Posted on February 23, 2021
Besar tugas yang dipikul oleh Willow Smith. Namun, tidaklah terlalu berat. Smith yang dipilih sebagai duta global untuk Onitsuka Tiger diminta kerjasamanya untuk menyampaikan mesej positif, yakni mengajak audiens merasai kebebasan dalam berfesyen! Kata-kata kunci himpunan Onitsuka Tiger kali ini adalah “menikmati fesyen mengikut cara tersendiri.” Berbicara tentang menjadi unik, Swarovski memarakan diri dengan kesatuan idea ‘magis’ bertemu ‘sains’ – yang dicetuskan oleh pengarah kreatif baharunya, Giovanna Engelbert. Berusia sudah lebih seabad, era baharu Swarovski memperlihatkan perubahan dari aspek wawasan dan matlamatnya, tetapi masih menekalkan DNA-nya.
Di samping Onitsuka Tiger dan Swarovski, dua jenama fesyen – Paul Smith dan Berluti – juga cuba memupuk kelainan dalam himpunan musim bunga panas 2021. Paul Smith bernostalgia, tidak mahu membuang jauh-jauh kenangannya. Manakala Berluti pula mewujudkan unsur harmonis antara fesyen dengan lapangan seni lain, yakni seni seramik.
Willow Smith Meligatkan Badani Di Onitsuka Tiger
Baru semalam kami mengulas tentang gen zer dengan fesyen mereka, dan hari ini subjek gen zer menjadi buah tutur sekali lagi. Fokus kali ini bertumpu pada Willow Smith – ‘sosok’ yang tidak asing lagi di kalangan Gen Z – yang dipilih oleh Onitsuka Tiger untuk menjadi representasi global!
Selaku pengarah kreatif Onitsuka Tiger, Andrea Pompilio beraspirasi untuk mengubah attitude Onitsuka Tiger menerusi inovasi serta daya ciptanya. Lantas, pelantikan Willow Smith sebagai representasi atau duta global adalah tepat sekali, dalam mentafsirkan attitude yang dimaksudkan itu. Menurut Onitsuka Tiger, Smith mampu meyakini khalayak dengan membawa pengertian ‘membenihkan kebaharuan, namun tidak mengesampingkan jati diri’ dan itulah yang mendasari pemilihannya.
Makanya, dalam kempen musim bunga panas 2021 Onistuka Tiger, Smith meligatkan jasmani dan melapangkan dirinya. Smith berdansa dan digabungkan lagi dengan gaya-gaya senaman, bagi menyerlahkan sisi dramatik Onistuka Tiger. Kecantikan dalaman Smith digunakan oleh Pompilio untuk mencapai tujuan tema utama. Prinsip gerak-geri tubuh serta mainan pergerakan Smith bukan sahaja mencerminkan kebebasan, malah juga kenikmatan kualiti distingtif dalam hal berfesyen. Apa yang cuba disampaikan adalah kebebasan yang berpenghujung dengan rasa tidak terbatas, agar mengenal sifat individualistik yang selama ini terbina dalam diri.
Berluti Berdialog Dengan Artis Seramik Untuk Musim Bunga Panas 2021
Dek pandemik COVID-19, segalanya dilaksanakan secara digital dan di atas talian. Mujur ia tidak membantutkan hasrat mereka. Bayangkan, Kris Van Assche berurusan dengan artis seni seramik Brian Rochefort di atas talian, namun… ia berhasil jua!
Van Assche mendekati Rochefort untuk menghasilkan karya khusus untuk himpunan Berluti musim bunga panas 2021. Hasil-hasil kerja Rochefort ditransformasikan sebagai grafik yang membentuk atau mencorakkan himpunan ini. Segalanya juga diubah bukan sahaja menjadi motif atau cetakan, namun juga pada ceraian baju kait dan leather-work. Bermakna karya Rochefort dalam himpuna Berluti kali ini bersifat motif sentuh (2D) dan tampak (3D atau tekstur).
Van Assche dan Rochefort mengaduk idea : signature penuh bertenaga Rochefort yang mencungkil inspirasi gunung berapi serta tumbuh-tumbuhan eksotik disatukan dengan language natural Berluti. Apa yang tersisip adalah nilai artistik yang mempertemukan seni fesyen dengan seni seramik, sekali gus menerbitkan satu himpunan yang bertunjangkan apresiasi.
