Posted on September 2, 2019
Musim luruh di Korea Selatan sangat ajaib. Ia waktu terbaik untuk kamu mengunjungi Korea Selatan dan merasai sendiri pengalaman melihat panorama dedaunan berona kemerah-merahan, kuning serta jingga yang sangat indah belaka.
Sepanjang tempoh ini, pelancong-pelancong yang hadir bagi melihat cherry blossoms berkembang sebelumnya, sudah tidak kelihatan lagi. Sampai waktunya pula untuk kamu memulakan perjalanan mendaki kawasan pergunungan atau menjelajahi taman-taman nasional yang terdapat di seluruh pelosok republik ini sambil menikmati musim luruh yang istimewa.
Musim luruh di Korea Selatan membawa beberapa ‘pemandangan emas’ yang sempurna
Tahun ini, musim luruh bermula pada bulan September sehingga ke puncaknya pada bulan November, merentasi pelbagai destinasi terkenal di Korea Selatan. Seraya itu, jika kamu ingin menemukan keindahan musim luruh secara alami, berikut saya senaraikan 10 lokasi musim luruh di Korea Selatan yang sangat indah dan menakjubkan!
SEOUL
Ibu kota Korea Selatan ini mungkin adalah kota metropolitan yang terbesar, namun ia masih mampu menyediakan beberapa lokasi semulajadi yang boleh kamu catatkan di dalam Diari Musim Luruh Korea Selatan kamu.
Salah satu lokasi paling mudah untuk melihat perubahan landskap ini ialah di Gyeongbokgung Palace, istana pertama dan terbesar dibina pada era Dinasti Joseon. Cukup hanya berjalan di sekitar halaman istana, kamu dapat melihat keindahan senibina istana purba berlatarbelakangkan musim luruh yang mengesankan. Bayangkan ‘kerusuhan’ warna kuning, merah dan jingga ‘berperang’ di bawah sinar mentari.
Turut menawarkan pemandangan musim luruh yang serupa adalah istana-istana lain yang terdapat di sekitar Seoul seperti Deoksugung, Gyeonghuigung, Changgyeonggung dan Changdeokgung.
Jika kamu inginkan suasana kota, pergi sahaja ke Namsan Tower. Menara ini adalah lokasi musim luruh yang romantis. Taman Namsan atau Namsan Park sangat terkenal dengan variasi trek mendaki dan pejalan kaki untuk kamu menikmati pemandangan secara santai. Pada musim luruh, daun pohon-pohon bakal berubah warna kemerah-merahan dan kuning. Apabila dipancar mentari, ia menerangi menara kemegahan Seoul ini. Panorama musim luruh jika kamu berada atas menara juga sangat menakjubkan.
Tidak jauh dari Seoul, sebuah pulau yang berbentuk seperti bulan sabit bernama Nami Island adalah satu lagi lokasi musim luruh wajib kamu kunjungi. Pulau ini sangat terkenal melalui drama popular, ‘Winter Sonata’. Pulau Nami juga terkenal kerana jalan-jalannya yang lurus dan sarat dengan pepohonan simetri. Musim luruh dikatakan waktu terbaik mengunjungi Pulau Nami kerana pohon Pinus yang terdapat di pulau ini bertukar warna kuning keemas-emasan. Jangan lupa bawa kamera!
INCHEON
Kamu mungkin mengenali Incheon kerana terdapat lapangan terbang utama di wilayah ini. Namun Incheon bukan sahaja memiliki keindahan buatan manusia semata-mata, Incheon juga mempunyai beberapa taman dan istana yang seakan-akan ‘hidup’ di musim luruh.
Mulakan autumn hunting kamu di Incheon Grand Park, suatu oasis yang permai di tengah belantara konkrit. Ambil masa bersiar-siar, berkelah dan berbasikal bersama teman sambil menghayati musim luruh ini. Di musim bunga, Incheon Grand Park dipenuhi cherry blossoms yang kembang membunga, sementara di musim luruh pula, nuansa merah, kuning dan jingga mendominasi suasana.
PULAU JEJU
Deruan ombak membelah pantai, Pulau Jeju menawarkan pengalaman musim luruh yang menenangkan. Pulau terbesar di Korea Selatan ini juga mempunyai banyak unsur-unsur semulajadi menakjubkan yang lain seperti air terjun dan gunung yang terbentang luas di pulau yang terletak di Selat Korea ini.
