Posted on November 4, 2026


Bercuti di Lijiang bukan hanya tentang meneroka perkampungan tradisional atau mengagumi keindahan Jade Dragon Snow Mountain. Bagi mereka yang memilih untuk menginap di Club Med Lijiang, pengalaman menyeronokkan sebenarnya sudah bermula sebaik sahaja melangkah masuk ke resort.
Dengan pelbagai kemudahan rekreasi dan aktiviti yang tersedia, setiap hari boleh diisi dengan pengalaman berbeza. Daripada aktiviti yang menguji keberanian hinggalah bengkel kreatif yang memberi peluang mencuba sesuatu yang baharu, ada banyak perkara untuk dilakukan tanpa perlu memikirkan destinasi seterusnya. Lebih menarik, kebanyakan pengalaman ini sudah termasuk dalam pakej all-inclusive.


Terjun Ke Keseronokan Di Waterland
Antara tarikan yang paling mencuri perhatian pastinya Thrilling Waterland, sebuah taman tema air indoor seluas 1,500 meter persegi. Direka untuk keseronokan seisi keluarga, ruang ini menampilkan gelongsor air berwarna-warni, dua kolam renang dan kawasan dek yang menghadap panorama pergunungan.
Apa yang menarik, tetamu boleh menikmati aktiviti air tanpa perlu risau tentang cuaca di luar. Sama ada ingin meluncur di gelongsor atau sekadar bersantai di kolam, Waterland menjadi pilihan menarik untuk mengisi masa lapang, khususnya buat keluarga yang bercuti bersama anak-anak.

Kekal Aktif Sepanjang Hari
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti fizikal, pilihan di Club Med Lijiang sememangnya tidak mengecewakan. Resort ini mempunyai indoor sports centre dan gym yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti badminton, pingpong dan wall climbing. Jadi, tidak kira sama ada ingin menguji stamina atau sekadar berseronok bersama rakan-rakan, semuanya tersedia di satu tempat.

Jika lebih gemarkan aktiviti di luar, sesi memanah antara pengalaman yang boleh dicuba. Aktiviti ini bukan sahaja menguji fokus dan ketepatan, malah memberikan peluang untuk mencuba sesuatu yang mungkin jarang dilakukan dalam rutin harian.

Satu lagi pengalaman yang cukup menarik sepanjang berada di Club Med Lijiang ialah berbasikal sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sekitarnya. Bayangkan mengayuh basikal dengan panorama Jade Dragon Snow Mountain yang tersergam megah sebagai latar. Pemandangan puncak gunung yang diselaputi salji, udara segar dan suasana persekitaran yang mendamaikan menjadikan aktiviti santai ini terasa lebih istimewa.
Apa yang menarik, aktiviti ini memberi peluang untuk menikmati keindahan Lijiang dari sudut yang berbeza. Tidak perlu tergesa-gesa mengejar destinasi atau mengikut jadual yang padat. Sebaliknya, nikmati sahaja perjalanan, berhenti seketika untuk mengagumi pemandangan dan abadikan momen dengan latar pergunungan yang cukup memukau. Kadangkala, pengalaman paling bermakna ketika bercuti datang daripada aktiviti sederhana seperti ini.

Selepas seharian meneroka keindahan Lijiang, menyertai aktiviti rekreasi atau berjalan kaki menikmati suasana sekitar resort, apa kata luangkan sedikit masa untuk diri sendiri? Di Club Med Lijiang, tetamu boleh menikmati pengalaman relaksasi di Club Med Spa by AHAVA, sebuah ruang khusus untuk berehat dan memulihkan tenaga.
Menariknya, AHAVA terkenal dengan penggunaan bahan-bahan semula jadi yang berasal dari Laut Mati, termasuk mineral, garam dan lumpur yang menjadi sebahagian daripada rangkaian penjagaan wajah serta tubuhnya. Pilihan rawatan spa yang ditawarkan memberi peluang kepada tetamu untuk menikmati sesi penjagaan diri dalam suasana yang lebih tenang dan santai.

Bagi saya, tiada yang lebih menyenangkan daripada menikmati sesi urutan selepas seharian berjalan dan melakukan pelbagai aktiviti. Biarkan diri berehat seketika, lepaskan ketegangan dan nikmati momen tanpa perlu memikirkan jadual aktiviti seterusnya. Kadangkala, percutian yang sempurna bukan hanya tentang tempat yang kita kunjungi, tetapi juga masa yang kita luangkan untuk diri sendiri.

