Posted on November 7, 2022
Di tengah-tengah kota Ho Chi Minh di bumi Vietnam, tersergam indah sebuah hotel mewah yang gah bak sebuah rumah agam. Ia dikenali sebagai The Mai House Saigon, dan terletak di kawasan utama bandar raya Ho Chi Minh yang juga dikenali dengan nama Saigon. Hotel serba mewah ini mempertaruhkan senibina dan seni reka yang penuh dengan unsur sejarah zaman kolonial Perancis di Indocina satu ketika dulu. Namun ia dilengkapi dengan kemudahan moden seperti hotel kontemporari yang lain.
Selain lokasinya yang sangat strategik, berdekatan dengan kebanyakan kawasan tumpuan dan pusat perniagaan ibu kota, ia juga hanya beberapa minit perjalanan dari Sekolah Marie Curie, Istana Penyatuan (Reunification Palace), Gereja Katedral Notre Dame, Pejabat Pos tersohor Saigon serta taman Tao Dan. Malah kedudukannya dari lapangan terbang antarabangsa Ho Chi Minh hanya memakan masa sekitar kurang dari 30 minit dengan menaiki kereta. Ia juga dikelilingi ajnas kedai, restoran dan butik.
Dengan senibina mirip sebuah rumah agam mewah, sesuai namanya Mai House Saigon mempunyai 224 buah bilik yang luas nan anggun.Bilik-biliknya juga sangat menarik, apatah lagi dengan bilik mandi berdinding kaca lutsinar yang pemandangannya hanya boleh ditutup dengan bidai khas dari dalam kamar mandi. Lebih istimewa tab mandi berkonsep zaman colonial menjadi tarikan utama setiap bilik di hotel ini kerana cantik saat diabadikan di dalam foto. Semestinya setiap bilik juga mempunyai kemudahan terkini lain seperti TV satelit, sambungan wi-fi buat tamu yang ingin melayari internet dan lain-lain. Benar-benar seperti berada di zaman kegemilangan Perancis di Indocina, setiap ceruk digubah indah dan perkhidmatan pekerjanya bertaraf antarabangsa.
Selain itu terdapat juga kolam renang dalaman yang luas dengan pemandangan sekitar kota Ho Chi Minh yang menakjubkan. Tidak ketinggalan di sebelahnya, sebuah gimnasium yang serba lengkap, selain sebuah spa bernama Four Elements, khas buat kegunaan para tamu.Bagi tujuan menjamu selera para pengunjung, ada banyak tempat makan eksklusif, antaranya adalah C’est La Vie Restaurant , yang buka sepanjang hari dengan aneka hidangan tempatan dan antarabangsa yang lazat. Untuk menikmati minuman singgah di Thom Lounge atau Fifth Element Bar di samping kolam renang. Kesemua tempat makan ini menyajikan pilihan hidangan tempatan serta antarabangsa yang paling enak, menepati kedudukannya sebagai sebuah hotel antarabangsa bertaraf lima bintang.
Ia juga dilengkapi dengan dewan-dewan besar dan ruangan-ruangan khas untuk aktiviti mesyuarat, seminar serta macam-macam lagi. Ini diserikan lagi dengan senireka lanskap taman-taman kawasan hotel. Jadi sekiranya anda menyenangi penginapan yang mewah serta berkelas antarabangsa dan masih kaya dengan senireka bersejarah tersendiri, singgahlah untuk bermalam di The Mai House Saigon di Ho Chi Minh, Vietnam.
Apa pandangan anda?