Posted on March 4, 2020
Martabatkan Jawi, Sembah Naim Daniel Dapat Pujian Dewan Bahasa & Pustaka
Sang juara Anugerah Juara Lagu ke-34 (#AJL34), Naim Daniel baru-baru ini melancarkan single terbaru bertajuk #SEMBAH. Yang menariknya, penyanyi milenial yang mesra disapa sebagai Naim itu turut mengangkat tulisan Jawi, seiring dengan tulisan Rumi di dalam muzik video lirik #Sembah.
Nampaknya, percaturan Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin (23) beralih angin dari bidang lakonan ke bidang nyanyian, ternyata membuahkan hasil. Gara-gara menggunakan tulisan Jawi untuk muzik video lirik itu, dia beroleh sepucuk surat penghargaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)!
https://www.instagram.com/p/B9LSWiGhebD/
Berkenaan isi kandungan surat, DBP menghargai dan memuji usaha Naim dan label muziknya, WP Entertainment dalam menggunakan tulisan Jawi di dalam muzik video #Sembah. DBP juga berharap agar lebih banyak lagi usaha untuk memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat selepas ini.
Pengiktirafan daripada Badan Berkanun Kerajaan ini membuatkan Naim Daniel bersyukur dan menganggap ia satu lagi pencapaian membanggakan buat dirinya secara peribadi sebagai artis dan juga pengurusannya.
Allahuakbar, satu penghargaan besar bagi saya dan @wp.entertainment. Terima kasih Dewan Bahasa dan Pustaka (@dbpmalaysia) untuk penghargaan ini. Teruskan mendengar lagu terbaru saya, Sembah! Di semua platform digital! #SembahxNaim
– Naim Daniel
Berkongsi lanjut mengenai lirik Jawi dalam muzik video #Sembah, Naim berharap ia akan memberi manfaat kepada seni Jawi tempatan memandangkan ramai yang sudah mula melupakan hasil warisan dan seni Melayu itu.
Tambah Naim, “Kami berharap sedikit sebanyak tulisan Jawi dalam lirik video itu boleh dipelajari semula oleh rakyat Malaysia. Apatah lagi, seni Jawi semakin dilupakan. Maka, kami cuba untuk mempertahankan satu daripada seni terbaik yang dimiliki negara ini,” ucapnya.
“Sambil menikmati muzik video berkenaan, orang ramai juga boleh mengasah semula pengetahuan mengenai tulisan Jawi” – Naim Daniel
Terdahulu, Naim berkongsi perkhabaran gembira ini lewat laman Instagramnya, @NaimDanielX. Rakan-rakan artis seperti Noh Saleh, Daiyan Trisha, Wany Hasrita dan Zahiril Adzim turut mengucapkan tahniah kepada Naim di ruangan komentar. Dalam masa sama, Naim turut mendapat reaksi positif daripada rata-rata peminat dan warganet atas usahanya memperkasakan tulisan Jawi untuk muzik video #Sembah ft. Man Keedal, di bawah:
Apa pandangan anda?