Pengalaman Yang Menguji Keberanian
Buat mereka yang sukakan sedikit cabaran, aktiviti flying trapeze pastinya antara yang patut dimasukkan dalam senarai. Dengan bimbingan tenaga pengajar, tetamu berpeluang mencuba pengalaman berayun di udara yang cukup mendebarkan. Walaupun pada mulanya mungkin terasa sedikit gerun, inilah antara aktiviti yang memberikan pengalaman berbeza dan kenangan menyeronokkan untuk dikongsi bersama rakan-rakan.

Kenangan Dalam Busana Tradisional China
Antara pengalaman peribadi yang paling saya hargai sepanjang berada di Club Med Lijiang ialah sesi fotografi dengan mengenakan pakaian tradisional China. Pada mulanya, saya sendiri agak teragak-agak untuk mencubanya, tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk memberikan peluang kepada pengalaman ini.
Rupa-rupanya, ia menjadi antara kenangan paling manis sepanjang perjalanan. Daripada pemilihan busana hinggalah solekan yang disesuaikan dengan tona kulit saya, pasukan mereka melakukan semuanya dengan begitu teliti. Saya juga cukup kagum melihat bagaimana jurugambar memanfaatkan latar belakang pemandangan pergunungan untuk menghasilkan foto yang begitu cantik.

Menariknya, pakej asas merangkumi tiga keping foto pilihan secara percuma, manakala solekan boleh ditambah dengan bayaran RMB100. Bagi saya, pengalaman ini cukup berbaloi kerana hasil gambarnya bukan sekadar kenangan percutian, tetapi sesuatu yang boleh disimpan dan dikenang untuk tahun-tahun akan datang.


Dari Bengkel Kreatif Hingga Ke Seni Tradisional
Selain aktiviti sukan dan rekreasi, Club Med Lijiang turut menawarkan pelbagai bengkel untuk tetamu yang ingin meneroka sisi kreatif mereka. Antaranya termasuk bengkel pembuatan teh, aksesori kristal, lukisan dan pembuatan kertas tradisional.

Setiap bengkel memberikan peluang untuk mencuba kemahiran baharu sambil mengenali sedikit sebanyak seni dan budaya tempatan. Bengkel aksesori kristal juga menarik perhatian kerana ia boleh disertai secara percuma, tertakluk pada jadual mingguan resort. Untuk bengkel lain, bayaran tambahan mungkin dikenakan, jadi sebaiknya semak jadual dan maklumat penyertaan dengan pihak resort terlebih dahulu.


Menikmati Hotpot Dengan Panorama Pergunungan
Selepas seharian mencuba pelbagai aktiviti, pastinya waktu makan menjadi antara momen yang dinanti-nantikan. Salah satu pengalaman kulinari yang menarik di sini ialah menikmati hotpot sambil menghadap pemandangan pergunungan.
Hidangan panas yang dinikmati dalam suasana nyaman, ditemani panorama alam semula jadi, memberikan pengalaman makan yang sedikit berbeza daripada kebiasaan. Lebih-lebih lagi apabila dapat berkumpul bersama rakan-rakan, berkongsi cerita dan mengimbas aktiviti yang dilakukan sepanjang hari.

Club Med Lijiang Yang Serba Lengkap
Apa yang menjadikan Club Med Lijiang menarik ialah kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan untuk setiap jenis tetamu. Sama ada bercuti bersama keluarga, pasangan atau sekumpulan rakan, sentiasa ada aktiviti yang boleh disesuaikan mengikut minat masing-masing.
Lebih penting, kemudahan dan aktiviti yang termasuk dalam pakej all-inclusive menjadikan pengalaman bercuti lebih mudah. Kita tidak perlu terlalu memikirkan kos untuk setiap aktiviti atau mencari hiburan di luar resort. Cuma semak jadual aktiviti, pilih apa yang ingin dicuba dan nikmati masa yang ada.
Selepas menghabiskan masa di sini, saya sedar bahawa Club Med Lijiang bukan sekadar tempat untuk berehat selepas meneroka Lijiang. Ia sendiri merupakan sebahagian daripada pengalaman percutian yang membuatkan kita ingin meluangkan lebih banyak masa di dalam resort. Malah, ada kemungkinan anda akan pulang dengan senarai aktiviti yang masih belum sempat dicuba!
Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan, aktiviti dan pakej penginapan, layari Club Med Lijiang.









.gif)
.gif)

Apa pandangan anda?