Posted on July 23, 2019
Hari ini semua jenama fesyen yang benar-benar prihatin dengan perniagaan mereka tentu akan termasuk ke dalam bandwagon sustainalibilty. Ini kerana semua pihak di peringkat global baik dari pihak media, politik dan pemerintah merasakan ini cara untuk kita memelihara dunia. Ia juga satu bentuk kesedaran sosial atau Corporate Social Responsibility (CSR) yang harus diterapkan dalam syarikat. Kalau tidak, ada kemungkinan besar penduduk dunia akan ‘ban’ satu-satu jenama itu atau jenama itu akan dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.
Begitulah juga dengan kumpulan Fast Retailing yang memiliki beberapa jenama di bawahnya termasuk UNIQLO. Dan demi memperkenalkan dunia terhadap usaha sustainability mereka ini, STAIL.MY menjadi antara media terpilih dari seluruh dunia untuk berkunjung ke Jeans Innovation Center (JIC) Fast Retailing di Los Angeles, Amerika Syarikat. Dibuka pada 2016, pusat jeans yang terletak di kawasan Downtown L.A ini menjadi hab untuk kajian dan pembangunan jeans seluruh kumpulan Fast Retailing. Ia diharapkan dapat mengubah nilai setiap helai jeans yang ditawarkan, Beberapa langkah dalam rekaan jeans diinovasikan agar ia selaras dengan falsafah sustainable kumpulan Fast Retailing.
Tiba di JIC selepas makan tengah hari, kami mulanya diberi pembentangan tentang inovasi-inovasi yang dicipta di sini serta tentang semua langkah sustainable yang telah dilaksanakan oleh Fast Retailing. Tidak cukup dengan sekadar pembentangan, setiap daripada kami diberi peluang melihat sendiri bagaimana setiap inovasi dilaksanakan di atas setiap jeans. Tentunya ini memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada kami semua dan membuktikan kesahihan setiap inovasi yang diuar-uarkan.
Ramai juga teman media yang bertanya mengapa JIC ini dibina di L.A, mengapa tidak di Jepun sahaja? Hadir di pembentangan ini, Ketua Pegawai Operasi (COO) JIC, Masaaki Matsubara memberitahu, “Kerana jeans itu sendiri berasal dari California. Kami merasakan ia satu langkah yang baik untuk membuka pusat kajian dan pembangunan di sini. Ada banyak stor-stor menjual jeans vintaj di sini. Bermakna kami berada di dalam sumber jeans itu sendiri. Ini sekaligus membantu kajian dan pembangunan yang ingin kami jalankan.” Dan JIC ini bukanlah kilang pembuatan jeans, ia hanya pusat kajian dan pembangunan. Maka setiap inovasi dan teknologi yang tercipta di sini akan diimplementasikan di semua kilang-kilang pembuatan Fast Retailing.
JIC dibina untuk melangsungkan keinginan kami untuk membuat denim lebih sustainable. Kami selalu memikirkan rekaannya dengan faktor sustainability di minda.” Masaaki Matsubara, COO Jeans Innovation Center Fast Retailing
Kata Matsubara lagi, “Visi kami ialah di masa depan, produksi denim akan lebih bersih dan penggunaan sumber yang kurang intensif. Pusat ini akan menjadikan visi ini realiti untuk semua pelanggan kami di seluruh dunia.” Kalau boleh Matsubara mahu bersaing dengan jenama lain, menginovasi teknologi sedia ada bagi mencapai penjimatan air sehingga 99% dalam proses pembasuhan jeans. Katanya lagi, “Kami tidak pernah berniat hanya untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10% atau 20%. Target kami ialah untuk mencapai sasaran sehingga sifar – hanya selepas itu baru ia boleh digelar inovasi.”
Mulai 2020 juga, Matsubara mengesahkan semua jenama jeans di bawah Fast Retailing akan menggunakan proses baru yang diperkenalkan kepada kami. Skala produksi ini juga akan membolehkan semua pelanggan kami mereka memiliki akses kepada denim yang sustainable, pada harga normal setiap jenama.
Bagaimana JIC Memastikan Sustainability?
Membasuh sambil menjimat air
Seperti kata Matsubara, mereka mahu menjimatkan air sehingga 99%. Apa sahaja yang kurang daripada itu tidak boleh mereka anggap inovasi. Mesin basuh yang digunakan di JIC asalnya dibuat di Eropah. Tetapi JIC memperkenalkan mesin basuh high-performance bersama teknologi baru supaya mereka dapat mencipta gabungan sempurna teknik bagi efek lebih hebat.
