Posted on July 5, 2026

Ada sebab mengapa The St. Regis Kuala Lumpur kekal menjadi antara pilihan utama untuk staycation mewah di ibu kota. Selepas menghabiskan 48 jam di sini, kami akhirnya memahami tarikan itu. Bukan kerana lobi yang serba indah atau suite yang luas semata-mata, tetapi bagaimana setiap pengalaman disusun dengan begitu teliti sehingga keseluruhan penginapan terasa begitu mudah dan selesa.




Sepanjang kunjungan ini, kami menginap di dua kategori bilik berbeza iaitu Executive Suite dan King Guest Room. Kedua-duanya berkongsi estetika klasik yang menjadi identiti The St. Regis, lengkap dengan ruang yang luas, pencahayaan semula jadi dan bilik mandi marmar bersama tab mandi. King Guest Room menawarkan segala yang diperlukan untuk sebuah penginapan yang selesa, manakala Executive Suite membawa pengalaman itu selangkah lagi dengan ruang tamu berasingan, walk-in wardrobe serta ruang spa peribadi. Tab mandinya yang menghadap panorama Kuala Lumpur juga menjadi lokasi kegemaran kami setiap kali kembali ke bilik.


Hospitaliti Yang Menjadi Gaya Signature
Satu perkara yang terus mencuri perhatian sejak hari pertama ialah St. Regis Butler Service. Perkhidmatan ini tersedia untuk setiap tetamu dan menjadi antara keistimewaan yang sinonim dengan jenama St. Regis. Butler membantu menguruskan pelbagai keperluan sepanjang penginapan, daripada menyeterika pakaian dan mengemas bagasi sehinggalah memenuhi permintaan yang dibuat pada bila-bila masa.


Bagi kami, layanan yang paling dihargai sebenarnya datang melalui rutin-rutin kecil. Secawan cappuccino pada waktu pagi, teh pada sebelah petang atau hot chocolate sebelum tidur hanya memerlukan satu panggilan. Sebelum kami kembali ke bilik pada waktu malam, bubble bath juga sudah siap disediakan oleh butler. Mungkin ia kelihatan seperti perkara yang ringkas, tetapi perhatian terhadap perincian seperti inilah yang menjadikan pengalaman di The St. Regis terasa begitu berbeza.


Pagi kedua bermula dengan sesi yoga sempena Global Wellness Day bersama lululemon. Pagi kami dimulakan dengan regangan, pernafasan dan suasana yang jauh lebih tenang. Ia menjadi pembuka hari yang cukup menyenangkan sebelum kami menuju ke The Brasserie.

Sarapan pagi di sini sememangnya mempunyai kelompok peminatnya sendiri dan selepas mencubanya, kami faham mengapa. Selain pilihan bufet yang merangkumi pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa, tetamu juga boleh memesan menu à la carte yang disediakan segar dari dapur. Canadian Lobster Egg menjadi pilihan kami dan ia sememangnya antara hidangan yang wajar dicuba. Lobster yang manis dipadankan dengan telur yang dimasak sempurna menghasilkan sajian yang kaya dengan rasa, namun masih seimbang. Daripada pastri yang baru keluar dari ketuhar hinggalah kepada pilihan buah-buahan dan hidangan panas, setiap satunya mencerminkan standard kulinari yang sinonim dengan The St. Regis.



Mengakhiri Hujung Minggu Dengan Iridium Spa
Pengalaman hujung minggu kami diteruskan di Iridium Spa. Kami memilih Bespoke Massage yang disesuaikan mengikut keperluan tubuh sebelum mengakhiri sesi dengan Rose Bath. Hampir dua jam dihabiskan di sini dan sebaik melangkah keluar, badan terasa jauh lebih ringan. Tepat seperti yang diperlukan sebelum kembali kepada rutin harian.


Selepas 48 jam di The St. Regis Kuala Lumpur, ada satu perkara yang paling kami ingati. Bukan suite yang luas atau sarapan paginya, walaupun kedua-duanya sememangnya antara yang terbaik. Sebaliknya, pengalaman itu banyak dibentuk oleh perkara-perkara kecil. Kopi yang dipesan pada bila-bila masa, secawan teh sebelum tidur atau bubble bath yang disediakan atas permintaan menjadi antara momen yang paling kami nikmati sepanjang penginapan.
Mungkin itulah kemewahan yang sebenar hari ini. Bukan sesuatu yang perlu dipamerkan, tetapi sesuatu yang membuatkan kita sentiasa mahu kembali.





















.gif)

Apa pandangan anda?