SEARCH

Anxiety: Malang Sungguh Kalau Kamu Tunduk Kepadanya

Anxiety: Malang Sungguh Kalau Kamu Tunduk Kepadanya

Suatu malam selepas perjumpaan penting dengan peguam, saya berdepan dengan satu pengalaman hitam. Saya pernah mendengar pengalaman sebegini daripada beberapa teman saya tetapi selain daripada menunjukkan empati, saya tidaklah benar-benar memahaminya. Kerana saya tidak pernah melaluinya sendiri. Selepas pertemuan dengan peguam, kami makan malam bersama. Waktu itu lagi saya sudah perasan yang perhatian saya tidak lagi bersama dia dan rakan niaga saya, Amy. Saya bagai tidak dapat fokus pada perbualan mereka dan tidak bersungguh mendengar apalagi mencuba untuk memberi respons sebaiknya.

Minta diri seketika daripada meja makan untuk mengambil rokok yang tertinggal dalam kereta, sewaktu berjalan untuk kembali ke restoran saya terserempak dengan teman dari tempat spinning, Aloha Cycle Club. Saya memang sangat menikmati perbualan dengannya sebelum-sebelum ini. Saya gembira terserempak dengan dia dan saya mendengar apa yang dia bualkan. Tapi yang saya ingat hanyalah bunyi hingar dalam telinga saya. Buzzing seperti bunyi sekumpulan lebah sedang berlegar di luar telinga. Kembali ke meja makan, perasaan saya memang seperti tidak mahu lagi berada di situ. Saya mahu pulang dan bersendirian.

Sesungguhnya perasaan yang tidak bagus ini tidak pernah saya rasai sebelum ini. Buat yang mengenali saya pasti tahu betapa saya tidak suka akan perasaan gelap dan negatif seperti ini. Kalau boleh setiap masa saya mahu merasai vibe positif dan kekal gembira pada setiap ketika. Kalau sedih itu biasalah sekali-sekala. Stres dan kecewa juga saya tahu rasanya dan saya tahu pula bagaimana mengatasinya. Tetapi perasaan gelap, tidak fokus dan mahu bersendiri seperti ini adalah baru bagi saya. Pulang ke rumah perasaan saya semakin berkecamuk.

Seperti yang ditulis laman web Medical News Today, pabila manusia berdepan dengan cetusan berbahaya atau merisaukan, merasai anxiety bukan sahaja normal tetapi perlu untuk terus hidup.

Dada bergejolak. Walaupun sebenarnya perjumpaan dengan peguam tadi membuahkan hasil dan memberi sinar tetapi saya tak tahu mengapa saya berperasaan sebegini. Mungkin kerana terlalu memikirkan akan apakah kesannya nanti dan bagaimana hasilnya, hati saya berselimut kegelapan. Saya rasa saya mengalami anxiety. Takut atau tidak pasti akan segala kemungkinan yang belum terjadi. The American Psychological Association (APA) mendefinisikan anxiety sebagai “an emotion characterized by feelings of tension, worried thoughts and physical changes like increased blood pressure.” Nah itulah yang saya rasakan malam itu.

Seperti yang ditulis laman web Medical News Today, pabila manusia berdepan dengan cetusan berbahaya atau merisaukan, merasai anxiety bukan sahaja normal tetapi perlu untuk terus hidup. Dari awal waktu manusia di bumi, kedatangan pemangsa dan bahaya membunyikan penggera dalam tubuh serta menjurus kepada tindakan menyelamatkan diri. Penggera ini adalah dalam bentuk peningkatan degupan jantung, berpeluh dan tubuh menjadi lebih sensitif terhadap persekitaran. Bahaya menyebabkan peningkatan adrenalin yang kemudian akan mencetuskan kerisauan dalam proses respons “fight-or-flight”. Ini akan menyediakan manusia sama ada untuk berdepan secara fizikal atau menyelamatkan diri.

Jadi kalau zaman batu dahulu, mungkin keadaan melarikan ini ialah berkenaan dengan ancaman daripada binatang buas. Tetapi dalam zaman moden masa kini, anxiety datang daripada kerja, wang, keluarga, kesihatan atau isu-isu genting lain yang memerlukan perhatian. Dan tidak lagi semestinya berkenaan dengan reaksi “fight-or-flight”.

Menangani anxiety saya malam itu, saya bertarung menggunakan minda sendiri. Saya juga  menonton Youtube, mencari bahan-bahan yang menghiburkan untuk melarikan minda daripada terus-terusan memikirkan ketidakpastian. Tetapi ia tidak sepenuhnya boleh menghilangkan perasaan itu. Ada juga teman-teman yang Whatsapp sekadar mahu berbual-bual, tetapi hati rasa seperti mahu marah sahaja dan kalau boleh malas langsung menjawab. Perasaan bersalah, takut dan cemas berganti-ganti. Memang yang saya rasakan hanyalah kegelapan yang semakin menular dalam hati. Pelbagai persoalan bermain-main berselang-seli. Bagaikan ada bisikan demi bisikan yang tak pasti berkitar-kitar di kanan dan kiri. Aduh, saya seperti kelemasan, tenggelam dan cahaya dari atas permukaan air nampak semakin samar dan menghilang. Menarik nafas rasa bagai tak sampai. Saya cuba mengalihkan perhatian daripada terlalu memikir. Kerana daripada semua buah fikiran itu hanya membenihkan ketakutan.