Kalau mengikut cara tradisional, fabrik akan direndam serbuk basuh dalam tangki penuh air. Mesin basuh dram menjimatkan air tetapi masih menggunakan teknik merendam dalam air. Mesin basuh di JIC tidak merendam baju dalam air. Malah hanya sedikit air diperlukan membolehkan mereka menjimatkan sehingga 90% air berbanding mesin basuh tradisional. Ia menggabungkan nanobubble dan pembersihan gas ozon bebas air.
Begitu juga dalam teknik proses stonewashing. Kebiasaannya teknik ini akan menggunakan batu pumice atau fieldstone di dalam mesin basuh. Ini akan menghasilkan serbuk batu yang mencemarkan. Batu juga perlu diganti seiap dua hingga tiga basuhan. JIC memperkenalkan ‘batu eko’ palsu dua tahun lalu, yang memberi efek sama tetapi tanpa serbuk batu. “Walaupun kami masih belum mencapai penggunaan sifar air tetapi sekurang-kurangnya kami telah membuka pintu dan memperkenalkan perubahan kepada cara lama pembasuhan jeans,” ujar Matsubara.
Kami juga ditunjukkan kepada proses menyuling air kotor hasil pembasuhan. Sejak beberapa tahun lalu JIC giat berusaha untuk menyuling air kotor agar mereka dapat menggunakan semula air tersebut tanpa pembaziran.
Jeans Vintaj Menggunakan Inovasi
Matsubara menyebut juga dalam pembentangan, “Wash treatments were done largely by hand.” Untuk mencipta efek whisker (efek lusuh seperti jeans telah lama dipakai) misalnya, pekerja perlu menggunakan bahan kimia dan menggosok fabrik dengan kertas pasir. Tentunya untuk menebuk lubang atau efek koyak, ia perlu dilakukan dengan tangan menggunakan pisau atau pemotong. Selalunya kerana ini menggunakan kepakaran pekerja, efek yang tercipta akan berbeza-beza. Sukar untuk mendapat hasil yang uniform.
Proses ini yang berulang-ulang juga akan memberi kesan kepada pekerja dan seterusnya mencipta suasana kerja yang tidak kondusif. Ia juga tidak berapa baik dari segi kos terutamanya bagi Fast Retailing yang menghasilkan produksi dalam volum besar. “Baru-baru ini kami mula menggunakan mesin laser sebagai teknologi baru untuk mencipta whisker,” kata Matsubara sambil menunjukkan kepada kami mesin laser yang digunakan. “Mulanya kami akan mencipta rekaan untuk whisker yang nampak natural, programkan rekaan itu dalam mesin dan cipta whisker yang sama pada fabrik.”
Ini langkah pertama kami dalam mencipta jeans yang lebih sustainable. Kami masih lagi dalam usaha mencipta jeans sempurna yang akan merubah nilai jeans selama-lamanya.” Masaaki Matsubara
UNIQLO mula menjual regular fit jeans lelaki menggunakan teknologi sustainable lewat koleksi musim luruh 2018. Mereka menyasarkan untuk mengurangkan impak terhadap alam semulajadi dengan mengubah semua produksi jeans seluruh kumpulan Fast Retailing menggunakan teknologi baru ini mulai 2020.
6 Soalan Kepada Masaaki Matsubara
Berapa masa yang diambil untuk mencipta inovasi ke atas teknologi sustainable ini?
Kami ambil masa tiga tahun melalui proses trial and error.
Mengapa Fast Retailing memutuskan untuk menyertai gerakan sustainability?
Konsep pakaian kami ialah lifewear. Senang dipakai dan senang dibeli. Jadi pendekatan perniagaan kami tidak harus hanya untuk memasarkan tetapi juga untuk sustain.
Apakah etika ini sebahagian daripada DNA jenama?
Ya betul. Kami seupayanya menggunakan sustainable cotton, begitu juga dari segi suasana bekerja – ia sebahagian daripada model bisnes kami. Bermula 2016, tanggungjawab sosial kami integrasikan dalam bisnes kami. Kami juga berusaha menghantar mesej ini kepada pelanggan malah team produksi juga is in the same boat.
Kamu lebih mementingkan untung atau sustainability?
Polisi kami ialah customer first. Kami cuba menerapkan mesej sustainable ini kepada pelanggan. Pentingnya menjaga alam dan komuniti. Membuat mereka faham bahawa kami memikul tanggungjawab ini secara serius. Berbuat baik kepada alam akan berubah menjadi keberuntungan.
Beza antara sustainable jeans UNIQLO dan jenama lain?
Kami membangunkan teknologinya sendiri di JIC.
Langkah seterusnya?
Untuk menggunakan bahan kitar semula.
Apa pandangan anda?