagai pereka sekiranya ini tanggungjawab seorang ‘pereka’ ini tidak ada pada kamu. Kamu akan selama-lamanya berada pada tahap selesa dan selamat serta bergantung pada kelompok pelanggan yang sama. Ingat lagi bagaimana Coco Chanel membangkitkan revolusi dalam dunia rekaan pabila membebaskan wanita daripada korset dan helaian yang melemaskan serta menyuntik elemen maskulin dalam rekaannya kerana mahu membebaskan wanita daripada belenggu berpakaian menurut norma masyarakat waktu itu? Ini yang sangat diperlukan dalam dunia fesyen tempatan waktu ini.
Tentunya paling banyak kata-kata yang saya dengar sepanjang KLFW ialah “Oh ini tiru rekaan pereka X, that’s very pereka R, oh saya pernah lihat rekaan ini di pentas pereka F.” Bagi saya tidak ada salahnya meniru atau dalam kata fesyen mengambil inspirasi daripada pereka lain, pereka lama, pereka terdahulu bahkan ada yang daripada pereka masa ini. Kita semua meniru dan mencedok inspirasi. Tiada apa yang original pun sebenarnya dalam dunia ini. Semuanya kerana pemerhatian kita ke atas sesuatu. Takkanlah pun kita bisa menghasilkan sesuatu kalau hanya tutup mata dan duduk di bawah tempurung yang gelap itu bukan?
Cuma sesetengahnya saya puji kerana sekurang-kurangnya dia membuat kajian, ada usaha mencari inspirasi dalam menghasilkan rekaannya. Cari cara bagaimana nak hasilkan sesuatu yang sama dengan sumber inspirasinya itu. Berbanding dengan pereka malas, yang tiada usaha dan ambil jalan selamat sahaja, bukan? Dan koleksi yang jika dikatakan meniru itu tetap pereka itu yang punya kerana dia sendiri yang menghasilkannya, tidak dihantar kepada sumber inspirasinya untuk dihasilkan.
“Saya juga suka dengan sesetengah pereka yang membawa elemen ‘normal’ atau basic dalam koleksi mereka.”
Mereka meletakkan lebih usaha pada styling dan cara menggayakan helaian-helaian normal mereka itu agar nampak lebih menarik dan menggoda. Ada pula yang bijak memadukan normal dengan item-item yang lebih ber design. Menunjukkan bakat mereka dalam memberi kontras pada koleksi mereka antara yang basic dan ber design. Ini juga saya lihat sebagai usaha dan sesuatu yang amat saya amat hargai.
Namun begitulah… setiap berakhirnya KLFW, saya tak henti-henti meletakkan harapan lagi untuk tahun depan agar pereka mempersembahkan rekaan yang lebih memberi inspirasi, mendatangkan berahi dan menggoda kelompok fesyen dan seni. Kadang-kadang saya fikir juga akan apa usaha yang boleh saya lakukan untuk memastikan pereka-pereka fesyen tempatan kita mencapai ke tahap ini. Mungkin juga sudah sampai masanya saya memulakan inisiatif-inisiatif tertentu untuk menjadikan ini realiti. Itu harapan saya dan mana tahu, mungkin cuma tak lama lagi sahaja ini bakal terjadi…
Apa pandangan anda?