Seperkara lagi tentang Berluti kali ini adalah keberaniannya. Keberanian untuk berpapasan arus, mengubah kod pakaian yang dahulunya bersifat tradisional dan kini ia dimodenkan berasaskan cita rasa generasi semasa. Berluti menampilkan idea pakaian yang mengaburi konsep kejantinaan, yang diumpamakan sebagai penghormatan buat identiti Van Assche. “New era wardrobe staples.” Selain itu, Berluti musim bunga panas 2021 juga tidak mahu lagi ‘tunduk’ pada konsep pakaian klasik. Contohnya, sut wool tidak lagi berdasarkan pola sut biasa, sebaliknya dimodenkan dengan siluet longgar. Ia juga bermain dengan memperbaharui motif-motif klasik seperti houndstooth dan gingam kepada skala makro.
SAINS & KUASA AJAIB ‘WONDERLAB’ SWAROVSKI
Ini adalah himpunan debut Giovanna Engelbert untuk Swarovksi – yang dilantik sebagai pengarah kreatif Swarovski pada tahun lepas. Engelbert memasang hasrat untuk menjadi ‘mata’ kreatif di Swarovski dan ternyata, dia membawa inovasi tersebut dalam himpunan musim bunga panas 2021. Mengiringi usia lebih seabad (125 tahun), Swarovski yang diselia oleh Engelbert, memperlihatkan himpunan yang digelar Wonderlab.
Mengepal keras prinsip ‘Ignite Your Dreams’, Engelbert membayangkan gaya hidup kristal moden yang tidak hanya berkonsepkan sebuah fantasi, malah juga merai keindividuan. Engelbert mewujudkan Wonderlab yang merupakan satu gagasan, yang menyatukan sains dengan magis, sifat ekstra dengan elegan dikahwinkan dan ia mengusik kita sebagai khalayak, untuk diangkut ke dalam dunia fantasi tersebut. Kiranya Wonderlab itu umpama satu ‘tempat’ yang melambangkan prinsip Swarovski – ‘melepaskan’ fantasi, untuk menginspirasikan kita.
Engelbert mengubah himpunan Swarovski kali ini dari segi penggunaan warna, saiz serta penataan gayanya. Ia dijangka membekalkan dinamik serta pengalaman baharu menerusi visi yang diketengahkan. Dengan harapan ia kekal relevan dan menyaingi perubahan dari semasa ke semasa.
PAUL SMITH BERNOSTALGIA!
Bersarak serasa rindu. Apakah itu perasaan yang terbina dalam hati Sir Paul Smith? Tidak mustahil. Dengan keadaan dunia sekarang tidak membenarkan bercuti, berlibur atau berpegian jauh, Sir Paul Smith menyelongkar retrospeksi lama. Menerusi fotograf-fotograf lama yang menggambarkan percutian serta kenangan bahagia. Percutian pengembaraan dan kenangan bahagia yang Sir Paul Smith lalui bersama isteri tercintanya, Pauline.
Umpama ke ‘ajaib khanah’, menerusi pudarnya fotograf yang ditatap serta stail gambar 70an, yang mencelup rasa bernostalgia itu, ia bisa membawa Paul Smith pergi ke satu alam yang mengetuk cepu kepalanya. Lalu teringatkan gaya-gaya elegan yang relaks, pelet rona seperti rona tanah atau semula jadi, rona biru langit dan rona vintaj umpama dilunturkan terik matahari. Fabrik-fabrik ringan yang memudahkan rasa lapang dalam pergerakan seperti seersucker, kapas organik serta linen juga tidak luput daripada ingatan.
Perihal-perihal itulah yang menterjemahkan himpunan pakaian perempuan Paul Smith untuk musim bunga panas 2021!
Kali ini, Paul Smith reimagine konsep tailoring untuk era baharu. Ia menampilkan rekaan-rekaan lembut dan tidak lagi berasaskan keformalan. Contohnya siluet rekaan blazer untuk musim ini lebih lembut dan unstructured. Bentuk-bentuk baharu jakat-jaket lain juga turut dimunculkan – yang berdasarkan softened lines, potongan longgar, basi selesa dan sifat kasual. Sudah tentu, tidak sah seandainya Paul Smith tidak menyelit sekali himpunan pakaian yang menerapkan motif atau corak, kan? Sememangnya, motif atau corak memainkan peranan penting dalam himpunan terbaru Paul Smith. Kerana motif atau corak itu umpama melanjutkan prinsip Paul Smith yang sukakan kegembiraan atau kegirangan. Lantas, ia tidak dipinggirkan sama sekali dan tumpuan Paul Smith musim ini adalah motif atau corak yang berkonsepkan eklektik, namun saling tidak serasi. Dalam erti kata lain, mewujudkan kontras.
Apa pandangan anda?