Posted on March 24, 2021
Cukuplah, tidak mahu lagi mendengar kisah-kisah yang negatif atau yang bikin rasa panas hati. Time for fashion good news! Tiba masa untuk mendengar berita-berita fesyen yang positif, yang bersulamkan harapan dan berunsurkan keinsanan. Antaranya usaha Burberry menderma kepada UNICEF untuk mendapatkan hak sama rata vaksin COVID-19, Coach mewujudkan dialog bersama tiga wanita yang membincangkan hal seperti representation dan Paul Smith berazam untuk beri sokongan serta membantu anak-anak muda yang mendepani isu kesihatan mental.
FASHION GOOD NEWS! DERMA BURBERRY KEPADA UNICEF UNTUK HAK SAMA RATA VAKSIN COVID-19
Usaha atau niat jenama fesyen yang bergandingan tangan untuk memutuskan rantaian COVID-19 tidak hanya tergencat di pertengahan jalan. Setelah membantu menghasilkan kelengkapan perlindungan diri serta mengumpul dana khusus untuk pejuang barisan hadapan, kini jenama-jenama fesyen berjerih perih berderma bagi memastikan kesamarataan serta keadilan penerimaan vaksin COVID-19.
Rumah fesyen seperti Burberry antara yang mengimplementasikan usaha tersebut dan menderma kepada UNICEF untuk mewujudkan ‘equal access’ (akses sama rata) penerimaan vaksin COVID-19 satu dunia, terutama sekali di kalangan komuniti-komuniti yang berisiko serta negara-negara yang berpendapatan rendah.
Berpegang pada kenyataan, “We believe everyone should have equal access to COVID-19 vaccines”, derma yang dikumpul oleh menerusi jenama Burberry dan Burberry Foundation COVID-19 Community Fund ini diberi kepada UNICEF’s COVID-19 Vaccines Appeal – ia akan membantu dari aspek pengangkutan, penyimpanan dan pentadbiran yang selamat, sepanjang pelaksanaan rancangan vaksin COVID-19.
COACH BERDIALOG DENGAN PALOMA ELSESSER, MEENA HARRIS & YUNA, SEIRINGAN DENGAN WOMEN’S HISTORY MONTH
Coach menyiarkan episod ketiga Coach Conversations – Coach Conversations adalah siri YouTube yang mengupas isu budaya, komuniti dan kreativiti. Kali ini, ia menampilkan tiga wanita yang berbeza latar belakang serta profil, yakni model Paloma Elsesser, usahawan Meena Harris dan penyanyi kebanggaan Malaysia, Yuna!
Seiringan dengan Women’s History Month, episod ketiga Coach Conversation ini memperlihatkan Elsesser, Harris dan Yuna membincangkan perkara-perkara seperti representation (representasi women of colour), kesedaran tentang antarhubung yang berkaitan dengan persilangan bangsa, usia serta jantina yang berbeza dan pemandirian jua berautonomi dalam dunia yang dilingkungi kuasa patriark.
Ketiga-tiga mereka menyambung perbicaraan, berdialog antara sesama sendiri tentang kepentingan memiliki model peranan yang berteraskan diversifikasi, bagaimana mereka menegaskan kewibawaan dalam dunia profesional masing-masing dan berkongsi nasihat-nasihat yang membina.
Mengutip kata Yuna dalam Coach Conversation episod ketiga ini yang sangat-sangat membekas, “When I first started out, I didn’t have anyone with a music career I could reference. It was, ‘Who do I refer to?’ Maybe now I can be that person that I always wanted, that I needed when I was younger.”
PS PAUL SMITH SOKONG ‘INTERNATIONAL DAY OF HAPPINESS’ & MENDERMA KEPADA YOUNGMINDS
Sudah lapan tahun hari International Day Of Happiness dirai! Ia direalisasikan oleh United Nations – bermula pada tahun 2013 – yang bertujuan untuk menyedarkan sejagat tentang kepentingan kegembiraan yang terjalin dalam kehidupan manusia. Hari bernama pertama ini jatuh pada tarikh 20 Mac 2013 dan untuk tahun 2020 kali ini, ia bertemakan “Happiness For All, For Ever”. Tema ini memberi perhatian kepada perkara seperti persamaan yang ada di antara kita semua dan bukan yang memecah-belahkan kita.
Paul Smith, jenama yang dikenali dengan warna-warni lambang kegembiraan, menjadi sebahagian daripada hari tersebut. Dengan azam semerbak untuk menyokong International Day of Happiness seraya menebarkan mesej-mesej positif, Paul Smith mendermakan 50 peratus hasil jualan daripada produk-produk PS Paul Smith Happy (yang dijual pada 20 Mac dan 21 Mac 2021) kepada YoungMinds. Paul Smith juga telah meletakkan butang ‘donate’ (donate button) pada akaun Instagram-nya bagi memudahkan perjalanan kutipan derma kepada YoungMinds.
Buat mereka yang tidak kenal YoungMinds, ia adalah satu gerakan yang diwujudkan bagi membantu anak-anak muda mendapatkan dukungan serta sokongan yang berkaitan dengan isu kesihatan mental. Badan kebajikan ini bekerja dengan anak-anak muda di United Kingdom dan mereka berkempen untuk membangkitkan kesedaran di kalangan orang ramai.
Apa pandangan anda?