Gunung Halla (Hallasan Mountain) adalah destinasi musim luruh yang wajib kamu nikmati. Gunung tertinggi bukan sahaja di Pulau Jeju, malah di Korea Selatan ini berdiri jaya di ketinggian 1.950 meter dari paras laut. Gunang Halla menawarkan beberapa jalur pendakian seperti Gwaneumsa Trail, Seongpanak Trail dan Eorimok Trail.
Jalur pendakian mana pun yang kamu pilih, kamu akan ‘disapa’ dengan pemandangan musim luruh di Gunung Halla yang meluas dan memuaskan
Rumput pampas juga sinonim dengan musim luruh di Pulau Jeju. Rumput pampas terkadang terlihat seperti sayap malaikat yang berterbangan lembut dihembus bayu. Hati kamu kan berasa girang ketika melewati padang rumput pampas yang menari mengikuti irama angin. Bayangkan padang rumput pampas yang terbentang luas, langit cerah dan angin sepoi-sepoi bahasa membelai pipi kamu.
Bisikan dari padang rumput pampas
Geumbaekjo-ro adalah lokasi yang terbaik bagi menikmati panorama rumput pampas yang romantis ini. Rumput pampas ‘menakluki’ kiri dan kanan jalan. Jalan Geumbaekjo adalah jalan yang sempurna untuk sesi pemanduan di musim luruh. Ia dinamakan sempena Dewi Geumbaekjo, yang dipuja oleh penduduk kampung Songdang. Ketika kamu mengamati pemandangan gunung yang diliputi rumput pampas ini, masa seakan berhenti. Seperti mengendarai ke dalam mimpi sang dewi misteri, Dewi Geumbaekjo.
Untuk merasai dengan lebih mendalam pengalaman musim luruh di Pulau Jeju, saya sarankan agar kamu menggunakan perkhidmatan kereta sewa yang tersedia di sini. Memandulah dengan bebas, sambil mencuci mata melihat keindahan musim luruh di pulau istimewa, Pulau Jeju.
BUSAN
Setelah Seoul, Incheon dan Pulau Jeju, Busan adalah destinasi seterusnya yang harus kamu kunjungi di musim luruh ini. Salah satunya, Geumgang Park yang berada di kaki Gunung Geumjeong. Di taman ini terdapat perkhidmatan kereta kabel, Geumgang Park Ropeway yang terbentang sejauh 1.250 meter.
Kamu boleh menikmati pemandangan kontras antara kotaraya Busan yang sibuk dengan hutan pinus yang lebat. Di tengah-tengah landskap musim luruh yang semarak, jamu mata kamu melihat formasi batuan alami yang menarik, membuat taman ini menjadi lebih unik.
Kemudian, bersatu dengan alam semulajadi, sejarah dan budaya di Beomeosa Temple di pinggir Gunung Geumjeong. Terbina pada abad ketujuh, candi ini dihiasi dengan senibina berbeza pada astaka, pintu gerbang dan tempat pertapaan yang berubah mengikut peredaran zaman, kerajaan dan dinasti yang berlainan di Korea Selatan.
Beomeosa Temple dikelilingi hutan tebal yang ‘menangis’ dalam dedaunan merah berapi
JEONJU
Bandar yang terletak di sebelah barat Korea Selatan, Jeonju segera mendapat perhatian sekiranya kamu ingin bercuti di musim luruh ini. Daya tarikan utamanya, Jeonju Hanok Village ialah pusat budaya dan sejarah yang sangat menarik untuk dikunjungi.
Seperti namanya, perkampungan ini menampilkan rumah-rumah tradisional Korea yang dipanggil ‘Hanok’. Selain kediaman, jalan utama dipagari oleh restoran, gerai makanan tradisional dan kedai-kedai cenderahati yang sedia melayani pelancong.
Bersiar-siar di lorong-lorong Jeonju Hanok Village ini seperti selangkah ke zaman lampau dengan warna-warna musim luruh yang membangkit suasana. Lengkapkan pengalaman kamu itu dengan menyewa ‘hanbok’ dan lakukan sesi pempotretan. Satu untuk memori!
Dan sekiranya kamu ingin menghayati keindahan rimba, maka Naejangsan sesuai untuk dilawati. Kawasan pergunungan yang terletak di selatan Jeonju ini sering diperkatakan sebagai lokasi terbaik untuk melihat daun musim luruh yang berwarna merah.
Luangkan masa untuk menyaksikan kemegahan air terjun Dodeok Falls dan Heumseon Falls. Oh jangan lupa lawati Naejangsa Temple yang kirana pada musim luruh ini. Jadi, apa tunggu lagi? Hayati memori indah musim luruh di Korea Selatan dengan sebaik-baiknya!
Apa pandangan anda?