Posted on January 24, 2022
Tinjauan Consumer Reports di Amerika Syarikat buat 300,000 pemilik kereta secara rambang sekali lagi menunjukkan bahawa kereta buatan Jepun adalah kereta paling tahan di pasaran sana. Kereta buatan Jerman pula walaupun dengan imej kejuruteraan yang jitu, tidaklah berapa meyakinkan dalam bab ini.
Berdasarkan penilaian 100-mata yang dibuat, Lexus secara teknikalnya adalah jenama kereta yang paling dipercayai, diikuti dengan Mazda dan Toyota. Honda pula di tangga ke-6, Subaru di tempat ke-7 dan Nissan di kedudukan ke-9. Kereta Korea seperti Hyundai, Kia dan Genesis pula masing-masing di tangga ke-11, 19 dan 25.
Untuk kereta Jerman, Porsche adalah jenama yang paling dipercayai di mana ia berada di kedudukan ke-13. Audi pula di nombor 15, BMW di tangga 17 dan Mercedes-Benz di tempat ke-23 diikuti dengan Volkswagen di kedudukan ke-24.
Jenama Sweden seperti Volvo pula di tangga ke-20.
Jenama mewah Ford seperti Lincoln adalah yang paling corot dalam tinjauan ini, diikuti dengan Tesla dan Jeep.
Jenama kereta paling dipercayai di Amerika untuk 2021 (0-100 mata) | |
---|---|
Lexus | 76 |
Mazda | 75 |
Toyota | 71 |
Infiniti | 69 |
Buick | 66 |
Honda | 66 |
Subaru | 66 |
Acura | 64 |
Nissan | 63 |
MINI | 60 |
Hyundai | 56 |
Chrysler | 54 |
Porsche | 52 |
Chevrolet | 48 |
Audi | 47 |
Cadillac | 47 |
BMW | 45 |
Ford | 44 |
Kia | 43 |
Volvo | 42 |
Ram | 40 |
GMC | 37 |
Mercedes-Benz | 34 |
Volkswagen | 31 |
Genesis | 30 |
Jeep | 26 |
Tesla | 25 |
Lincoln | 18 |
Untuk makluman kamu, model kereta paling tahan yang dijual sekarang ini ialah Lexus GX tetapi ia tidak ada di Malaysia. GX ialah model Lexus untuk Toyota Land Cruiser Prado. Kia Niro EV pula adalah kereta elektrik yang paling tiada masalah, diikuti dengan hibrid plug-in Toyota Prius Prime.
Model paling tahan di Amerika untuk 2021 (0-100 mata) | |
---|---|
Lexus GX | 100 |
Kia Niro EV | 95 |
Toyota Prius Prime | 93 |
Toyota Prius | 91 |
Cadillac XTS | 89 |
Mazda MX-5 | 88 |
Honda Insight | 87 |
Toyota Highlander | 86 |
Subaru Crosstrek (XV) | 85 |
Mazda CX-9 | 85 |
Bercakap mengenai ini, hibrid Honda dan Toyota berada dalam 10 tangga teratas. Nampaknya, perkara ini bertentangan dengan apa yang sering digembar-gemburkan oleh peminat EV yang mengatakan bahawa kereta elektrik lebih tahan daripada hibrid.
Hibrid Jepun lebih dipercayai daripada segala EV
Toyota Prius dan Prius Prime masing-masing mendapat skor sebanyak 91 dan 93 mata. Toyota Venza (Toyota Harrier pasaran Amerika) yang hanya ditawarkan sebagai hibrid sahaja pula mencapai 92 mata. Honda Insight pula merangkul sebanyak 87 mata.
Selain Kia Niro EV (skor 95 mata hampir sempurna), Ford Mustang Mach-E (71 mata), dan Nissan Leaf (77 mata), kebanyakan pemilik EV sebenarnya melaporkan bermacam-macam masalah. Kesemua model Tesla selain Model 3 adalah antara yang tercorot dalam aspek ini (Model S – 20 mata, Model Y – 18 mata, Model X – 5 mata).
Namun kalau kamu nak tahu, Audi e-Tron juga sama teruk (5 mata sahaja). Volkswagen ID.4 pula setakat 21 mata sahaja. Hyundai Kona Electric yang baru sahaja dilancarkan ke Malaysia sebagai EV paling murah di negara kita pula hanya mendapat 33 mata.
Ketahanan model EV (0-100 mata) | |
---|---|
Kia Niro EV | 95 |
Nissan Leaf | 77 |
Ford Mustang Mach-E | 71 |
Tesla Model 3 | 59 |
Hyundai Kona Electric | 33 |
VW ID.4 | 21 |
Tesla Model S | 20 |
Tesla Model Y | 18 |
Tesla Model X | 5 |
Audi e-Tron | 5 |
Hendak mencari SUV? Tengok dahulu Mazda dan Subaru
Subaru Crosstrek (Subaru XV di pasaran kita) mencapai skor 85 mata, iaitu sama seperti Mazda CX-9. Subaru Forester pula merangkul 80 mata, sama seperti Mazda CX-5 dan Honda CR-V.
Mazda CX-30 pula teguh dengan 75 mata.
SUV paling dipercayai di Amerika untuk 2021 (0-100 mata) | |
---|---|
Lexus GX | 100 |
Chevrolet Trailblazer | 100 |
Buick Envision | 90 |
Ford Bronco Sport | 88 |
Hyundai Tucson | 87 |
Toyota Highlander | 86 |
Mazda CX-9 | 85 |
Subaru Crosstrek | 85 |
Nissan Rogue Sport | 84 |
Kia Telluride | 84 |
Buick Encore | 83 |
Toyota RAV4 Prime | 82 |
MINI Countryman | 82 |
Chevrolet Trax | 82 |
Mazda CX-5 | 80 |
Honda CR-V | 80 |
Subaru Forester | 80 |
Lexus RX | 76 |
Mazda CX-30 | 75 |
Mengenai Chevrolet Trailblazer, ia sebenarnya diimport dari Korea. Disebabkan itu, sampel, metodologi dan tinjauan yang dibuat mungkin sedikit berbeza dan lain. Apapun, pemilik Lexus, Toyota dan Mazda cukup berpuas hati dengan pengalaman memiliki kereta mereka.
Subaru, Hyundai dan Kia juga agak cemerlang dalam bab kereta paling tahan tetapi entah bagaimana, kedudukannya tidak begitu tinggi dalam tinjauan ini.
Walaupun Tesla ada banyak isu binaan dan ketahanan, rata-rata pemilik sebenarnya tidak menyesal dengan pembelian mereka.
Tinjauan 2020 oleh Consumer Reports bagi aspek kepuasan pemilik pula menariknya diterajui oleh Tesla. Toyota dan Lexus pula masing-masing di tangga ke-10 dan 19.
Macam pelik kan? Tetapi kalau kamu nak tahu, pemilik Toyota dan Lexus sememangnya cerewet dan tidak boleh bertolak ansur dengan hal yang sekecil zarah. Pemilik Tesla pula kebiasaannya ada sentuhan emosi dengan jenama EV itu. Disebabkan itu sahaja, mereka akan tetap bahagia dengan Tesla milik mereka walaupun berhadapan dengan bermacam-macam karenah.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar
Apa pandangan anda?