SEARCH

You Is Kind, You Is Smart, You Is Important

You Is Kind, You Is Smart, You Is Important

Babak di mana Viola Davis memberitahu kata-kata akhir kepada anak gadis kulit putih yang dijaganya sebelum dia beredar dari rumah tuannya dalam filem The Help sungguh membekas. Sampai saya ambil menjadi prinsip hidup sendiri. Katanya kepada anak kecil yang menangis-nangis seperti tahu dia akan pergi selama-lamanya kerana diberhentikan kerja dan takkan menjadi nanny nya lagi, “You remember what I told you?” Dan anak kecil itu menjawab, “You is kind, you is smart, you is important.” Saya takkan gagal menangis setiap kali menonton babak ini. Kata-kata ini juga saya ambil jadi pengajaran dan rumusan untuk menutup 2018.

Sedar tak sedar kita sudah berada dalam bulan Disember. Klise sungguh kalau saya menyebut yang masa beredar begitu pantas kerana ini telah pun disebut berkali-kali oleh banyak orang. Zaman kita dikejar arus kemodenan ini memang lumrahlah masa semakin cepat berlalu. Zaman Instagram dan online, zaman segala-galanya di hujung jari. Kerana itulah sekelip mata, kita dah berada di penghujung tahun. Apakah yang kamu belajar sepanjang 2018? Apakah kamu masih individu yang sama seperti sewaktu tahun ini bermula? Atau terlalu banyak pengajaran yang kamu peroleh sehingga kamu menjadi insan yang amat berlainan.

Sayanglah kalau kamu tak belajar apa-apa sepanjang setahun kamu melalui kehidupan kamu. Rugi dan empty lah segala liku dan kesukaran yang kamu depani selama 365 hari. Kerana saya percaya apa pun yang berlaku dalam hidup kita ini bersebab dan seharusnya memberi pengajaran dan menambah pengalaman. Barulah kamu merasa nikmat kematangan dan menjadi insan yang lebih sempurna. Kalau kamu tidak belajar atau perasan akan apa yang terjadi dalam hidup kamu, bermakna kamu tidak benar-benar memahami situasi dan memikir tentangnya secara mendalam. Maka percayalah selamanya kamu akan berada dalam kegelapan dan kesesatan.

Terlalu-lalu banyak yang saya belajar tahun ini. Pelbagai jenis manusia yang saya jumpa sepanjang 12 bulan tahun ini. Ada yang menyenangkan, banyak pula yang menjengkelkan. Ya tahun ini mata saya semakin terbuka dengan manusia jengkel. Dan saya lebih mudah mengesan individu yang palsu. Saya belajar untuk tidak lagi memberi ruang kepada manusia-manusia seperti ini. Ini kerana mereka ini tidak memberi apa-apa faedah pun kepada kehidupan sejagat. Mereka saya anggap toksik dan berada di kalangan mereka pun terkadang akan memberi kesan negatif kepada kita.

Saya juga belajar untuk menjaga diri dengan mencuba senaman baru yakni spinning dan berlari. Semua atas desakan teman tetapi akhirnya I’m hooked. Belajar melumur minyak kelapa pada rambut dan kesannya rambut jadi semakin lebat, pada kulit agar lebih lembut dan kekal warna coklat. Tahun ini juga banyak mengajar saya tentang selok-belok perniagaan dalam menguruskan the business side of STAIL.MY. Mengenalpasti beberapa teman yang boleh saya anggap keluarga. Yang banyak membantu saya tentang erti kehidupan, mendorong dan menyokong. Meminjamkan telinga dan bahu mereka saat saya kesesakan mencari jawapan. Teman-teman yang akan saya rindu selepas tiga hari tidak bertemu, yang akan saya pastikan saya hubungi dan bertanya khabar paling kurang seminggu sekali. Ini antara penemuan yang paling saya hargai.

Saya juga akhirnya memahami bahawa manusia ini ada yang jahat, mendengki, iri, sering sakit hati, whiny dan senang mungkir janji. Yang pada awalnya berpura-pura baik, berniat membantu dan ingin sama-sama berkembang. Tetapi pada kemudiannya akan mula berniat jahat, memasang dengki, merancang untuk menggulingkan kamu dan mungkir janji. Tentulah saya kesal kerana pada saya agak lewat untuk saya baru memahami bahawa dunia ini turut terdiri daripada manusia-manusia sebegini. Tapi nak buat macam mana? Pengajaran dan pengalaman itu seringnya datang hanya pada ketika kamu sudah bersedia. Lebih baik saya menyedarinya sekarang dan tidak di kemudian hari. Pada saat saya masih bertenaga dan cekap dalam mengatasi sebarang masalah. Bukan pada waktu otak sudah penat dan tubuh dah tak larat.

