Posted on October 25, 2021
Daihatsu Tanto kereta Kei tinggi yang diperkenalkan pada 2003. Sekarang, hatchback comel ini telah masuk generasi keempat yang mana ia dilancarkan pada 2019 yang lalu. Baru-baru ini, Daihatsu telah mengemaskininya dengan beberapa ciri, termasuklah varian ‘kebajikan’ yang dirasmikan sebagai siri Friendship.
Selain pintu gelangsar dan imej yang nampak luas, Tanto juga ada satu ciri unik di mana tiang B pada belah penumpang tidak didatangkan langsung. Idea ini sebenarnya diterapkan bagi memudahkan golongan kurang upaya untuk keluar masuk kenderaan. Menariknya, ciri ini sudah ada sejak Daihatsu Tanto tahun 2007 lagi, iaitu pada generasi kedua.
Secara amnya, siri Friendship ini ditawarkan dengan varian:
- Tanto Welcome Turn Seat – kerusi penumpang depan yang boleh pusing
- Tanto Welcome Seat Lift – menambah ciri perendah kerusi penumpang depan
- Tanto Sloper – menambah ciri penaik kerusi belakang
Dari segi teknikal, Tanto dibina berasaskan platform DNGA yang mana ia turut dikongsi dengan Daihatsu Taft. Uniknya, Daihatsu Tanto antara kereta Kei paling laku di Jepun. Setakat Ogos tahun ini, ia telah terjual sebanyak 85,371 unit. Secara tidak langsung, sambutan ini meletakkan ia di tangga ketiga di belakang Honda N-Box dan Suzuki Spacia.
Berbanding Daihatsu Thor yang kami pernah ceritakan, Tanto sebenarnya dikuasakan oleh enjin lebih kecil yang berkapasiti 0.6L turbo. Ia turut dipadankan dengan transmisi CVT.
Selain perasmian siri Friendship, kereta Kei tinggi ini juga diperbaharui dengan ciri electric parking brake (EPB), menggantikan brek parkir kaki. Teknologi Cornering Trace Assist juga diperkenalkan supaya Tanto kekal stabil sewaktu mengambil selekoh.
Dari segi keselamatan, Tanto terbaru dikemaskini dengan ciri kawalan pelayaran adaptif (ACC) sekali dengan stop & go. Ciri ADAS Smart Assist seperti AEB, Lane Keep Assist dan parkir automatik juga turut didatangkan.
Berkenaan harga, Daihatsu Tanto terbaru ditawarkan bermula 1.24 juta JPY sehingga 2.17 juta JPY (~RM 47k – RM 82k). Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar.
Apa pandangan anda?