Posted on April 1, 2021
Suatu masa dulu, sistem bantuan lampu adaptif (ADAS) hanya ditawarkan pada kereta yang mahal dan premium. Tapi zaman dah berubah, kerana ciri ini kini banyak ditawarkan pada kereta yang lebih mampu milik.
Kereta seperti Perodua Axia pun dah ada ADAS, dan Nissan Almera yang agak ‘underrated’ pun menawarkan brek kecemasan autonomi (AEB) sebagai standard.
Ciri bantuan keselamatan sebegini telah menaikkan standard piawaian keselamatan industri secara keseluruhan, sehingga ASEAN NCAP terpaksa merombak cara ujian kemalangan dilakukan bermula pada 2021.
Tetapi, antara semua ini, fungsi keselamatan yang paling menarik adalah lampu adaptif. Lebih maju berbanding lampu tinggi automatik, lampu yang pintar ini boleh laras secara automatik mengikut kelajuan atau posisi stereng, kadangkala dengan bantuan kamera atau radar.
Namun begitu, ia bukanlah teknologi yang baru, cuma kini kelengkapan sebegini kian banyak ditawarkan pada banyak kereta baru. Semestinya, ada yang tertanya-tanya kereta apakah yang mempunyai lampu adaptif ini, tetapi tidak terlalu mahal seperti Mercedes-Benz atau BMW?
Dalam artikel ini, kami dari WapCar mempunyai senarai 5 kereta paling murah dengan fungsi lampu adaptif ini, bermula dengan “budak baru”, iaitu…
1. Perodua Ativa 1.0H 2021 – dari RM 66,100
Bulan Mac kali ini memang milik Perodua Ativa. Tapi memang ia layak berada dalam senarai ini, kerana Ativa adalah kereta termurah dengan ciri lampu adaptif. Nanti lihat empat lagi model seterusnya, ‘confirm’ kamu akan ternganga dengan jurang harga untuk ciri sebegini.
Apa yang mengagumkan adalah Perodua menawarkan ciri ini pada varian pertengahan H, bukan sahaja AV. Digelar sebagai Adaptive Driving Beam, ia salah satu ciri yang diambil pada kereta yang menjadi asas kepada Ativa, iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.
2. Subaru XV 2.0i-P – dari RM 127,788
Dengan harga dua kali ganda lebih mahal daripada Ativa, Subaru XV bukan saja dikenali dengan enjin Boxer dan sistem Symmetrical AWD, tetapi ia adalah kereta kedua termurah yang menawarkan lampu adaptif pada varian 2.0i-P.
Subaru mengelar lampu adaptif mereka sebagai Steering Responsive Headlights (SRH) dan seperti namanya, lampu depan berpusing dan dikendalikan oleh stereng, sama seperti Citroen DS lama.
Walaupun ia menawarkan lampu serba canggih, sayangnya XV tidak dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu ADAS pada kesemua varian. Kami berharap sistem ADAS Eyesight akan ditawarkan pada XV yang akan dikemas kini.
3. Mazda CX-5 2.0G 2WD High – dari RM 148,563
Pada sesiapa yang rasa SUV agak boring untuk dipandu, kami yakin persepsi kamu akan berubah setelah memandu Mazda CX-5. Ia antara salah satu SUV popular di Malaysia dengan dinamik pemanduan yang sedap dan dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan.
Justeru, kami syorkan kamu varian 2.0 2WD High walaupun ia tidak dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu ADAS sepenuhnya. Varian ini, dengan 2.5G 2WD High dilengkapi dengan Adaptive Front-lighting System (AFS), terma Mazda untuk lampu adaptif.
4. Subaru Forester 2.0i-S – dari RM 149,788
Lagi satu Subaru dalam senarai ini, Forester bukanlah sebuah SUV yang kacak mahupun berkuasa, tetapi ia lebih senyap dan dilengkapi dengan ciri keselamatan yang lebih menyeluruh berbanding Honda CR-V.
Walaupun varian pertengahan Forester 2.0i-S tidak dilengkapi dengan EyeSight ADAS, tetapi ia bukanlah varian rendah. Sama seperti varian tertinggi 2.0i-S ES, ia dilengkapi dengan SRH.
Ia berfungsi sama dengan XV, di mana lampunya berpusing mengikut stereng.
5. Mazda 3 2.0 High Plus – dari RM 154,679
Akhir sekali dalam senarai ini adalah salah satu kereta paling cantik pernah ditawarkan oleh Mazda. Ciri lampu adaptif ini ada pada kedua-dua Mazda 3 sedan dan hatchback varian tertinggi. Sama seperti CX-5, ia dikenali sebagai AFS.
Walaupun ia jauh lebih mahal berbanding pesaingnya seperti Toyota Corolla Altis atau Honda Civic, Mazda 3 kena dengan harganya kerana ia nampak premium baik di luar ataupun dalam.
Disebabkan itu, kedua-dua pesaingnya tidak ada lampu adaptif pada varian tertinggi (Corolla Altis 1.8G dan Civic 1.5 TC-P), sebaliknya dilengkapi dengan automatic high beam (AHB).
Cuma Mazda 3 punya kawalan pelayaran adaptif (MRCC) hanya berfungsi pada kelajuan lebih 20 km/h, berbanding Corolla Altis dan Civic di mana ia berfungsi walaupun kamu sedang merangkak di trafik.
Berbanding kebanyakan ciri keselamatan lain, lampu adaptif bukanlah fungsi yang ada secara meluas pada kereta di bawah julat harga RM 200,000 di dalam senarai ini. Selain daripada Perodua, dua jenama lain ini bukanlah apa yang dikira sebagai kereta yang laku keras.
Kami harap lebih banyak lagi jenama ‘mainstream’ akan menawarkan fungsi ini pada model akan datang. Perodua sudahpun membuktikan bahawa ciri keselamatan yang sebegini canggih boleh ditawarkan pada orang ramai dengan harga yang berpatutan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati WapCar
Apa pandangan anda?