Posted on August 12, 2026

Ada hotel yang kita singgah kerana lokasinya. Ada pula yang membuatkan kita mahu meluangkan sedikit masa untuk benar-benar menikmati suasananya. Begitulah pengalaman kami ketika berkunjung ke Mercure Kuala Lumpur Glenmarie. Terletak di kawasan Utropolis Glenmarie, Shah Alam, hotel ini memberikan gambaran sebuah penginapan midscale yang cuba tampil berbeza. Ia bukan sekadar penawaran bilik untuk beradu, tetapi membawa elemen tempatan dan karakter tersendiri ke dalam pengalaman tetamu.

Sebaik melangkah masuk, perkara yang paling mencuri perhatian kami ialah konsep reka bentuknya. Dekorasi hotel diinspirasikan oleh persekitaran akademia, dengan elemen seperti perpustakaan, kelas muzik dan kelas seni diterjemahkan ke ruang lobi. Ada juga permukaan dengan huruf dan ‘riddles’ yang disusun secara rawak, menjadikan ruangnya terasa lebih playful dan tidak terlalu konvensional. Jujurnya, bagi kami, ia pendekatan yang memberi identiti kepada hotel. Ia tidak terasa seperti ruang generik yang boleh ditemui di mana-mana.

Bilik Yang Praktikal, Selesa dan Sarat Sentuhan Lokal
Dengan 219 bilik kontemporari serta 10 suite eksekutif, pilihan penginapan di sini sesuai untuk pelbagai tujuan, daripada urusan kerja sehinggalah ke staycation ringkas tapi penuh makna dan kualiti. Apa yang mencuri hati kami ialah sentuhan tempatan yang diterapkan pada setiap bilik. Setiap ruang dihiasi karya seni oleh kartunis Malaysia, Reggie Lee, yang menampilkan gambaran rutin kehidupan seharian masyarakat tempatan.

Ada sesuatu yang menarik tentang melihat sisi Malaysia diterjemahkan melalui karya seni di dalam bilik hotel. Ia menjadikan pengalaman menginap terasa lebih dekat dengan destinasi yang kita berada, berbanding sekadar dekorasi moden tanpa cerita, hanya senang dipandang mata. Daripada segi kemudahan pula, bilik dilengkapi televisyen pintar LED 55 inci, Wi-Fi berkelajuan tinggi, peti sejuk mini, peti keselamatan serta kemudahan membuat teh dan kopi. Kamar mandinya pula dilengkapi rain shower menjadikannya satu kemudahan kecil yang bagi saya cukup penting selepas seharian keluar bekerja atau berjalan-jalan.

WARNA: Bila Hidangan Tempatan Menjadi Tarikan
Dan, selain penginapan yang selesa dan tidur yang nyenyak, elemen yang menjadi tarikan utama kami jika memilih sebuah hotel, pastinya pengalaman menjamu selera di restoren atau kafe di dalamnya. Di sini, mereka mempertaruhkan Warna All-Day Dining! Konsep restorannya memang sepadan dengan namanya. Pancaran identiti yang ceria, berwarna-warni dan santai. Menu yang ditawarkan pula menggabungkan hidangan tempatan dan antarabangsa, termasuk pilihan sarapan bufet.

Namun, elemen yang paling menarik perhatian kami ialah cara kuih-muih tempatan dipersembahkan. Hidangan tradisional ini disajikan dalam sebuah food truck mini, memberikan sedikit elemen nostalgia tetapi dalam persembahan yang lebih kontemporari. Bagi kami, inilah antara perkara yang menjadikan pengalaman di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie lebih menarik. Identiti tempatan tidak hanya muncul pada dekorasi, tetapi turut diterjemahkan melalui makanan.

Urban@13: Ruang Untuk Melepaskan Lelah
Jika mahu suasana yang lebih santai selepas seharian bekerja, Urban@13 Rooftop Bar pula menjadi salah satu ruang yang menarik untuk diterokai. Terletak di aras bumbung bersebelahan kolam renang terbuka, ruang ini membawa konsep industrial yang lebih chic. Bayangkan menikmati minuman ringan sambil mengambil angin di kawasan rooftop, ia memberikan sedikit rasa seperti ‘city escape’ tanpa perlu meninggalkan kawasan bandar.
Kolam renang di kawasan terbuka juga menjadi pilihan untuk mereka yang mahu berehat. Bagi saya, konsep sebegini sesuai untuk tetamu yang datang atas urusan kerja tetapi masih mahu mencari ruang untuk unwind. Tidak perlu jadual yang terlalu padat. Kadangkala cukup dengan duduk di tepi kolam, menikmati minuman dan membiarkan badan berehat selepas seharian bergerak.

Nyatanya, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie bukan sekadar sesuai untuk percutian pendek. Dengan lima bilik acara tanpa tiang, ruang mesyuarat yang dilengkapi pencahayaan semula jadi, Wi-Fi berkelajuan tinggi serta kemudahan audio visual, hotel ini turut direka untuk memenuhi keperluan mesyuarat, seminar, majlis perkahwinan dan acara persendirian.
Malah, Urban@13 Rooftop Bar boleh menampung sehingga 30 tetamu untuk acara tertentu, manakala ruang fungsi terbesar mampu menampung sehingga 140 orang. Jadi, kalau anda jenis yang suka menggabungkan kerja dan rehat, konsep workation di sini memang masuk akal. Selepas mesyuarat, boleh terus ke gimnasium, berehat di kolam renang atau menikmati suasana rooftop.

VERDIK REVIEW
Dengan pengalaman dua hari, satu malam di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, boleh saya simpulkan bahawa ia sebagai sebuah hotel yang cuba mencari titik tengah antara keselesaan, fungsi dan karakter tempatan. Ia bukan hotel yang cuba terlihat mewah atau formal. Sebaliknya, kekuatannya terletak pada suasana urban yang santai, reka bentuk yang mempunyai cerita dan kemudahan yang praktikal untuk tetamu moden.
Lokasinya juga menjadi satu kelebihan untuk mereka yang mempunyai urusan di sekitar Glenmarie dan Shah Alam. Hotel ini mempunyai akses yang baik ke rangkaian lebuh raya serta pengangkutan awam seperti KTM, selain berada kira-kira 15 minit dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan sekitar 40 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, berdasarkan maklumat hotel. Ringkasnya, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie paling sesuai untuk mereka yang mencari penginapan yang selesa, moden tetapi tidak terlalu serius. Ada ruang untuk bekerja. Ada tempat untuk berehat. Ada makanan tempatan. Ada kolam renang. Ada rooftop untuk bersantai.
Dan yang paling penting, ada sedikit ‘rasa Malaysia’ yang membuatkan pengalaman menginap itu terasa lebih dekat dan tidak terlalu ’mendatar’.



















.gif)

Apa pandangan anda?