Posted on March 31, 2021
Pembedahan LASIK, menjadi pilihan golongan bermata 4 yang mengidamkan ‘kebebasan’ dan penglihatan lebih jelas! Ikuti artikel ini untuk memahami perincian berserta kos prosedur LASIK mata.
Pastinya, semua orang ingin memiliki penglihatan yang jelas tanpa perlu bergantung dengan kaca mata mahupun kanta lekap.
Tapi, perasaan untuk menjalani pembedahan mata secara sedar dengan mata yang terbuka luas, sangat menakutkan!
Sama seperti pembedahan yang lain, keputusan untuk melakukan LASIK hendaklah dibuat dengan bijak di samping perancangan yang teliti.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.
Pembedahan LASIK mata
LASIK adalah singkatan kepada Laser in Situ Keratomileusis, membawa makna penggunaan laser di bawah lapisan nipis kornea (flap) untuk membentuk semula kornea (keratomileusis).
Prosedur ini memanfaatkan penggunaan laser yang sangat khusus (excimer laser), yang dicipta untuk merawat ralat refraktif seperti:
- Rabun jauh
- Rabun dekat
- Astigmatisme (rabun silau)
Tambah lagi, LASIK juga berfungsi dengan mengubah bentuk kornea, penutup depan mata yang bersifat lutsinar.
Walaupun laser excimer telah digunakan selama bertahun-tahun sebelumnya, rawatan LASIK umumnya perlu dikreditkan pada Ioannis Pallikaris dari Yunani, sekitar tahun 1991.
LASIK eye surgery ini sangat popular dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah rabun.
Pun begitu, dek kerana kos pembedahan LASIK mata yang agak mahal, ia menjadi penyebab utama sesetengah golongan tidak dapat menggunakan prosedur ini.
Kos pembedahan LASIK mata turut berbeza-beza bergantung kepada beberapa faktor, seperti masalah penglihatan yang dialami serta usia.
Namun, usah terlalu khuatir ya! Kebanyakan syarikat menawarkan pilihan pelan ansuran dan kaedah pembayaran yang mudah.
LASIK, bagaimana ia berfungsi?
Semasa prosedur LASIK, pakar bedah mata yang terlatih terlebih dahulu akan membentuk satu lapisan nipis flap dengan alat microkeratome (suatu alat pembedahan mikro yang amat jitu).
Selepas flap dibentuk , ia diketepikan, dan permukaan kelengkungan kornea diubah dengan sinaran excimer laser.
Laser ini bakal membentuk semula permukaan tisu tanpa memberi kesan kerosakan haba atau parut kepada tisu-tisu di sekeliling.
Kemudian, flap kornea yang masih terlekat akan dikembalikan ke kedudukan asal tanpa memerlukan sebarang jahitan.
Ambil tahu risiko pembedahan LASIK!
Sebelum memutuskan untuk menjalani prosedur ini, adalah wajar untuk kalian mengenal pasti risiko-risiko yang boleh berlaku terlebih dahulu!
Antara risiko pembedahan LASIK, merangkumi:
- Mata kering: Pembedahan LASIK menyebabkan pengurangan dalam penghasilan air mata buat seketika. Selama 6 bulan pertama atau lebih pasca pembedahan, mata kamu mungkin akan terasa sangat kering. Doktor mata mungkin mengesyorkan penggunaan ubat titis mata sebagai solusi.
- Masalah silau/ penglihatan berganda: Pasca pembedahan, kamu mungkin bakal alami kesukaran untuk melihat dengan jelas pada waktu malam. Ia biasanya berlangsung dari beberapa hari hingga beberapa minggu.
- Undercorrections: Sekiranya terlalu sikit tisu mata yang dikeluarkan oleh laser, kamu tidak akan mendapat hasil penglihatan yang lebih jelas seperti diharapkan.
- Pembetulan berlebihan: Ada juga kemungkinan laser mengeluarkan terlalu banyak tisu daripada mata kamu. Pembetulan yang berlebihan pula mungkin lebih sukar untuk dibetulkan berbanding undercorrections.
- Astigmatisme: Rabun silau boleh disebabkan oleh penyingkiran tisu yang tidak rata. Kamu mungkin memerlukan pembedahan tambahan, cermin mata atau kanta lekap.
- Masalah flap: Percubaan untuk menyingkirkan flap dari depan mata semasa pembedahan boleh menyebabkan komplikasi, termasuk jangkitan dan air mata yang berlebihan. Lapisan tisu kornea juga berisiko tumbuh secara tidak normal di bawah flap semasa proses penyembuhan.
- Regresi: Regresi terjadi apabila penglihatan kamu secara perlahan-lahan berubah kembali ke preskripsi asal.
- Kehilangan atau perubahan penglihatan: Jarang sekali, komplikasi pembedahan ini menyebabkan kehilangan penglihatan.
Untuk makluman tambahan, pembedahan LASIK juga biasanya tidak digalakkan sekiranya kalian sudah pun:
- Menghidap penyakit mata atau sejarah keluarga yang menyebabkan kornea menipis dan menggelembung
- Mempunyai penglihatan secara keseluruhan yang cukup baik
- Mengalami rabun jauh yang kronik
- Mempunyai anak mata yang sangat besar atau kornea nipis
- Alami perubahan mata dan berkaitan dengan usia yang menyebabkan penglihatan menjadi kurang jelas
Bagaimana kamu melakukan persediaan?
Setelah puas mempertimbangkan risiko dan sebagainya, jika kamu memutuskan untuk melakukan LASIK, pastikan untuk melakukan persediaan-persediaan berikut okay!
Langkah-langkah yang boleh kamu lakukan untuk mempersiapkan diri termasuk:
- Tidak memakai solekan mata: Elak daripada memakai sebarang solekan mata, krim, minyak wangi atau losen sehari sebelum dan pada hari pembedahan. Doktor juga mungkin mengarahkan kamu membersihkan bulu mata dengan lebih kerap pada hari-hari menjelang pembedahan, untuk menyingkirkan kekotoran dan mengurangkan risiko jangkitan.
- Pembedahan yang mungkin membebankan kamu: Pembedahan LASIK biasanya dianggap sebagai pembedahan elektif, jadi kebanyakan syarikat insurans tidak akan menanggung kos pembedahan tersebut. Bersedialah untuk membayar perbelanjaan menggunakan duit poket sendiri.
- Merancang perjalanan pulang: Kamu memerlukan bantuan seseorang untuk membawa kalian pergi dan balik dari klinik pembedahan. Usai pembedahan, kamu mungkin terasa seperti ‘di awang-awangan’ akibat kesan ubat yang diberikan sebelum prosedur, dan penglihatan kamu juga mungkin masih kabur.
Info Risiko LASIK
November 28, 2022https://youtu.be/T2McbLQL2W0
Individu yang berminat dengan pembedahan mata seperti LASIK ini perlu sentiasa diingatkan bahawa kesan sampingan dan komplikasi masih boleh berlaku walaupun mereka dikategorikan sebagai calon yang sesuai.
Masalah yang berlaku selepas pembedahan LASIK mungkin menyebabkan gangguan kesihatan mental (telah berlaku).
Rabun baru yang mungkin berlaku selepas LASIK adalah lebih kompleks dan tidak boleh dibetulkan dengan cermin mata atau contact lens.