Jadi saya mampu mendepaninya dengan tangkas dan dengan hati terbuka. Biar bagaimana sukar sekalipun, biar betapa tertekan dan menyesakkan sekalipun tetapi saya sudah bersedia. Saya tetapkan dalam hati bahawa ini adalah pengalaman yang akan mengajar, maka saya tak betah malah merubah diri menjadi lebih berani dan sedar akan tingginya nilai diri sendiri. Dan daripada semua yang saya lalui sepanjang 2018, seperti sebut saya tadi saya merumuskan untuk menurut kata-kata Violet Davis dalam filem The Help. Mengapa? Kerana bayangkan jika kita semua penduduk dunia berpandu pada kata-katanya itu, saya percaya tiada siapa pun di antara kita akan bersengketa. Pengalaman hidup kita akan menjadi lebih bermakna dan kurang tekanan serta kesukaran. Manusia akan hidup dalam dunia yang lebih harmoni.

“You Is Kind”

Saya tahu terkadang manusia menjadi penting diri, sukar mempercayai dan sentiasa bersangka buruk semua kerana mereka pernah terkena dengan manusia lainnya. Setiap pengalaman buruk itu pasti akan membuat kita semakin berjaga-jaga malah tidak mustahil merubah individu yang berhati baik menjadi hitam bernoda. Tetapi andai kata setiap daripada kita berpegang pada kata-kata ‘you is kind’ bukankah betapa buruk pun pengalaman itu, kita akan sebaiknya mencuba untuk tidak berlaku jahat kepada manusia lain.

Ada cara lain untuk menangani manusia jahat, bukan dengan menjadi sama jahat dan saling berbalasan. Benar, perasaan mahu membalas itu kadang-kadang akan terlalu mencengkam tetapi sabarkan hati. Percaya pada karma. Jika kamu berlaku jahat maka jahatlah balasan yang akan kamu terima begitulah sebaliknya. Untuk kita yang berpegang pada kata ‘you is kind’ ini, berlalu lah pergi dan jauhi manusia sebegini.

“You Is Smart”

Biarlah sampai kiamat sekalipun, saya takkan berhenti mengingatkan sesama kita bahawa kita manusia diberikan keistimewaan yang sangat besar oleh si Pencipta – yakni otak yang boleh berfikir tentang apa pun. Daripada sekecil-kecil isu hingga ke sebesar-besar masalah, sejak berabad dahulu manusia sentiasa menemui penyelesaian malah mampu mencipta keajaiban dunia. Jadi amat penting untuk kita sentiasa memberitahu diri kita ‘you is smart’. Dengan otak yang setiap kita miliki inilah kita boleh berfikir dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam setiap apa pun yang kita hadapi di muka bumi ini.

Janganlah selalu mengambil jalan mudah dengan saling berbalasan sesama sendiri. Ini tak payah guna otak pun boleh. Ini saya anggap sama dengan cara binatang yang tak gunakan otak. Pabila diserang atau merasa terancam, mereka ambil jalan mudah dengan menyerang. Hanya itu cara mempertahankan diri yang mereka tahu. Tapi takkan lah kita mahu menyamakan diri kita dengan binatang? Rugilah kita dikurniakan otak yang amat istimewa itu.

“You Is Important”

Sedarlah kita bahawa keberadaan setiap daripada kita ini penting di muka bumi ini. Tiada satu pun antara kita yang kurang penting atau lebih penting berbanding orang lain. Semua manusia di dunia adalah sama penting. Setiap daripada kita ada fungsi dan tanggungjawab dalam ekosistem dunia. Jangan sesekali merasa kerana aku punya pangkat dan harta atau kerana aku kerabat diraja aku lebih penting daripada kamu. Tidak sama sekali. Biar apa pun pekerjaan yang kita lakukan dalam dunia ini baik pengutip sampah mahupun perdana menteri negara, kita perlu punya sikap ‘aku dan kamu sama’. Masakan Zainal Abidin bersama kumpulan Headwind pernah menghasilkan lagu ‘Kita Serupa’ lewat 80-an dahulu.

Inilah isu yang diperkatakan dalam lagu tersebut. Bahawa setiap daripada kita ini sama penting dan sama sedarjat. Bukan you is more important. Cukup sekadar you is important. Bukan apa, ini peringatan yang baik untuk kita tidak sesekali merasa kurang keyakinan diri, takut, segan dan gentar mendepani kehidupan hari ini yang semakin mencabar. Dengan mengingatkan diri bahawa kita sama penting dengan orang lain, sedikit sebanyak akan membantu kita berdepan dengan apa jua rintangan yang datang daripada manusia lainnya dalam kehidupan kita.

Maka ajarkanlah kata-kata yang baik dan berguna ini – you is kind, you is smart, you is important kepada anak-anak muda kita. Juga sentiasalah kita beringat akan kata-kata ini. Saya pegang pada kata-kata ini kerana daripada semua pengalaman 2018 saya, ini kesimpulan dan kata-kata hikmat yang saya percaya kalau kita semua pegang akan bisa mengelak daripada manusia berbuat jahat atau sengketa di dunia. Anggaplah ini sebagai usaha kecil saya dalam menjadikan dunia lebih aman bahagia. Selamat tinggal 2018!

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE