Posted on February 19, 2021
Lipstik merah umpama kuasa. Ia memberi tarikan yang tidak ada pada warna lipstik lain (melainkan kalau kamu pakai warna-warna neon). Ia juga boleh menghantar mesej bahawa kamu berani dan yakin diri. Walaupun ia hanyalah warna pada bibir tetapi pelik kan warna lipstik sebegini boleh mencipta imej yang begitu hebat.
Tapi begitulah yang saya rasa tentang lipstik merah. Kaum Cina juga percaya bahawa warna ini membawa tuah dan keuntungan. Nah sempena Tahun Baru Cina, saya senaraikan tips untuk kamu yang ingin menggayakan warna ini pada bibir.
1. Salap bibir penting kalau tak nak lipstik merah smudge
Gincu merah memang senang untuk smudge di tepi-tepi bibir kalau tidak berhati-hati. Punca masalah ini ialah bibir kering. Nasihat saya gunakan salap bibir agar warna gincu kekal di dalam kawasan bibir sahaja. Supaya ia tidak merebak di bahagian luar garisan bibir.
2. Kalau bibir rasa kasar, skrub dahulu
Lipstik merah di atas permukaan bibir yang kasar memang tidak cantik. Bahkan mungkin nampak seperti sisik ular sedang menggelupas. NO-NO. Gunakan skrub bibir dahulu untuk menanggalkan kulit mati pada bibir sebelum menggunakan gincu merah. Kemudian baru sapukan salap bibir. Jangan sesekali tarik kulit mati pada bibir (kita semua tahu betapa pedihnya luka itu).
3. Guna penyamar noda pada kulit sekitar bibir
Untuk mencipta garisan bibir jelas, sapukan penyamar noda pada kulit sekeliling bibir. Gunakan jari atau berus kecil yang rata.
4. Penggaris bibir dan berus bibir untuk garisan lebih tepat
Penggaris bibir akan membantu kamu mendapatkan garisan lebih tepat. Gunakan juga berus bibir yang rata kerana ini akan membantu menyempurnakan aplikasi lipstik merah kamu. Sapukan berus pada hujung lipstik dan aplikasikan pada bibir. Dongak kepala pabila melihat ke dalam cermin waktu menyapu. Ini akan membantu kamu mendapat sapuan lebih sempurna.
5. Merah berbeza sesuai untuk ton kulit yang juga berbeza
Ada pelbagai ton merah yang boleh kamu pilih. Percayalah setiap ton akan memberi efek berbeza kepada solekan. Cara terbaik untuk tahu ton mana paling sesuai dengan kamu ialah dengan mengetahui undertone kulit kamu dan ton lipstik. Ton sejuk dan berasas biru lebih sesuai untuk kulit cerah (selain membuat gigi kamu nampak lebih putih) dan ton berasas kuning lebih sesuai untuk ton kulit hangat. Pegang lipstik di sebelah bibir kamu untuk melihat sama ada ia sesuai atau tidak dengan kamu.
6. Hati-hatilah pabila menanggalkan pakaian bila memakai lipstik merah
Gincu merah senang melekat pada permukaan. Mug, cawan, pakaian dan di atas kulit orang juga!!!! Hati-hatilah pabila menggunakan gincu merah. Pakai dulu baju sebelum menyapu lipstik. Tanggalkan dulu gincu sebelum menanggalkan baju di penghujung hari.
Apa pandangan anda?