Posted on November 29, 2021
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, proses memilih MPV untuk kegunaan keluarga selalunya mementingkan jenama dan model. Agak jarang kita dengar pembeli mementingkan pintu bergelongsor ataupun berengsel dalam MPV yang dipilih. Mungkin kerana itu Perodua Alza generasi baru takkan ada pintu gelongsor. Kerana ini bukanlah faktor penting bagi rakyat Malaysia.
Tapi, kenapa mereka ‘wajib’ ada pintu gelongsor?
Lebar 2.9 meter dianggap lebar kebiasaan kereta warga Jepun. Gambar: Hamanigreen
Jawapannya senang saja – ruang parkir di Jepun sangat kecil dan sempit. Usahkan kereta kei yang kecil molek, MPV dengan pintu berengsel biasa pun cukup menyusahkan di ruang-ruang parkir kereta sempit yang menjadi tetapan standard di sana.
Bagi mereka yang arif tentang budaya negara itu, warga Jepun secara lahiriahnya menggunakan pintu secara gelongsor – sama seperti pintu gelongsor yang digunakan di dalam rumah mereka. Mereka amat mementingkan penggunaan ruang secara efektif, dan pintu gelongsor menjimatkan ruang berbanding pintu berengsel biasa.
Contoh terbaik ialah Toyota Passo Sette (dijual di sini sebagai Perodua Alza) – model yang menggantikan Toyota Sienta pada 2008. Disebabkan ia tiada pintu gelongsor, prestasi jualannya amat teruk sekali. Jualannya sangatlah tidak memberangsangkan sehinggakan Toyota menggugurkan model Passo Sette setelah hanya empat tahun berada di pasaran. Toyota akhirnya menghidupkan semula Sienta sebagai langkah sementara sehinggalah model generasi baru tiba.
Ternyata, Toyota Sienta generasi kedua dan pintu gelongsornya mendapat sambutan amat menggalakkan di Jepun sehinggakan ia sering memasuki carta 20 kereta paling laris di Jepun setiap bulan.
Model lain yang mana lagi tidak berjaya atas sebab sama?
Bukan Passo Sette saja yang terkesan teruk dengan pilihan jenis pintu yang salah. MPV dengan pintu berengsel seperti Toyota Wish dan Honda Stream dikalahkan dengan mudah oleh pesaing-pesaing seperti Nissan Serena, Toyota Voxy, dan Honda Freed yang semuanya masih lagi dijual di Jepun sehingga ke hari ini.
Masa kini, jika anda berada di Jepun dan mahukan MPV serba baru dari Toyota, Honda, Mitsubishi, ataupun Nissan, pilihan yang ada hanyalah MPV berpintu gelongsor. Empat jenama utama ini tidak lagi menawarkan pintu berengsel pada barisan MPV keluaran mereka.
Orang Malaysia lain sikit
Walaupun pintu gelongsor pada MPV cukup memudahkan, pembeli MPV di Malaysia ‘terbalik’ pula. MPV dengan pintu berengsel seperti Honda Stream dan Toyota Wish masih lagi popular di kalangan pembeli kereta terpakai di sini – berbeza keadaannya dengan Toyota Sienta dan Honda Freed dengan pintu gelongsor.
Disebabkan oleh prestasi jualan yang lemah, Honda Malaysia menggugurkan Honda Freed pada pertengahan 2014 – hanya setahun selepas model facelift nya dilancarkan. Toyota Sienta juga menerima nasib yang sama apabila Toyota menggugurkannya pada 2019 iaitu setelah hanya tiga tahun model itu dilancarkan di Malaysia.
Namun yang menariknya, harga Sienta dan Freed terpakai masih lagi tinggi dan ini membuktikan yang masih ada pembeli yang berminat dengan model-model ini di pasaran kereta terpakai.
Walaupun MPV berpintu gelongsor ini sudah digugurkan di pasaran Malaysia, ia masih bertahan di pasaran luar negara.
Di dalam rantau ini, Sienta tidak begitu laku di Thailand dan Indonesia. Namun, di negara seperti Taiwan, Hong Kong, dan Singapura, Sienta ialah pilihan yang sangat popular.
Bagi Honda Freed generasi kedua, ia masih lagi eksklusif hanya untuk pasaran Jepun.
Satu kegagalan di Jepun, namun masih diterima baik di Malaysia
Walaupun Toyota Passo Sette (dan saudara Daihatsunya, Daihatsu Boon Luminas) dianggap sebagai satu kegagalan di Jepun, kembarnya di Malaysia iaitu Perodua Alza kekal sebagai pilihan popular di kalangan keluarga-keluarga di Malaysia.
Kini dalam tahun ke-12 penghasilannya, Alza generasi terkini sudah semakin tiba ke penghujungnya memandangkan Perodua sudahpun memulakan rancangan untuk model penggantinya.
Memandangkan kos untuk membangunkan pintu gelongsor cukup tinggi dan permintaannya kurang di Malaysia, pintu gelongsor besar kemungkinannya tidak akan digunakan untuk Perodua Alza generasi baru.
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar
Apa pandangan anda?