Posted on December 18, 2019
Saya bukanlah sengaja mencari azam 2020. Tetapi teringatkan kisah yang berlaku di depan mata, saya rasa elok memasukkan azam ini untuk tahun baru nanti. Saya berdiri di luar studio selepas tamat penggambaran Fresh Face 2020 (FF20). Setelah beberapa ketika, salah seorang daripada FF20, Nadia keluar dari studio. Mengucapkan selamat tinggal saya bertanya kepadanya, “Bagaimana kamu pulang?” Sambil menunjuk ke arah kereta di depan kami dia menjawab, “Tu suami dah sampai.” Ya, Nadia salah seorang daripada FF20 kami tahun depan ialah seorang suri rumah sepenuh masa. Memiliki tiga anak, katanya sejak kelahiran anak pertama dia dan suami memutuskan bahawa dia akan menumpu penuh kepada menjaga dan membesarkan anak-anak.
Nadia bekerja sebagai arkitek sebelum itu. Saya terkesan waktu menemubual dia di sesi casting FF20. Kerana dalam pada dia bercerita tentang kisah hidupnya, dia jadi sebak kerana memikirkan banyak orang tidak memandang berat kepada kerjaya sebagai ibu sepenuh masa. Katanya, “Banyak yang merasakan menjadi ibu sepenuh masa itu bukanlah satu kerjaya…” Saya tidak setuju dengan pandangan mereka ini. Adik saya suri rumah sepenuh masa. Saya tahu betapa sukarnya menjadi dia. Menjaga anak lelakinya dua orang yang sedang membesar bukanlah kerja mudah.
Aduhhhhhhh… saya mengaku saya hanya boleh tahan paling lama dua jam sahaja. Selepas itu kepala saya naik pening dan telinga saya naik bingit dengan kerenah mereka. Kerana itu saya berjanji tidak akan sama sekali menghakimi wanita yang memilih untuk menjadi ibu sepenuh masa. Saya juga tidak akan pandai-pandai mengkritik cara seorang ibu menangani dan mendidik anak-anaknya. Kerana saya tahu saya juga tidak mampu dan tidak arif pula cara-cara yang betul mendidik anak.
Selepas mengucapkan selamat tinggal, Nadia berjalan menuju ke keretanya dan membuka pintu kereta, dia menjerit kegembiraan kepada anak-anaknya. “Hai sayanggggggg…” Anak-anaknya pula meloncat-loncat melihat kepadanya. “Tengok mekap mama niiiii… Cantik takkkk????” tanya Nadia kepada anak-anaknya disambut jeritan seronok daripada anak-anaknya. Sebaik dia melabuhkan punggungnya di kerusi depan, saya nampak dia mencium pipi suaminya. Dan melihat kereta Nadia mengundur keluar dari tempat parking dan berlalu pergi, saya lihat mereka berbual mesra dan ketawa ria.
Jadi begitulah kita hidup sebagai manusia. Kita perlu sentiasa mencari kegembiraan demi kelangsungan hidup.
I couldn’t help but wonder, begitu mudahnya untuk seseorang itu menjadi gembira. Walaupun sekadar dapat bersama anak-anak dan suami. Bercerita dengan mereka pengalaman membuat penggambaran, bersolek dan bersiap-siap mencantikkan diri. Saya boleh nampak bahawa buat Nadia, ini sahaja sudah memadai. Kegembiraannya itu saya dapat rasakan begitu tulus dan terpancar pada wajah dan riak gaya bahasa tubuhnya.
Manusia materi dalam dunia hari ini banyak yang melihat kepada harta benda dan wang ringgit untuk menggembirakan diri. Padahal Maha Pencipta menyediakan banyak lagi keindahan dalam dunia ini yang boleh membuatkan manusia gembira. Cuma kita sahaja yang perlu mencari dari mana puncanya kegembiraan itu dan buatlah sebanyak-banyaknya perkara yang membuatkan kamu gembira itu demi kesejahteraan sejagat.
Saya amat tak setuju dengan sesetengah pendapat yang mengatakan “kalau aku dapat travel, aku akan gembira”, “kalaulah aku dapat bersuamikan dia, aku akan gembira”, “kalaulah aku punya wang yang banyak, aku akan gembira selamanya”. Ini menunjukkan yang kamu manusia materi. Sedangkan kalau dengan menyanyi, kamu gembira, buatlah. Tak payah pun menggunakan wang untuk menyanyi. Kalau bercakap dengan teman kamu dapat membuat kamu gembira, nah bercakaplah dengan dia setiap hari. Kalau menatap dan menghabiskan masa bersama keluarga bisa membuat kamu gembira, tak perlu pun material bukan untuk membuat ini.
Maksud saya terlalu banyak sebenarnya cara untuk membuat manusia gembira. Jangan pernah menggantungkan kegembiraan kamu itu pada kebendaan. Kerana percayalah ia tak kekal lama. Atau ia akan lambat laun memakan diri sendiri. Sekiranya benda membuat kamu gembira, selamanya kamu akan terpaksa mencari benda itu. Selamanya kamu terpaksa bergantung pada benda itu. Dan satu hari jika kamu tak mampu lagi memiliki benda itu, bermakna selamanya kamu tak biasa gembira lagi selepas itu? Sungguh musibah. Analogi paling mudah ialah dadah.
Sempena kita memasuki tahun baru 2020 dalam masa beberapa minggu lagi, apa kata kita tentukan kegembiraan kita itu dari mana puncanya.
Nah kalau kamu merasa gembira mengambil dadah, kamu akan sentiasa memahukannya. Kemu menjadi ketagih. Kerana kamu tidak boleh tidak mengambilnya. Tapi satu hari pabila kamu tidak mampu lagi membeli dadah itu, kamu jatuh sakit, kamu merana, kamu tersiksa. Banyak pula yang tewas, tunduk pada kuasa dadah – merosakkan sel-sel dalam tubuh kerana kimia dalam dadah lalu akhirnya meninggal dunia. Apakah bernilai lagi semua kegembiraan yang kamu capai daripada dadah itu selama ini? Bagi saya TIDAK! Dah kalau sampai merosak dan memusnahkan, tiada apa yang bermanfaat kamu dapat.
Jadi begitulah kita hidup sebagai manusia. Kita perlu sentiasa mencari kegembiraan demi kelangsungan hidup. Kerana daripada kegembiraan, kita akan mendapat semangat. Kegembiraan akan menyelubungi hidup kita dengan positivity. Dan akan banyak hasil yang baik dan berguna akan terlahir daripada positivity ini. Pernah saya mengingatkan staf saya, tidak ada satu kebeuntungan pun akan lahir daripada perasaan-perasaan negatif dan gelap seperti benci, kecewa, sedih dan iri. Jadi tak perlu lah kita biarkan ia bersarang dalam diri.
Sempena kita memasuki tahun baru 2020 dalam masa beberapa minggu lagi, apa kata kita tentukan kegembiraan kita itu dari mana puncanya. Dan sentiasalah membuatnya pabila 2020 menjelma nanti. Semoga 2020 akan menjadi tahun yang lebih gembira, positif dan menguntungkan. Begitulah hendaknya. Selamat tinggal 2019!!!
Apa pandangan anda?