Posted on November 18, 2019
Pengalaman Sehari Sesat & Terpesona di iNYALA 2019
Buat kamu yang dambakan seni yang bermain dengan cahaya, iNYALA membuka pintu sepanjang November ini (sehingga 30 November) di REXKL sempena Urbanscapes 2019.
Pameran seni cahaya interaktif pertama di Malaysia ini menampilkan 12 instalasi seni, termasuk sembilan ciptaan siswa dan siswi dari institusi pengajian tinggi seperti Akademi Seni Dasein, Universiti Multimedia, Kolej Pengajian Tinggi Raffles, The One Academy dan USCI University.
Tiga instalasi seni lagi diciptakan oleh artisan profesional industri seperti Jun Ong, FNL PRJCT dan Helio.
iNYALA adalah akronim untuk ‘INteractive’, ‘You’, ‘And’, Light’, ‘Art’
Seperti yang kita semua tahu, NYALA juga bermaksud ‘menyala’ dalam Bahasa Melayu. Falsafahnya, apabila meletakkan abjad ‘i’ (saya) di hadapan ‘Nyala’, ia seperti simbolis lilin yang terbakar (pengorbanan kendiri) memberi cahaya (ilmu) untuk manfaat manusiawi.
Objektif iNYALA adalah untuk menjadi platform baru yang mempromosikan seni media baru. Satu bentuk seni yang dicipta atau diubahsuai dengan integrasi teknologi. Mengubah cara konvensional seni yang dapat dikonsepkan, ditafsir malah diciptakan bersama.
iNYALA 2019 (edisi pertama) ini berputar di sekitar tema “Bayangkan Yang Mustahil” (Imagine the Impossible). Pameran seni pertama seumpamanya ini bercita-cita untuk menyeru seluruh pasukan seni serta bakat-bakat muda yang terpendam supaya mengembleng tenaga bersama orang awam untuk ‘bermimpi’, belajar, berinovasi, menghargai dan mencipta pengalaman tanpa sempadan dalam menyelami dunia seni yang tiada batasan.
Pameran seni selama sebulan ini memaparkan 12 pemasangan seni dan ruang diskusi yang bakal memindah minda separa sedar pengunjung dari hiruk-pikuk hutan konkrit ke taman digital unik dan mendalam dengan sentuhan koleksi pengalaman interaktif visual, audio dan deria.
“Situasi seni media baru di Malaysia masih di tahap awal walaupun kita mempunyai ramai bakat dan seniman yang arif dari pelbagai bidang, budaya dan latar belakang. Kami tidak sabar-sabar untuk meneroka, mencuba dan menyumbang kepada industri kreatif di Malaysia. iNYALA berhasrat untuk menjadi platform yang membawa golongan profesional industri dan bakat muda, bekerjasama untuk membuka minda orang awam supaya lebih berimaginasi,” ucap Helios Loo, Pengasas iNYALA.
iNYALA 2019 menggabungkan teknologi, seni dan interaksi manusia untuk memberi gambaran bagaimana seni juga boleh menjadi satu permainan. Namun penuh informatif, inovatif dan mutakhir. Ia dunia seni tanpa sempadan.
Ia membuka jalan dan idea tentang kreativiti dan teknologi boleh berjalan seiringan ke arah masa hadapan. Kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar adalah salah satu mesej utama pameran, iNYALA berharap pelawat dapat mempelajari sesuatu yang bermakna melalui instalasi-instalasi seni cahaya yang dipaparkan di pameran ini.
Ia adalah pameran seni cahaya interaktif yang menarik, yang membolehkan rakyat Malaysia menghayati seni dan teknologi dari perspektif berbeza. Ia mencabar cara kita berfikir tentang seni dan menyampaikan mesej yang kuat tentang kelangsungan duniawi dan kemampanan masa hadapan.
iNYALA 2019 dianjurkan oleh Helio Media dengan sokongan TNB, REXKL, AirAsia, Yayasan Sime Darby, Passionation, Visit Malaysia 2020, Kini Events, FNL PRJCT dan RUBIX.
TRIVIA iNYALA
- Inisiatif kecekapan tenaga elektrik sebagai teras utama
- Instalasi seni hanya akan aktif sekiranya terdapat interaksi manusia
- Kebanyakan hasil seni dicipta daripada bahan kitar semula
- Hasil seni yang dipamerkan di edisi kali ini akan dipamerkan semula di tempat lain
- Ia bagi memastikan hasil seni ini dihargai, terpelihara dan tidak hanya digunakan sekali sahaja
- Sebagai kehidupan kedua dalam menghiburkan dan mendidik orang ramai tentang seni
- Layari iNyalaMy untuk sebarang maklumat lanjut
Apa pandangan anda?