Mujur saya boleh tidur malam itu. Doa saya, perasaan gelap ini hilang esok pagi. Namun ia masih sama. Panggilan seorang teman yang juga sangat saya gemari, saya abaikan. Saya tiada mood langsung untuk berbual. Ia perasaan paling teruk pernah saya rasakan sepanjang hidup saya. Menjelang tengah hari, saya menghantar mesej kepada teman yang tidak saya jawab panggilannya tadi. Saya memberitahu kepadanya apa yang saya alami sejak malam tadi. Dia menasihati saya agar jangan mengetepikan teman-teman yang mengambil berat. Katanya saya perlu meluahkan segala ketidakpastian dalam diri dan bercakap dengan seseorang.

Perlahan-lahan saya kembali kepada diri asal saya. Membuka hati dan minda saya kepada teman saya itu. “I was reaaly down yesterday. I’ve never felt that way before,” mesej saya pada dia. “Jap, aku ada jumpa quote,” jawabnya. Lalu dia mengirimkan gambar yang menunjukkan quote-quote yang disimpannya.

Let your heart trust Allah alone to take care of the things that you cannot understand.”

“… And do not carry the anxiety for the future because it is in the Hands of Allah.”

Membacanya, air mata saya mengalir perlahan. Terkadang dalam kita terlalu memikirkan perkara yang tak pasti kita jadi lupa akan kenyataan bahawa apa sekalipun yang terjadi dalam hidup kita ini adalah suratan yang telah tertulis oleh Maha Pencipta. Banyak antara kita yang terlalu larut memikir pelbagai kemungkinan dan what ifs. Inilah yang akan sering membuat kita lupa bahawa pada akhirnya kita harus berserah dan percaya bahawa apa yang terjadi akan tetap terjadi. Dan ia sudah pun tertulis buat kita. Memikir akan sesuatu yang tak pasti akan mengganggu minda dan mengaburkan fikiran. Pada waktu inilah kegelapan dan bisikan akan mudah menyelinap masuk dan mempengaruhi tindakan.

Pada ketika itu juga saya tersedar dan cepat-cepat bersyukur. Dengan adanya teman-teman di sekeliling yang menemani, mengambil berat dan menasihati. Ada pelbagai cara yang disenaraikan dalam laman web Medical News Today tentang cara menangani anxiety. Pertama yang disenaraikan ialah rawatan sendiri antaranya pengurusan stres, meditasi dan yoga, work out, support group seperti keluarga dan teman-teman atau berlatih menggantikan buah-buah fikiran negatif dengan positif. Kedua ialah menghadiri kaunseling dan ketiga dengan mengambil ubat-ubatan.

Dalam kes saya tadi, saya melawannya menggunakan minda sendiri. Gunakan suara dalam diri bagi melawan kata-kata dan bisikan yang membuat kamu meragui diri. Kerana saya sentiasa ingat, keberadaan kita sebagai manusia dalam dunia ini adalah satu. Tubuh dan jiwa kita adalah satu. Suara kita juga adalah satu. Kata hati kita satu dan adalah yang paling tepat dan benar untuk didengar. Ketakutan, keraguan, kekecewaan, kesedihan dan kekeliruan itu seringnya datang daripada suara kedua, ketiga atau seterusnya yang pada akhirnya berbalik kepada bisikan syaitan yang mahukan manusia tidak tenteram dan bergaduh sesama sendiri atau saling membunuh.

Maka kamu pilihlah cara mana yang kamu rasa paling berkesan. Cuma satu yang kamu kena ingat, anxiety itu sama dengan masalah-masalah lain di dalam dunia – semua pasti ada penyelesaiannya. Hanya masalah yang tidak wujud atau tidak benar sahaja yang tiada jalan keluar. Yang ini sebaiknya kamu jauhi sahaja. Saya juga bersyukur saya melalui pengalaman ini kerana daripadanya saya belajar dan saya lebih memahami apa yang dimaksudkan dengan anxiety dan bagaimana semua manusia lain harus mendepaninya. Malah saya juga tersedar bahawa kita tidak harus mudah menghakimi orang lain yang terpaksa mengharungi anxiety atau lebih teruk lagi yang malarat kepada depresi. Terkadang sampai mengambil nyawa sendiri. Seperti baru-baru ini yang terjadi kepada atlet renang Sarawak, Ayrton Lim. Semoga dia tenang di mana pun dia berada kini.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE